GAZA: Hampir tiga tahun selepas satu daripada serangan udara paling dahsyat dalam perang Gaza, seramai 112 mangsa daripada keluarga besar Al-Hassayna akhirnya disemadikan dalam satu upacara pengebumian besar-besaran selepas mayat mereka berjaya dikeluarkan daripada runtuhan bangunan di kawasan Sabra, Bandar Gaza.

Pihak berkuasa Palestin berkata, mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 308 anggota keluarga Al-Hassayna, yang turut dikenali sebagai Abu Sharia, yang terbunuh apabila beberapa bangunan kediaman musnah dalam serangan udara Israel pada 22 November 2023 ketika kebanyakan penghuni sedang tidur.

Mayat mereka gagal dikeluarkan sebelum ini berikutan serangan berterusan dan keadaan keselamatan yang tidak mengizinkan, menyebabkan sebahagian besar mangsa terus tertimbus di bawah timbunan konkrit selama hampir tiga tahun.

Operasi mencari yang dijalankan oleh Pasukan Pertahanan Awam Gaza melibatkan kira-kira 40 anggota penyelamat selama 17 hari berjaya menemukan 112 jenazah, manakala puluhan lagi mangsa dipercayai masih tertimbus.

Pihak berkuasa Palestin menyifatkan upacara pengebumian yang berlangsung di Deir al-Balah pada 4 Ogos sebagai antara pengebumian besar-besaran terbesar sejak perang Gaza bermula.

Lebih 100 keranda yang dibaluti bendera Palestin disusun dalam barisan sebelum ribuan penduduk menunaikan solat jenazah dan mengiringi mangsa ke tanah perkuburan berhampiran melalui jalan yang dipenuhi runtuhan bangunan.

Potret lelaki, wanita dan kanak-kanak yang terkorban turut dipamerkan sebagai penghormatan terakhir kepada keluarga berkenaan.

Anggota keluarga yang terselamat, Encik Taysir Al-Hassayna, berkata pengebumian itu mengembalikan semula kesedihan yang tidak pernah benar-benar hilang sejak tragedi tersebut.

“Hari ini penuh dengan kesedihan. Luka kami terbuka semula selepas hampir tiga tahun sejak pembunuhan beramai-ramai itu berlaku.

“Ia mengembalikan kesedihan kepada anak-anak dan wanita dalam keluarga kami. Namun, kami percaya mereka syahid di sisi Allah,” katanya.

Menurut pihak berkuasa Palestin, kira-kira separuh daripada mangsa telah ditemui dan dikebumikan sejurus selepas serangan pada 2023, manakala 153 lagi kekal tertimbus sehingga operasi terbaharu dijalankan.

Daripada jumlah itu, hanya 112 mayat berjaya dikenal pasti dan dikeluarkan.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Basal, berkata proses mengenal pasti mangsa amat rumit kerana kebanyakan mayat telah mereput selepas tertimbus terlalu lama.

Beliau berkata identiti mangsa ditentukan melalui gabungan bukti forensik serta maklumat daripada ahli keluarga yang masih hidup.

“Ada mangsa dikenal pasti melalui pakaian, kesan kecederaan atau tanda khas pada tubuh mereka.

“Sesetengah mangsa dikenal pasti melalui plat logam yang dipasang pada tulang akibat pembedahan sebelum ini, manakala wanita dikenal pasti menerusi barang kemas atau rantai yang mempunyai nama mereka,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari hanya dapat dijalankan di kawasan yang tidak lagi berada di bawah kawalan tentera Israel.

Gencatan senjata yang diumumkan pada Oktober lalu mengurangkan intensiti pertempuran, namun serangan udara masih berlaku di beberapa kawasan.

Pada masa sama, tentera Israel kini menguasai kira-kira dua pertiga wilayah Gaza, sekali gus mengehadkan usaha mencari ribuan lagi mangsa yang masih dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Encik Basal berkata, sekurang-kurangnya 10 jengkaut, jentolak dan kren diperlukan bagi mempercepat operasi mencari.

“Jika kami mempunyai peralatan yang mencukupi, semua mayat yang masih tertimbus boleh dikeluarkan dalam tempoh kira-kira tiga bulan,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang terselamat, Encik Omar Al-Hassayna, 65 tahun, menyaksikan pengebumian ahli keluarganya menerusi siaran televisyen dari Kaherah selepas beliau meninggalkan Gaza beberapa hari selepas serangan itu.

Dalam tragedi tersebut, isterinya terbunuh bersama empat anak lelakinya, Abdallah, Abdel-Rahman, Ahmed dan Osama.

Empat cucunya, terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan berusia antara beberapa bulan hingga empat tahun, turut terkorban.

“Mereka sebahagian daripada diri saya. Setiap hari saya mengingati mereka. Saya melihat mereka dalam fikiran dan mimpi saya,” katanya sambil menahan sebak.

Menurut Encik Omar, ahli keluarganya berlindung di tiga blok pangsapuri yang didiami keluarga besar Al-Hassayna kerana menyangka lebih selamat berada bersama.

Namun, dua bangunan musnah sepenuhnya akibat serangan udara, menyebabkan hampir semua penghuni terbunuh.

Beliau terselamat selepas berada di bangunan ketiga yang hanya mengalami kerosakan sebahagian, manakala dua anak perempuan dan seorang anak lelakinya turut berjaya menyelamatkan diri.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, lebih 73,000 penduduk Palestin disahkan terbunuh sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023, manakala sekurang-kurangnya 7,400 lagi masih dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Pegawai rekod kementerian itu,Encik Zaher al-Waheidi, berkata jumlah sebenar mungkin jauh lebih tinggi kerana terdapat serangan yang mengorbankan seluruh keluarga tanpa ada waris yang tinggal untuk melaporkan kehilangan mereka.

Israel melancarkan operasi ketenteraan di Gaza selepas serangan pejuang Hamas ke atas selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyebabkan 251 lagi dijadikan tebusan.

Reuters melaporkan ia tidak dapat menemui kenyataan rasmi tentera Israel berhubung serangan udara di Sabra pada November 2023, manakala pihak tentera belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas insiden berkenaan. - Agensi berita