BAITULMAKDIS/BEIRUT: Serangan udara Israel telah membunuh dua pengganti pemimpin Hezbollah yang terbunuh sebelum ini, kata Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, pada 8 Oktober, ketika tenteranya meluaskan serangan darat terhadap kumpulan yang disokong Iran itu di selatan Lebanon.
Dalam masa yang sama Encik Netanyahu menyeru kepada rakyat Lebanon agar menyingkirkan kumpulan Hezbollah bagi mengelakkan “kemusnahan dan penderitaan seperti yang disaksikan di Gaza”.
Seruan Encik Netanyahu itu susulan kemaraan tentera darat Israel di selatan Lebanon dengan tambahan ribuan anggota baru.
Encik Netanyahu bercakap dalam video yang diedarkan pejabatnya beberapa jam selepas timbalan ketua Hezbollah, yang semakin goyah selepas satu siri pembunuhan komander kanan dalam serangan udara Israel.
“Kami telah melemahkan keupayaan Hezbollah. Kami telah menghapuskan beribu-ribu pengganas, termasuk Hassan Nasrallah dan pengganti-penggantinya,” kata Encik Netanyahu.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata Encik Hashem Safieddine yang dijangka menggantikan Encik Nasrallah, mungkin telah “disingkirkan”.
Jurucakap tentera Israel, Encik Daniel Hagari, berkata Israel tahu Encik Safieddine berada di ibu pejabat perisikan Hezbollah apabila jet pejuang mengebomnya minggu lalu.
Encik Safieddine tidak dapat dihubingi secara terbuka sejak serangan udara Israel ditingkatkan selepas setahun pertempuran rentas sempadan dengan Hezbollah.
Tentera Israel berkata pada 8 Oktober bahawa serangan udara sengit terhadap kemudahan bawah tanah Hezbollah di selatan Lebanon telah membunuh sekurang-kurangnya 50 anggotanya termasuk enam komander sektor dan pegawai wilayah.
Ketegangan serantau yang memuncak setahun lalu oleh serangan Hamas ke atas Israel, terus meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Pada 1 Oktober, Iran meluncurkan lebih 180 peluru berpandu ke arah Israel.
Pada 8 Oktober, Iran memberi amaran kepada Israel supaya tidak melakukan serangan balas.
Iran berkata sebarang serangan ke atas infrastruktur Iran akan dibalas, manakala seorang pegawai kanan Iran memberitahu negara Teluk bahawa ia “tidak boleh diterima” dan akan mendapat respons jika mereka membenarkan ruang udara mereka digunakan terhadap Iran.
Kuasa Barat sedang mencari penyelesaian diplomatik kerana bimbang konflik itu boleh menjejaskan negara pengeluar minyak di Timur Tengah.
Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Timur Tengah berada di ambang perang serantau berikutan serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza dan Lebanon, Tel Aviv memperluaskan konflik dengan melancarkan pencerobohan darat ke selatan Lebanon pada 1 Oktober.
Dalam ucapan televisyen dari lokasi yang tidak didedahkan, timbalan ketua Hezbollah Encik Naim Qassem berkata beliau menyokong usaha untuk mencapai gencatan senjata.
Buat pertama kalinya, menamatkan perang di Gaza tidak disebut sebagai prasyarat untuk menghentikan pertempuran di Lebanon. Encik Qassem berkata Hezbollah menyokong langkah Speaker Parlimen, Encik Nabih Berri, sekutu Hezbollah, untuk menghentikan pertempuran.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Encik Matthew Miller, memberitahu taklimat di Washington bahawa Hezbollah telah “mengubah nada mereka dan mahu gencatan senjata” kerana kumpulan itu diserang teruk di medan perang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg