Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas: Tiada tukar tebusan dengan banduan kecuali perang Gaza tamat

Nov 21, 2024 | 2:43 PM
Pegawai kanan Hamas, Encik Khalil Al-Hayya (kanan), menyalahkan rundingan damai yang terhenti ke atas Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu, yang sebaliknya menyalahkan kumpulan itu.
Pegawai kanan Hamas, Encik Khalil Al-Hayya (kanan), menyalahkan rundingan damai yang terhenti ke atas Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu, yang sebaliknya menyalahkan kumpulan itu. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Pemangku ketua kumpulan Hamas, Encik Khalil al-Hayya, berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan pada 20 November bahawa tidak akan ada perjanjian pertukaran tebusan dengan tahanan melainkan perang di Gaza berakhir.

“Tanpa berakhirnya perang, tidak mungkin berlaku pertukaran tawanan,” kata Encik Hayya dalam satu wawancara televisyen dengan saluran televisyen Al-Aqsa milik kumpulan itu, mengulangi pendirian kumpulan itu mengenai cara menamatkan perang.

“Jika pencerobohan tidak ditamatkan, mengapa penentang khususnya Hamas, mengembalikan tebusan?” tanya beliau.

Usaha mencapai gencatan senjata Gaza telah terhenti, dan Amerika Syarikat pada 20 November memveto ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa gencatan senjata kekal tanpa syarat.

Duta Besar Washington ke PBB berkata Amerika hanya akan menyokong ketetapan yang secara jelas menyeru pembebasan segera tebusan Israel sebagai sebahagian daripada gencatan senjata.

Encik Hayya, yang mengetuai pasukan perunding kumpulan itu dalam perbincangan dengan pengantara Qatar dan Mesir, menyalahkan kekurangan kemajuan kepada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang seterusnya pula menganggap kumpulan itu bertanggungjawab ke atas rundingan yang terhenti itu.

Encik Hayya berkata: “Terdapat hubungan dengan beberapa negara dan pengantara untuk memulihkan rundingan. Kami bersedia untuk meneruskan usaha itu tetapi lebih penting ialah melihat kemahuan sebenar di pihak Israel untuk menamatkan pencerobohan.

“Realiti membuktikan bahawa Netanyahu adalah orang yang menjejas rundingan.”

Bercakap semasa lawatan ke Gaza pada 19 November, Encik Netanyahu berkata Hamas tidak akan memerintah wilayah Palestin selepas perang tamat dan bahawa Israel telah memusnahkan keupayaan ketenteraan kumpulan itu.

Encik Netanyahu juga berkata Israel tidak berputus asa untuk terus mencari 101 tebusan yang dipercayai masih berada di dalam Gaza.

Hamas mahukan perjanjian yang menamatkan perang dan menyaksikan pembebasan tebusan Israel dan asing yang ditawan di Gaza serta rakyat Palestin yang dipenjarakan oleh Israel, manakala Encik Netanyahu berikrar perang hanya boleh berakhir sebaik sahaja Hamas dihapuskan.

Serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, yang menghancurkan aura kebal Israel, menandakan hari paling berdarah negara itu dalam sejarahnya, dengan 1,200 orang terbunuh dan lebih 250 dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.

Israel bertindak balas dengan serangan paling dahsyat dan berterusan di Gaza, membunuh hampir 44,000 orang dan mencederakan 103,898 yang lain, menurut kementerian kesihatan Gaza.

Peperangan juga menyebabkan wilayah Palestin itu bak padang jarak padang terkukur dan menjadi tanah terbiar penuh dengan puing-puing runtuhan bangunan.

Penduduk Palestin pula dilanda masalah kekurangan makanan, ubatan-ubatan, bahan api dan air akibat bantuan kemanusiaan yang tersekat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg