Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel tuntut penjelasan status tebusan dari Hamas

Hamas perlukan tempoh bertenang seminggu untuk tentukan sama ada tebusan masih hidup
Jan 7, 2025 | 1:36 PM
Anggota keluarga, Liri Albag, seorang tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas dan dibawa ke Jaluran Gaza semasa serangan 7 Oktober 2023, mengadakan demonstrasi di Tel Aviv pada 4 Januari. Mereka menyeru tindakan segera bagi membebaskan tebusan Israel di tengah-tengah perang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dengan Hamas.
Anggota keluarga, Liri Albag, seorang tebusan Israel yang ditahan oleh Hamas dan dibawa ke Jaluran Gaza semasa serangan 7 Oktober 2023, mengadakan demonstrasi di Tel Aviv pada 4 Januari. Mereka menyeru tindakan segera bagi membebaskan tebusan Israel di tengah-tengah perang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

TEL AVIV: Israel mendakwa Hamas masih belum memberikan penjelasan sama ada 34 tebusan yang dijanjikan untuk dibebaskan masih hidup atau telah meninggal dunia.

Ini mencetuskan keraguan terhadap kenyataan Hamas bahawa mereka memerlukan masa untuk menentukan nasib para tebusan tersebut.

Kenyataan Israel itu dilakukan ketika serangan udara Israel terus menggempur Gaza, mengorbankan 16 orang pada 7 Januari, kata pasukan penyelamat di wilayah itu.

Sementara itu, di Tebing Barat, keganasan berterusan apabila tiga warga Israel maut selepas penyerang bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah bas dan beberapa kenderaan.

Seorang pegawai kanan Hamas menyatakan bahawa kumpulan itu bersedia membebaskan tebusan tetapi memerlukan “tempoh bertenang selama seminggu” untuk mengenal pasti keadaan mereka.

“Hamas telah bersetuju untuk membebaskan 34 tebusan, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia,” kata pegawai tersebut kepada agensi berita AFP.

Namun, jurucakap pemerintah Israel, Encik David Mencer, menolak kenyataan tersebut.

“Mereka tahu dengan tepat siapa yang masih hidup dan siapa yang telah terkorban. Gaza bukan tempat yang besar, Hamas pasti tahu di mana mereka berada,” tegas Encik Mencer kepada media.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, turut mengesahkan bahawa Israel tidak menerima sebarang pengesahan daripada Hamas mengenai status tebusan.

Beliau menambah, senarai tebusan tersebut merupakan nama yang diberikan Israel kepada perantara pada 2024.

Pengantara dari Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat bekerja selama berbulan-bulan untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan pertempuran di Gaza, tetapi kedua-dua pihak yang bertelagah saling menuduh yang menggagalkan rundingan.

Perbincangan tidak langsung yang disambung semula pada Disember diteruskan pada awal Januari.

Pegawai Hamas yang enggan namanya disiarkan untuk membincangkan rundingan yang sedang berjalan itu juga berkata 34 tebusan itu datang daripada senarai yang dibentangkan Israel.

Menurutnya, kumpulan itu termasuk semua wanita, kanak-kanak, warga emas dan tawanan sakit yang masih ditahan di Gaza.

“Hamas bersetuju untuk membebaskan 34 tawanan, sama ada hidup atau mati,” kata pegawai itu kepada AFP.

Beberapa anggota keluarga tebusan menyeru agar gencatan senjata dilakukan segera.

“Jika Hamas meminta penghentian perang untuk membawa pulang tebusan, maka perang harus dihentikan,” kata Encik Yotam Cohen, saudara kepada tebusan Encik Nimrod Cohen, kepada wartawan di Tel Aviv.

Dalam masa yang sama, Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Januari berkata bahawa tentera Israel telah melepaskan tembakan ke arah salah sebuah konvoinya di Gaza, dalam satu kejadian yang disifatkan sebagai “insiden yang mengerikan”.

Agensi itu berkata, konvoi yang terdiri daripada tiga kenderaan yang membawa lapan kakitangannya ke Bandar Gaza telah ditembak dengan 16 peluru berhampiran pondok kawalan Wadi Gaza pada 6 Januari.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, namun konvoi terbabit tidak dapat bergerak selepas insiden tersebut.

Menurut kenyataan WFP, kenderaan terbabit jelas dilabelkan dan telah mendapat kebenaran keselamatan terlebih dahulu daripada pihak berkuasa Israel.

Israel menyatakan bahawa kejadian itu sedang disiasat dan prosedur operasi akan diperbaiki.

Namun, organisasi bantuan sering menuduh Israel menghalang atau mengancam operasi mereka ketika krisis kemanusiaan di Gaza semakin meruncing. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg