GAZA (Wilayah Palestin): Hamas berkata pada 2 Ogos bahawa ia tidak akan melucutkan senjata kecuali sebuah negara Palestin yang bebas ditubuhkan – satu respons baru terhadap permintaan utama Israel untuk menamatkan peperangan di Gaza.
Perbincangan tidak langsung antara Hamas dan Israel yang bertujuan untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari dalam perang Gaza dan perjanjian untuk pembebasan tebusan berakhir minggu lalu tanpa jalan penyelesaian.
Pada 29 Julai, Qatar dan Mesir, yang membantu dalam usaha-usaha gencatan senjata, menyokong satu pengisytiharan oleh Perancis dan Arab Saudi yang menggariskan langkah-langkah menuju penyelesaian dua negara terhadap konflik Israel-Palestin dan menyatakan bahawa sebagai sebahagian daripada ini, Hamas perlu menyerahkan senjatanya kepada Pihak Berkuasa Palestin yang disokong Barat.
Dalam kenyataan mereka, Hamas, yang telah menguasai Gaza sejak 2007 tetapi telah dihentam teruk oleh Israel dalam perang ini – berkata ia tidak boleh menyerahkan haknya untuk “bersenjata” kecuali sebuah “negara Palestin yang bebas dan berdaulat sepenuhnya dengan Baitulmakdis sebagai ibu kotanya” ditubuhkan.
Israel menganggap pelucutan senjata Hamas sebagai syarat utama untuk sebarang perjanjian bagi menamatkan konflik ini, tetapi Hamas berulang kali mengatakan ia tidak bersedia untuk meletakkan senjata mereka.
Pada Julai, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menggambarkan sebarang negara Palestin yang bebas pada masa hadapan sebagai platform untuk memusnahkan Israel dan berkata, atas sebab itu, kawalan keselamatan ke atas wilayah Palestin mesti kekal di tangan Israel.
Beliau juga mengkritik beberapa negara, termasuk Britain dan Canada, kerana mengumumkan rancangan untuk mengiktiraf negara Palestin sebagai tindak balas terhadap kemusnahan Gaza akibat serangan dan sekatan Israel, dengan menyifatkan langkah itu sebagai ganjaran untuk kelakuan Hamas.
Perang ini bermula apabila militan yang dipimpin Hamas menyerbu selatan Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan membawa 251 tebusan kembali ke Gaza.
Serangan ketenteraan Israel yang seterusnya ke atas Gaza telah memusnahkan sebahagian besar wilayah tersebut dengan teruk, membunuh lebih 60,000 rakyat Palestin dan mencetuskan bencana kemanusiaan.
Israel dan Hamas saling menyalahkan selepas pusingan rundingan terbaru berakhir dalam kebuntuan, dengan jurang yang masih wujud mengenai isu termasuk tahap penarikan tentera Israel. -– Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg