Topic followed successfully
Go to BHkuHantavirus: 3 maut atas kapal persiaran, WHO bimbang kes bertambah
Hantavirus: 3 maut atas kapal persiaran, WHO bimbang kes bertambah
Pertubuhan Kesihatan Sedunia yakin penularan dapat dibendung andai langkah pencegahan dilaksana segera
Hantavirus: 3 maut atas kapal persiaran, WHO bimbang kes bertambah
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 7 Mei memberi amaran lebih banyak kes hantavirus mungkin muncul setelah penyakit itu meragut tiga nyawa penumpang kapal persiaran.
Walau bagaimanapun, WHO yakin penularan dapat dibendung andai langkah pencegahan segera dilaksanakan.
Pada hari yang sama, seorang lagi penumpang ‘MV Hondius’ yang dijangkiti telah tiba di Eropah, sementara kapal itu belayar menuju Kepulauan Canary, Sepanyol.
Dalam pada itu, pegawai kesihatan gigih memantau penularan virus Andes – varian maut yang dikesan di atas ‘MV Hondius’ – yang diketahui berupaya berjangkit dari manusia ke manusia.
Tragedi yang menimpa ‘MV Hondius’ itu telah mencetuskan kebimbangan di seluruh dunia.
Namun, pegawai kesihatan berusaha meredakan panik meluas dengan menegaskan penyakit bawaan tikus kali ini jauh kurang berjangkit berbanding Covid-19.
Mangsa pertama yang terkorban merupakan pasangan warga Belanda, yang telah mengembara ke seluruh Amerika Selatan sebelum menaiki kapal tersebut di Ushuaia, Argentina, pada 1 April lalu.
Setakat 7 Mei, pihak berkuasa kesihatan Argentina masih buntu dalam mengenal pasti punca asal wabak berkenaan bermula.
“Berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini dari negara-negara terlibat dan agensi nasional yang menyertai siasatan, punca jangkitan masih belum dapat disahkan,” jelas kementerian kesihatan selepas mesyuarat bersama pihak berkuasa dari kesemua 24 wilayah di Argentina.
Ketua Pengarah, WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, mengumumkan lima kes disahkan dan tiga kes disyaki, termasuk tiga kematian.
Beliau turut mengingatkan, potensi peningkatan kes wujud memandangkan tempoh pengeraman virus Andes mampu mencapai enam minggu.
Sejajar dengan amaran itu, Pusat Perubatan Universiti Leiden di Belanda mengesahkan penemuan kes positif tambahan.
Pengarah Amaran Kecemasan dan Respons WHO, Dr Abdi Rahman Mahamud, yakin penularannya akan kekal “dibendung”, bergantung pada kerjasama kukuh peringkat sejagat dan pelaksanaan segera langkah kesihatan awam.
Mereka yang disahkan atau disyaki dijangkiti kini menerima rawatan atau dikuarantin merentasi Britain, Jerman, Belanda, Switzerland, dan Afrika Selatan.
Hantavirus, penyakit pernafasan yang jarang berlaku dan berpunca daripada tikus, membawa risiko kerosakan pernafasan, jantung, dan demam berdarah.
Ironinya, tiada vaksin atau penawar yang wujud buat masa ini.
Teori awal mendapati seorang penumpang telah membawa virus itu sebelum menaiki kapal di Argentina, menyebarkannya kepada yang lain ketika pelayaran merentas Lautan Atlantik.
Pihak berkuasa Argentina kini merancang ujian terhadap tikus di Ushuaia, lokasi pelayaran bermula 1 April, sebagai sebahagian siasatan.
Pengendali ‘MV Hondius’, Oceanwide Expeditions, melaporkan tiga individu dipindahkan pada 6 Mei di luar pesisir Cape Verde, dan seorang lagi tiba di Amsterdam pada 7 Mei.
Syarikat tersebut memastikan tiada penumpang bergejala kekal di atas kapal yang dijadual tiba di Tenerife, Sepanyol, pada 10 Mei. – AFP.

