Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas telah bebaskan 3 lagi tahanan Israel

Israel pula dijangka bebaskan 183 tahanan Palestin, termasuk 18 sedang jalani hukuman mati
Feb 8, 2025 | 1:24 PM
Hamas telah menyerahkan Encik Or Levy, Encik Eli Sharabi dan Encik Ohad Ben Ami, yang diambil sebagai tebusan sejak 7 Oktober 2023, kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada 8 Februari.
Hamas telah menyerahkan Encik Or Levy, Encik Eli Sharabi dan Encik Ohad Ben Ami, yang diambil sebagai tebusan sejak 7 Oktober 2023, kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada 8 Februari. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Kumpulan Palestin, Hamas, telah menyerahkan tiga lagi tebusan Israel kepada Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa (ICRC) pada 8 Februari sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dalam peringkat terbaru perjanjian gencatan senjata yang bertujuan membuka jalan bagi menamatkan perang di Gaza yang telah berlarutan selama 15 bulan.

Tiga orang tebusan yang telah dibebaskan itu ialah Encik Ohad Ben Ami dan Encik Eli Sharabi, yang diculik dari kawasan Kibbutz Be’eri, dan Encik Or Levy, yang diculik dari festival muzik Nova. 

Mereka diculik sebagai tebusan oleh Hamas semasa serangan rentas sempadan yang mereka lancarkan pada 7 Oktober 2023.

Sebagai pertukaran, Israel akan membebaskan 183 tahanan Palestin, termasuk 18 orang yang sedang menjalani hukuman mati; 54 yang menjalani hukuman jangka panjang; dan 111 yang ditahan sepanjang perang di Gaza.

Puluhan anggota Hamas yang bertopeng dan bersenjata telah dikerahkan di Deir al-Balah, di tengah Gaza, untuk penyerahan tebusan itu kepada ICRC, yang kemudian memindahkan mereka kepada pasukan Israel di Gaza, lapor BBC.

Tiga tebusan itu kini telah dipindahkan kepada Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dan dibawa pulang untuk menjalani penilaian perubatan, kata tentera Israel.

“Komander dan tentera Angkatan Pertahanan Israel memberi penghormatan dan menyambut kedatangan tebusan yang pulang ke rumah mereka di Israel.

“Unit Jurucakap IDF meminta semua pihak menghormati privasi tebusan dan keluarga mereka,” kata IDF dalam satu kenyataan.

Pertukaran itu merupakan langkah terkini dalam siri pertukaran yang setakat ini telah membawa kepada pembebasan 13 tebusan Israel, lima pekerja Thailand yang diambil sebagai tebusan semasa serangan 7 Oktober, serta 583 rakyat Palestin yang ditahan Israel.

Walau terdapat beberapa halangan, gencatan senjata selama 42 hari dan pertukaran tebusan dengan tahanan masih berjalan sejak ia berkuat kuasa hampir tiga minggu lalu.

Langkah itu disokong Amerika Syarikat, selaku sekutu utama Israel, dan dijayakan dengan pengantaraan Mesir serta Qatar.

Namun, terdapat kebimbangan bahawa perjanjian ini mungkin gagal sebelum semua tebusan dibebaskan.

Ini menyusuli cadangan kontroversial Presiden Amerika, Encik Donald Trump, yang mengusulkan supaya rakyat Palestin dipindahkan dari Gaza dan wilayah itu diserahkan kepada Amerika untuk dibangunkan menjadi tempat percutian pantai yang indah atau “Riviera Timur Tengah”.

Negara-negara Arab dan kumpulan Palestin telah menolak cadangan itu, yang dikatakan sebagai satu bentuk penghapusan etnik terhadap penduduk Gaza, lapor Reuters.

Walaupun mendapat kecaman hebat, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengalu-alukan campur tangan Encik Trump, manakala Menteri Pertahanan Israel mengarahkan tentera agar merancang langkah yang membenarkan rakyat Palestin yang ingin meninggalkan Gaza untuk berbuat demikian.

Di bawah perjanjian tersebut, seramai 33 kanak-kanak, wanita, dan lelaki berusia lanjut Israel akan dibebaskan dalam fasa pertama sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin.

Perundingan untuk fasa kedua bermula minggu ini, dengan matlamat untuk memulangkan baki tebusan dan mencapai persetujuan mengenai penarikan tentera Israel sepenuhnya dari Gaza, sebagai persediaan untuk menamatkan perang itu secara menyeluruh.

Serangan yang dilancarkan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, telah mengakibatkan kematian sekitar 1,200 orang, dan 250 orang diambil sebagai tebusan.

Sebagai balasan, Israel melancarkan perang habis-habisan ke atas Gaza melalui udara dan darat, yang telah membunuh lebih daripada 47,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Ia turut memusnahkan kawasan padat itu, mengakibatkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg