Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hamas umum bebaskan 3 lagi tebusan, redakan ketegangan

Feb 14, 2025 | 3:40 PM
Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk dan gambar tebusan ketika anggota keluarga dan penyokong mangsa penculikan, berhimpun di Tel Aviv, Israel, pada 13 Februari. Bantahan itu menyaksikan perpaduan keluarga mangsa yang masih menunggu kejelasan dan usaha pembebasan daripada pihak berkuasa.
Penunjuk perasaan mengangkat sepanduk dan gambar tebusan ketika anggota keluarga dan penyokong mangsa penculikan, berhimpun di Tel Aviv, Israel, pada 13 Februari. Bantahan itu menyaksikan perpaduan keluarga mangsa yang masih menunggu kejelasan dan usaha pembebasan daripada pihak berkuasa. - Foto REUTERS

KAHIRAH: Hamas akan membebaskan tiga lagi tebusan Israel seperti yang dirancang selepas berunding dengan Mesir dan Qatar.

Ini sekali gus membuka jalan ke arah menyelesaikan pertikaian besar mengenai gencatan senjata di Jaluran Gaza.

Hamas sebelum ini mengancam menangguhkan pembebasan tebusan seterusnya, menuduh Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata.

Israel, dengan sokongan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah mengancam meneruskan serangan jika tebusan tidak dibebaskan.

Tiada komen segera daripada Israel mengenai pengumuman Hamas.

Hamas berkata delegasinya telah mengadakan perbincangan di Kahirah dengan pegawai Mesir dan telah berbincang dengan perdana menteri Qatar mengenai keperluan membawa masuk ke Gaza lebih banyak bekalan perubatan, khemah perlindungan dan bahan api.

Gaza juga memerlukan peralatan berat untuk membersihkan puing runtuhan di merata Gaza, kata Hamas.

Dalam kenyataannya, kumpulan itu berkata pihak perantara telah berjanji “menghapuskan semua halangan” gencatan senjata.

Sejurus selepas pengumuman itu, jurucakap Hamas, Encik Abdul Latif al-Qanou, mengesahkan bahawa tiga tebusan Israel akan dibebaskan pada 15 Februari.

Stesen televisyen, Qahera, milik pemerintah Mesir, melaporkan bahawa Mesir dan Qatar telah berjaya menyelesaikan pertikaian berhubung gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 19 Januari.

Gencatan senjata dijangka menghadapi cabaran lebih besar dalam beberapa minggu akan datang.

Fasa pertama dijangka berakhir pada awal Mac, dan belum ada kepastian mengenai rundingan fasa kedua yang bakal menyaksikan Hamas membebaskan berpuluh-puluh lagi tebusan Israel sebagai balasan untuk menamatkan perang.

Cadangan Encik Trump untuk memindah paksa lebih dua juta rakyat Palestin dari Gaza ke Mesir dan Jordan telah menyebabkan masa depan gencatan senjata itu semakin rapuh.

Rancangan Encik Trump itu telah disambut baik oleh Israel tetapi ditolak sekeras-kerasnya oleh rakyat Palestin dan negara Arab, yang enggan menerima sebarang penempatan rakyat Palestin di negara mereka.

Kumpulan hak asasi manusia berkata cadangan Encik Trump itu boleh menjadi jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sudah menyeru supaya perang disambung semula selepas fasa pertama dengan matlamat melaksanakan cadangan Encik Trump dan memusnahkan Hamas, yang kekal mengawal wilayah itu.

Peperangan bermula pada 7 Oktober 2023, apabila anggota Hamas menyerbu selatan Israel, membunuh kira-kira 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg