Topic followed successfully
Go to BHkuHarapan damai AS-Iran kian pudar, Trump dakwa gencatan senjata ‘nyawa-nyawa ikan’
Harapan damai AS-Iran kian pudar, Trump dakwa gencatan senjata ‘nyawa-nyawa ikan’
Trump dijangka tiba di Beijing untuk jumpa Xi Jinping pada 13 Mei
Harapan damai AS-Iran kian pudar, Trump dakwa gencatan senjata ‘nyawa-nyawa ikan’
WASHINGTON: Harapan untuk mencapai perjanjian damai antara Amerika Syarikat dan Iran semakin pudar selepas Presiden Donald Trump mendakwa gencatan senjata dengan Teheran kini berada dalam keadaan “nyawa-nyawa ikan”.
Kenyataan itu dibuat selepas Iran menolak cadangan Amerika untuk menamatkan konflik dan mengemukakan beberapa syarat yang disifatkan Encik Trump sebagai “karut”.
Encik Trump berkata respons Iran mengancam kedudukan gencatan senjata yang mula berkuat kuasa pada 7 April lalu.
“Saya boleh katakan gencatan senjata itu kini paling lemah selepas membaca dokumen karut yang mereka hantar kepada kami. Saya pun tidak habis membacanya,” katanya kepada pemberita.
Encik Trump sebelum ini beberapa kali mengancam untuk menamatkan gencatan senjata sekiranya Iran terus berkeras dalam rundingan.
Menurut laporan Reuters, Amerika sebelum ini mencadangkan supaya pertempuran dihentikan terlebih dahulu sebelum rundingan lebih sukar dimulakan, termasuk mengenai program nuklear Iran.
Bagaimanapun, Teheran tetap berpegang kepada beberapa tuntutan utama termasuk menamatkan perang di semua medan konflik termasuk di Lebanon, di mana sekutu Amerika, Israel, sedang bertempur dengan Hezbollah yang disokong Iran.
Iran turut menegaskan kedaulatannya ke atas Selat Hormuz, menuntut pampasan kerosakan perang dan mendesak penamatan sekatan laut Amerika di rantau Teluk.
Kebuntuan itu menyebabkan ketegangan di Selat Hormuz terus memuncak.
Harga minyak mentah Brent meningkat melebihi AS$104.50 ($132.87) setong dalam dagangan awal Asia pada 12 Mei susulan kebimbangan terhadap laluan perdagangan tenaga dunia itu.
Sebelum perang bermula pada 28 Februari lalu, Selat Hormuz mengendalikan hampir satu perlima penghantaran minyak dan gas asli cecair dunia. Kini, laluan sempit itu menjadi titik tekanan utama dalam konflik antara Iran, Amerika dan Israel.
Gangguan akibat hampir penutupan selat tersebut memaksa pengeluar minyak mengurangkan eksport masing-masing.
Tinjauan Reuters pada 11 Mei menunjukkan pengeluaran minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) jatuh lagi pada April ke paras terendah dalam tempoh lebih dua dekad.
Pada masa sama, Amerika mengenakan sekatan baharu terhadap individu dan syarikat yang didakwa membantu Iran menghantar minyak ke China.
Washington berkata langkah itu bertujuan menyekat sumber kewangan Teheran bagi program ketenteraan dan nuklearnya.
Amerika turut memberi amaran kepada bank-bank antarabangsa berhubung cubaan mengelak sekatan sedia ada.
Sementara itu, trafik kapal di Selat Hormuz terus merosot berbanding sebelum perang.
Data perkapalan daripada Kpler dan LSEG menunjukkan hanya tiga kapal tangki minyak mentah keluar dari selat itu minggu lalu, dengan sistem pengesanan dimatikan bagi mengelakkan serangan Iran.
Sebuah lagi kapal gas asli cecair (LNG) Qatar dilaporkan sedang cuba melalui selat itu beberapa hari selepas penghantaran pertama berjaya dilakukan menerusi satu pengaturan melibatkan Iran dan Pakistan.
Di Amerika sendiri, perang tersebut dilihat semakin tidak popular dalam kalangan pengundi menjelang pilihan raya kebangsaan yang akan menentukan sama ada Parti Republikan pimpinan Encik Trump dapat mengekalkan penguasaan di Kongres.
Tinjauan Reuters/Ipsos yang disiapkan pada 11 Mei mendapati dua daripada tiga rakyat Amerika percaya Encik Trump gagal menjelaskan dengan jelas sebab negara itu terlibat dalam perang.
Tinjauan itu juga menunjukkan seorang daripada tiga penyokong Republikan dan hampir semua penyokong Demokrat mempunyai pandangan sama.
Kenaikan harga bahan api akibat konflik itu turut meningkatkan tekanan politik terhadap pentadbiran Encik Trump.
Washington juga dilaporkan berdepan kesukaran mendapatkan sokongan antarabangsa untuk membuka semula Selat Hormuz sepenuhnya.
Negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) setakat ini enggan menghantar kapal tentera ke Selat Hormuz tanpa perjanjian damai menyeluruh dan mandat antarabangsa yang jelas.
Dalam kenyataan berasingan pada 11 Mei, Jabatan Negara Amerika memaklumkan Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat dari Australia dan Britain mengenai usaha memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memberikan butiran lanjut.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, yang berhubung rapat dengan Amerika, Iran dan Pakistan sejak perang bermula, dijadual mengadakan rundingan di Qatar pada 12 Mei.
Menurut sumber diplomatik Turkey, perbincangan itu akan memberi tumpuan kepada konflik semasa serta usaha memastikan keselamatan pelayaran di Selat Hormuz. – Agensi berita.
