TYRE (Lebanon): Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi berkata sejumlah 19,646 orang telah dipindahkan di dalam Lebanon sejak ia mula mengesan pergerakan penduduk pada 8 Oktober, sehari selepas serangan terhadap Israel oleh Hamas dan serangan balas Israel ke atas Gaza.
Ia berkata pergerakan itu kebanyakannya melibatkan mereka yang melarikan diri dari selatan Lebanon.
Pihak berkuasa Israeli juga telah melakukan pemindahan penduduk di berpuluh-puluh bandar dari utara wilayahnya.
Kebimbangan perang Israel-Hamas mungkin berkembang menjadi konflik Asia Barat yang semakin meningkat apabila kumpulan Hezbullah menyertai Hamas untuk menentang Israel. Washington turut memberi amaran mengenai risiko besar kepada kepentingan Amerika Syarikat di rantau itu apabila sekutunya, Israel, terus menggempur Gaza dan kini turut membabitkan sempadan Lebanon.
Kumpulan Hezbullah di Lebanon dan Israel telah semakin kerap berbalas tembakan di sepanjang sempadan sejak kedua-dua pihak berperang pada 2006.
Ramai yang melarikan diri dari selatan Lebanon telah berpindah ke utara – di bandar pesisir pantai Tyre yang terletak 18 kilometer dari sempadan.
Cik Inaya Ezzeddine, seorang penggubal undang-undang, berkata perkembangan yang berlaku memberi tekanan kepada keluarga yang menerima pelarian dan negara yang bergelut dengan krisis ekonomi.
“Perang ini berlaku di tengah-tengah krisis ekonomi yang sangat besar dan orang ramai tidak mempunyai peruntukan,” kata Cik Ezzeddine sambil menambah bahawa kira-kira 6,000 orang telah mencari perlindungan di Tyre dan tiga sekolah telah digunakan untuk melindungi sebahagian daripada mereka.
“Kami tidak boleh membuka semua sekolah (untuk pelarian) kerana sekolah masih beroperasi. Setiap sekolah yang kami buka (untuk pelarian0 bermakna kami menghalang murid-murid daripada menggunakannya,” katanya.
Guru sekolah, Cik Yolla Ali al Swaid, melarikan diri ke Tyre selepas beliau cedera dalam kejadian tembakan di perkampungan sempadan Dhaira.
“Empat tingkat sekolah semuanya penuh. Kami 11 orang di dalam bilik bersama keluarga kakak saya,” kata Cik Yolla.
Hezbollah berkata bahawa 27 pejuangnya terbunuh dalam pertempuran sejak 7 Oktober.
Tentera Israel pula berkata tujuh tenteranya telah terbunuh di sepanjang kawasan sempadan dengan Lebanon. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg