BAITULMAKDIS: Rundingan gencatan senjata untuk menamatkan pertempuran di Jaluran Gaza sudah terhenti sedang jumlah korban di wilayah Palestin semakin meningkat.
Dan keluarga tebusan Israel yang ditawan dalam serangan Hamas yang mencetuskan perang lebih setahun lalu menjadi semakin terdesak memikirkan nasib saudara mereka dalam tahanan.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 19 November mengulangi ikrarnya bahawa Israel akan memburu dan menghukum sesiapa yang mencederakan tebusan.
Bercakap semasa lawatan ke Gaza pada 19 November, Encik Netanyahu menegaskan Hamas tidak akan memerintah wilayah Palestin selepas perang tamat dan bahawa Israel telah memusnahkan keupayaan ketenteraan kumpulan Islam itu.
Encik Netanyahu juga berkata Israel tidak berputus asa untuk mencari baki 101 tebusan yang dipercayai masih berada di Gaza.
Namun, ramai warga Israel, termasuk keluarga tebusan, menuduh Encik Netanyahu gagal mengutamakan pembebasan tebusan dan memanjangkan perang untuk menyatukan pakatan pemerintahannya yang rapuh, termasuk ahli yang menentang gencatan senjata dan mengancam untuk menjatuhkan pemerintahnya.
Malah, beberapa pemimpin keselamatan Israel seperti Encik Yoav Gallant, mantan menteri pertahanan yang dipecat oleh Encik Netanyahu pada November, telah menyuarakan kritikan dan kekecewaan terhadap pengendalian rundingan dengan Hamas oleh Encik Netanyahu.
Khususnya, beliau telah menetapkan syarat baru selepas berbulan-bulan rundingan, seperti menegaskan bahawa Israel mengekalkan kawalan ke atas Jaluran Gaza di sepanjang sempadan Mesir.
Sementara itu, Qatar, pengantara gencatan senjata utama bersama Mesir, berkata ia telah memaklumkan Hamas dan Israel bahawa ia akan menghentikan usaha pengantaraannya melainkan kedua-dua pihak yang bertelagah itu menunjukkan “kesediaan dan kesungguhan” untuk mencapai perjanjian.
Pada 19 November, jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, berkata pejabat politik Hamas di Doha belum ditutup secara kekal.
Seorang pegawai Amerika sebelum ini berkata Washington telah meminta Qatar untuk mengusir kumpulan itu dan Doha telah menyampaikan mesej ini kepada Hamas.
Encik Al-Ansari berkata pejabat Hamas telah diwujudkan untuk memudahkan usaha pengantaraan rundingan gencatan senjata dan menamatkan perang Gaza.
Dalam pada itu, pemangku ketua Hamas, Encik Khalil al-Hayya, berkata kumpulannya mengalu-alukan cadangan Mesir agar Hamas membentuk jawatankuasa pentadbiran dengan pergerakan Fatah untuk mengendalikan Jaluran Gaza, satu langkah bagi menangani persoalan tertunggak tentang bagaimana wilayah itu akan ditadbir apabila perang tamat nanti.
Tetapi perjanjian masih belum dimuktamadkan, kata Encik Hayya.
Beliau menyalahkan rundingan gencatan senjata yang terhenti ke atas Encik Netanyahu, yang sebaliknya menunding jari ke arah Hamas.
Israel menolak mana-mana peranan Hamas dalam mentadbir Gaza selepas perang dan ia juga tidak mempercayai Penguasa Palestin pimpinan Encik Mahmoud Abbas untuk mengambil alih pengendalian wilayah tersebut. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg