BEIRUT: Pegawai Hezbollah tidak lagi menuntut gencatan senjata di Gaza sebagai syarat untuk mencapai gencatan senjata di Lebanon, mengetepikan ikrar untuk terus berperang sehingga Israel menghentikan serangannya terhadap sekutunya Hamas.
Hezbollah mula melancarkan peluru berpandu merentasi sempadan Lebanon sehari selepas serangan Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Sejak itu Hezbollah secara konsisten berkata mereka tidak akan berhenti sehingga Israel menamatkan perang di Gaza.
Timbalan ketua Hezbollah, Encik Naim Qassem, tidak mengaitkan tuntutan tersebut dalam ucapan televisyen pada 8 Oktober, meskipun beliau berjanji untuk terus bersama Hamas dan Palestin dalam pertempuran mereka dengan Israel.
Encik Qassem, kini pegawai tertinggi Hezbollah selepas ketuanya Encik Sayyed Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan Israel, berkata beliau menyokong usaha speaker parlimen Lebanon, Encik Nabih Berri, sekutu Hezbollah, untuk mencapai perjanjian gencatan senjata - tanpa menetapkan prasyarat.
“Kami sokong aktiviti politik yang dipimpin oleh Encik Berri dalam mencapai gencatan senjata. Jika musuh (Israel) meneruskan peperangannya, maka medan perang akan menentukannya,” ujar Encik Qassem.
Dua hari sebelum itu, dua pegawai rendah Hezbollah juga telah bercakap tentang gencatan senjata Lebanon tanpa mengaitkannya dengan Gaza. Hezbollah tidak secara jelas menyatakan perubahan pendiriannya itu.
Pegawai kanan Hamas Encik Sami Abu Zuhri beritahu Reuters kumpulannya masih “yakin dengan pendirian Hezbollah yang mengaitkan sebarang perjanjian dengan penghentian perang di Gaza,” memetik kenyataan Hezbollah sebelum ini.
Bagaimanapun, seorang pegawai pemerintah Lebanon yang enggan namanya disiarkan, memberitahu Reuters bahawa Hezbollah telah mengubah pendiriannya kerana pelbagai tekanan, termasuk pemindahan besar-besaran penduduk dari kawasan pilihan raya utamanya - tempat penyokong kumpulan Syiah tinggal di selatan Lebanon dan di pinggir bandar Beirut.
Pegawai itu berkata ia juga didorong serangan darat Israel yang semakin sengit dan bantahan terhadap pendirian Hezbollah daripada beberapa aktivis politik Lebanon.
Penggubal undang-undang terkemuka daripada mazhab lain di Lebanon sejak kebelakangan ini menggesa resolusi untuk menamatkan pertempuran di negara yang sudah lumpuh akibat krisis ekonomi sebelum konflik terbaru meletus.
Namun, anggota politik Kristian Lebanon, Encik Suleiman Frangieh, sekutu rapat Hezbollah, berkata keutamaan sekarang adalah menghentikan serangan Israel “dan bahawa kami bersatu di sebalik serangan ini dan Lebanon akan menang”.
Sebelum ulasan ini, terdapat petunjuk daripada dua pegawai lain bahawa Hezbollah mungkin mengubah pendiriannya.
Salah seorang daripada mereka, pegawai Hezbollah Encik Mahmoud Qmati, memberitahu televisyen negara Iraq bahawa kumpulannya “bersedia untuk mula meneliti penyelesaian politik selepas menghentikan pertempuran di Lebanon,” juga tanpa menyebut Gaza.
Diplomat yang turut menyatakan mengenai peralihan itu, berkata Hezbollah mungkin sudah terlambat menjana sebarang momentum diplomatik.
Ini kerana Israel telah memperhebat serangan daratnya merentasi lebih banyak bahagian sempadan Lebanon-Israel dan meneruskan serangan udara di Beirut dan tempat lain.
Seorang pakar di Pusat Timur Tengah Carnegie, Encik Mohanad Hage Ali, berkata Israel telah dapat memperkukuh kedudukan dengan meningkatkan tekanan ke atas Hezbollah dari segi ketenteraan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg