Topic followed successfully
Go to BHkuHamas tolak usul lucut senjata sebelum Israel penuhi komitmen awal
Hamas tolak usul lucut senjata sebelum Israel penuhi komitmen awal
Pelucutan senjata sebelum syarat asas perjanjian itu dipenuhi dikhuatiri hanya akan buka ruang kepada penindasan berterusan rakyat Palestin
Hamas tolak usul lucut senjata sebelum Israel penuhi komitmen awal
GAZA: Sayap bersenjata Hamas menegaskan sebarang perbincangan mengenai pelucutan senjata kumpulan itu tidak boleh dilakukan sebelum Israel melaksana sepenuhnya komitmen di bawah fasa pertama gencatan senjata di Gaza.
Jurucakap Briged Al Qassam, Encik Abu Ubaida, dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen pada 5 April, berkata usaha membangkitkan isu senjata Hamas pada peringkat ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.
Menurut beliau, tekanan supaya Hamas melucutkan senjata sebelum syarat asas perjanjian itu dipenuhi hanya akan membuka ruang kepada penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Apa yang cuba dipaksakan oleh musuh terhadap penentangan Palestin hari ini, melalui pengantara yang kami hormati, adalah amat berbahaya,” katanya.
Beliau turut menegaskan tuntutan agar Hamas menyerahkan senjata bukanlah langkah ke arah keamanan, sebaliknya cubaan untuk meneruskan apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin.
“Isu senjata itu dibangkitkan secara kasar dan kami sama sekali tidak akan menerimanya.
“Apa yang gagal dirampas oleh musuh daripada kami melalui kereta kebal dan kemusnahan, tidak akan berjaya dirampas melalui politik dan rundingan,” ujarnya.
Isu pelucutan senjata Hamas kini menjadi salah satu halangan terbesar dalam rundingan bagi melaksanakan cadangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menerusi pelan Lembaga Keamanan untuk Gaza.
Pelan itu bertujuan memperkukuh gencatan senjata yang menghentikan dua tahun peperangan besar-besaran pada Oktober 2025.
Namun, Hamas sebelum ini sudah memaklumkan kepada pihak pengantara bahawa mereka tidak akan membincangkan soal pelucutan senjata selagi tiada jaminan jelas Israel akan berundur sepenuhnya dari Gaza.
Encik Abu Ubaida berkata, tumpuan utama ketika ini sepatutnya adalah memastikan Israel mematuhi semua kewajipannya di bawah fasa pertama perjanjian itu, sebelum sebarang perbincangan mengenai fasa kedua dimulakan.
“Pihak musuhlah yang sedang menggagalkan perjanjian ini,” katanya.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada Israel berhubung kenyataan Encik Abu Ubaida itu.
Pegawai politik Hamas juga belum memberi penjelasan lanjut sama ada kenyataan tersebut merupakan penolakan rasmi terhadap pelan pelucutan senjata yang disokong Amerika.
Perang antara Hamas dengan Israel di Gaza tercetus selepas serangan rentas sempadan oleh Hamas ke selatan Israel, yang kemudian mencetuskan serangan balas besar-besaran Israel.
Serangan itu memusnahkan sebahagian besar Gaza dan memaksa sebahagian besar penduduknya berpindah.
Walaupun gencatan senjata sudah berkuat kuasa, kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar syarat perjanjian.
Dalam kenyataan berasingan sebelum ini, Hamas memaklumkan delegasinya yang diketuai Ketua Hamas di Gaza, Encik Khalil al Hayya, telah mengadakan pertemuan dengan pegawai Mesir serta wakil pelbagai kumpulan Palestin.
Delegasi itu juga dilaporkan bertemu dengan penyelaras khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi proses damai Timur Tengah, Encik Nikolay Mladenov, dengan kehadiran pengantara dari Mesir, Qatar dan Turkey.
Menurut Hamas, pertemuan itu menegaskan sekali lagi keperluan supaya fasa pertama perjanjian tersebut dilaksana sepenuhnya.
Delegasi itu turut menerima jemputan menyambung semula rundingan di Kahirah dalam masa terdekat.
Gencatan senjata antara Israel dengan Hamas mula berkuat kuasa pada 10 Oktober 2025 hasil pengantaraan Turkey, Mesir dan Qatar.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak gencatan senjata itu bermula, seramai 716 rakyat Palestin terbunuh dan 1,968 lagi cedera akibat pelanggaran yang didakwa dilakukan Israel.
Secara keseluruhan, perang selama dua tahun itu telah meragut lebih 72,000 nyawa, mencederakan lebih 172,000 orang dan memusnahkan kira-kira 90 peratus prasarana awam di Gaza.
PBB pula menganggarkan kos pembinaan semula wilayah itu mencecah sekitar AS$70 bilion (sekitar $90 bilion). – Agensi berita.

