Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas terima cadangan baru gencatan tiga peringkat

Jan 31, 2024 | 1:57 PM
Para penduduk Palestin melarikan diri daripada Khan Younis, selatan Gaza, ketika Israel mengebom kawasan berkenaan pada 30 Januari.
Para penduduk Palestin melarikan diri daripada Khan Younis, selatan Gaza, ketika Israel mengebom kawasan berkenaan pada 30 Januari. - Foto AFP

DOHA: Hamas berkata bahawa ia telah menerima dan sedang mengkaji cadangan baru untuk gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, yang diajukan oleh pengantara selepas perbincangan dengan Israel.

Perbincangan tersebut dikatakan sebagai inisiatif damai paling serius sejak beberapa bulan lalu.

Seorang pegawai kanan Hamas memberitahu Reuters pada 30 Januari bahawa cadangan itu melibatkan gencatan senjata tiga peringkat – bermula dengan pembebasan baki orang awam dalam kalangan tebusan yang ditawannya pada 7 Oktober, kemudian tentera, dan akhirnya penyerahan mayat tebusan yang terbunuh.

Pegawai itu, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, tidak menyatakan berapa lama peringkat itu akan berlangsung.

Tetapi ia adalah kali pertama butiran dikeluarkan mengenai cadangan baru yang sedang dipertimbangkan oleh kedua-dua pihak, sejak terbatal satu-satunya gencatan kemanusiaan singkat pada akhir November.

Cadangan gencatan itu susulan perbincangan di Paris melibatkan ketua perisikan dari Israel, Amerika Syarikat dan Mesir, dengan perdana menteri Qatar.

Sebagai tanda seriusnya rundingan itu, ketua Hamas, Encik Ismail Haniyeh, berkata beliau akan ke Kahirah untuk membincangkannya, lawatan pertamanya ke sana selama lebih sebulan.

Tetapi Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengulangi ikrarnya untuk tidak menarik tenteranya keluar daripada Gaza sehingga “mencapai kemenangan sepenuhnya” – tanda terdapat jurang besar dalam pendirian pihak yang bertelagah mengenai apa yang diperlukan untuk menghentikan pertempuran walaupun buat sementara waktu.

Hamas mencetuskan perang apabila anggotanya menggempur selatan Israel pada 7 Oktober, mengakibatkan 1,200 terbunuh dan menahan lebih 240 tebusan sebagai tebusan.

Israel pula telah membunuh lebih 26,000 rakyat Palestin setakat ini dalam serangan balas yang turut memusnahkan Gaza. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg