Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel akan terus serang Gaza jika tebusan tidak dibebaskan pada 15 Feb

Hamas kekal komited dengan perjanjian gencatan senjata dan tuduh Israel langgar syarat perjanjian
Feb 12, 2025 | 10:29 AM
Cik Einav Zangauker, ibu kepada tebusan, Encik Matan Zangauker, tampil menyuarakan harapan dalam tunjuk perasaan yang diadakan di luar pejabat Perdana Menteri Israel di Baitulmakdis pada 11 Februari. Demonstrasi itu yang dihadiri keluarga tebusan dan penyokong, menyeru pembebasan segera semua tebusan yang masih ditahan di Gaza di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Cik Einav Zangauker, ibu kepada tebusan, Encik Matan Zangauker, tampil menyuarakan harapan dalam tunjuk perasaan yang diadakan di luar pejabat Perdana Menteri Israel di Baitulmakdis pada 11 Februari. Demonstrasi itu yang dihadiri keluarga tebusan dan penyokong, menyeru pembebasan segera semua tebusan yang masih ditahan di Gaza di tengah-tengah gencatan senjata antara Israel dengan Hamas. - Foto REUTERS

TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyatakan pada 11 Februari bahawa gencatan senjata di Gaza akan ditamatkan sekiranya Hamas gagal membebaskan tebusan menjelang tengah hari 15 Februari.

Encik Netanyahu turut menegaskan bahawa tentera Israel akan meneruskan serangan sehingga Hamas dikalahkan sepenuhnya jika tuntutan itu tidak dipenuhi.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan pada 11 Februari selepas mesyuarat bersama menteri-menteri kanan, termasuk menteri pertahanan dan keselamatan, Encik Netanyahu menegaskan keputusan itu mendapat sokongan penuh Kabinet.

“Jika Hamas tidak mengembalikan tebusan kami menjelang tengah hari Sabtu (15 Februari), gencatan senjata akan berakhir dan IDF (Pasukan Pertahanan Israel) akan melancarkan serangan hingga Hamas dikalahkan,” katanya.

Hamas dalam kenyataan balas pada hari yang sama, mengulangi komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata sambil menuduh Israel melanggar syarat perjanjian tersebut.

“Bahasa ancaman tidak akan menyelesaikan konflik ini. Israel mesti menghormati perjanjian yang telah dipersetujui,” kata pegawai kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri.

Hamas berkata Israel melanggar gencatan senjata melalui beberapa kejadian tembakan maut, kelewatan penghantaran bantuan kemanusiaan dan menghalang penduduk Gaza daripada kembali ke kawasan utara.

Namun, Israel menafikan tuduhan tersebut, dengan menyatakan tindakan mereka adalah bagi mempertahankan keselamatan negara.

Sehingga kini, 16 daripada 33 tebusan telah dibebaskan sebagai sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang berlangsung selama 42 hari.

Hamas telah membebaskan beberapa tebusan termasuk lima warganegara Thailand dalam pelepasan tidak berjadual.

Sebagai balasan, Israel membebaskan ratusan tahanan Palestin, termasuk yang menjalani hukuman penjara seumur hidup atas serangan maut.

Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, turut memberi tekanan kepada Hamas, dengan menuntut pembebasan semua tebusan sebelum tengah hari 15 Februari.

Encik Trump mengancam “membiarkan neraka tercetus” jika tuntutannya tidak dipenuhi.

“Hanya dengan menghormati perjanjian, tebusan dapat dikembalikan dengan selamat,” tambahnya semasa pertemuan dengan Raja Abdullah II dari Jordan di Rumah Putih pada 11 Februari.

Encik Trump mencadangkan pelan kontroversi untuk mengambil alih Gaza dan memindahkan lebih dua juta penduduk Palestin dari kawasan tersebut.

Pelan itu telah mencetuskan kemarahan pemimpin Arab dan rakyat Palestin, yang menyifatkannya sebagai “pembersihan etnik”.

Seorang penduduk Gaza, Cik Jomaa Abu Kosh, mengkritik saranan Encik Trump.

“Adakah neraka lebih buruk daripada apa yang kami alami sekarang? Kehancuran, pembunuhan, dan jenayah kemanusiaan di Gaza adalah yang terburuk di dunia,” katanya sambil berdiri di sebelah rumah yang musnah di Rafah, selatan Gaza.

Sementara itu, masyarakat antarabangsa menyeru agar konflik tersebut diselesaikan secara diplomatik bagi mengelakkan lebih banyak nyawa melayang.

Forum keluarga tebusan di Israel menggesa Encik Netanyahu agar tidak menamatkan gencatan senjata.

“Kami tidak boleh membiarkan tebusan terus menderita dalam tahanan. Perjanjian ini mesti diteruskan,” kata kenyataan rasmi forum tersebut.

Rakyat Israel berhimpun di Tel Aviv selepas Encik Netanyahu mengancam untuk menyambung serangan di Gaza jika Hamas tidak membebaskan tebusan Israel. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg