Dua penduduk Singapura yang menaiki kapal persiaran, MV Hondius, yang dilaporkan dilanda peletusan jangkitan hantavirus Andes, sedang menjalani ujian.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), dalam satu kenyataan, berkata pihaknya dimaklumkan mengenai dua penduduk tersebut pada 4 Mei dan 5 Mei.

Kedua-dua individu itu telah diasingkan di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk menjalani ujian hantavirus.

Keputusan ujian mereka masih belum diketahui.

Jika mereka diuji negatif hantavirus, mereka akan menjalani kuarantin selama 30 hari dari tarikh terakhir mereka didedahkan kepada virus tersebut, memandangkan sebahagian besar kes hantavirus dijangka menunjukkan gejala dalam tempoh tersebut.

Mereka akan diuji sekali lagi sebelum dibebaskan daripada kuarantin, dan kemudian menjalani pemantauan melalui telefon bagi baki tempoh pengawasan selama 45 hari dari tarikh terakhir pendedahan kepada virus, iaitu tempoh inkubasi maksimum bagi pendedahan terhadap hantavirus.

Risiko jangkitan hantavirus kepada orang ramai di Singapura adalah rendah, tambah CDA.

Kapal persiaran tersebut, yang membawa sekitar 150 penumpang, terjejas pada awal Mei setelah jangkitan hantavirus tercetus, mengorbankan tiga nyawa.

Kejadian tersebut telah menyebabkan kapal tersebut terkandas di daerah kepulauan Cape Verde, Afrika, dan penumpang dan kru kapal tidak dibenarkan turun kapal.

Sejak permulaan jangkitan itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menegaskan bahawa risiko kepada orang awam secara meluas adalah rendah.

Manusia biasanya dijangkiti hantavirus melalui sentuhan dengan tikus yang dijangkiti atau air kencing, najis, serta air liur haiwan tersebut.

Penularan daripada manusia ke manusia jarang berlaku.