BEIRUT: Pergerakan Hezbollah di Lebanon memberi amaran bahawa ia kini “beribu kali lebih kuat” daripada sebelumnya, ketika berbalas tembakan di sempadan dengan tentera Israel dalam keganasan yang didorong oleh perang antara Hamas dengan Israel.
Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Iran, yang menyokong Hezbollah dan kumpulan Hamas, agar tidak terlibat dalam krisis itu, dan mengerahkan dua kapal pengangkut pesawat yang dikatakan untuk menghalang mana-mana negara atau bukan negara yang ingin meningkatkan peperangan.
Pegawai Hezbollah, Encik Hashem Safieddine, dalam ucapan kepada ribuan penyokong, berkata Presiden Amerika Encik Joe Biden; Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu; dan “orang Eropah yang berniat jahat” harus berhati-hati.
“Maklum balas terhadap kesilapan yang mungkin anda lakukan dengan penentangan kami akan bergema,” katanya.
“Apa yang kita ada adalah iman dan Tuhan lebih kuat daripada kamu, semua kapal perang kamu, dan semua senjata kamu,” katanya dalam perhimpunan yang diadakan sebagai tindak balas kepada serangan yang membunuh ratusan orang di hospital Gaza Selasa lalu.
Hezbollah dan Israel saling tembak-menembak di sempadan hampir setiap hari sejak Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober dan Israel bertindak balas dengan serangan udara sengit ke atas Gaza.
Hezbollah berkata dua anggotanya terbunuh di selatan Lebanon pada Rabu dan yang ketiga dalam keadaan serius.
Kumpulan itu berkata ia telah menyerang lima lokasi pada Rabu termasuk berek Israel di Zar’it dan kedudukan di seberang sempadan dari kawasan Ras Naqoura di Lebanon dengan menggunakan peluru berpandu.
Tentera Israel berkata ia bertindak balas terhadap tembakan ke atas pos tenteranya di kawasan Zar’it, dan juga bertindak balas selepas militan melepaskan peluru berpandu antikereta kebal ke arah Kibbutz Manara dan Rosh HaNikra berhampiran sempadan.
Pertempuran itu adalah yang paling dahsyat di sempadan sejak Hezbollah dan Israel berperang pada 2006.
Hezbollah mengumumkan pada Rabu seorang anggotanya telah meninggal dunia, meningkatkan angka kematian di pihaknya kepada enam orang.
Sumber berkata minggu lalu serangan Hezbollah setakat ini telah dapat dibendung bagi mengelakkan perang besar, kata Timbalan Ketua Hezbollah, Encik Naim Qassem.
Pada 15 Oktober, Menteri Pertahanan Israel berkata bahawa Israel tidak berminat melancarkan perang di bahagian utaranya, dan jika Hezbollah menahan diri, maka Israel juga akan mengekalkan keadaan di sepanjang sempadan sebagaimana adanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg