ISLAMABAD/WASHINGTON: Harapan bagi huraian diplomatik dalam perang antara Amerika Syarikat dan Israel menentang Iran kian pudar, dengan rundingan yang bertujuan menamatkan konflik dua bulan itu kini menemui jalan buntu apabila pihak Teheran dan Washington menunjukkan sedikit kesediaan untuk melonggarkan syarat masing-masing.

Menteri Ehwal Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, meninggalkan negara perantara, Pakistan, dengan tangan kosong pada 25 April.

Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, membatalkan lawatan utusannya, Encik Steve Witkoff dan Encik Jared Kushner, ke Islamabad.

Kebuntuan itu menyebabkan Amerika dan Iran terus terperangkap dalam konfrontasi, yang telah melonjakkan harga tenaga ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun, selain mencetuskan inflasi dan menjejaskan prospek pertumbuhan global.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, memberitahu Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menerusi panggilan telefon bahawa Teheran tidak akan menyertai rundingan yang dipaksa di bawah ancaman atau sekatan, menurut kenyataan pemerintah Iran.

Encik Pezeshkian berkata Amerika harus terlebih dahulu menghapuskan halangan operasi, termasuk sekatan ke atas pelabuhan Iran, sebelum perunding boleh membentangkan sebarang asas untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Encik Araqchi menyifatkan lawatannya ke Pakistan sebagai sangat membuahkan hasil.

Namun, sumber diplomatik Iran di Islamabad berkata Teheran tidak akan menerima tuntutan melampau daripada Amerika.

Di Florida, Encik Trump memberitahu media bahawa beliau membatalkan lawatan utusannya kerana rundingan itu melibatkan terlalu banyak perbelanjaan dan masa perjalanan untuk mempertimbang tawaran yang tidak mencukupi daripada pihak Iran.

Menerusi hantaran di platform Truth Social, beliau menulis bahawa terdapat “banyak sangat pertikaian dalaman dan kekeliruan” dalam kepimpinan Iran.

Pada 23 April, Encik Pezeshkian berkata bahawa tiada golongan pelampau atau sederhana di Teheran dan negara itu berdiri teguh di belakang Pemimpin Tertingginya.

Perunding tertinggi Iran, Encik Mohammad Baqer Qalibaf dan Encik Araqchi, turut mengulangi mesej yang sama baru-baru ini.

Menambah kepada ketegangan serantau, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengarahkan tenteranya menyerang sasaran Hezbollah di Lebanon, menurut pejabatnya.

Langkah itu terus menguji gencatan senjata yang baru berlangsung selama tiga minggu.

Sebelum konflik, sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz, menjadikannya antara laluan paling penting di dunia. Namun, krisis semasa menunjukkan betapa mudah laluan ini terganggu oleh tindakan ketenteraan dan tekanan politik.
Sebelum konflik, sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz, menjadikannya antara laluan paling penting di dunia. Namun, krisis semasa menunjukkan betapa mudah laluan ini terganggu oleh tindakan ketenteraan dan tekanan politik. - Foto REUTERS

Teheran sebahagian besarnya telah menutup Selat Hormuz, yang biasanya membawa satu perlima daripada penghantaran minyak global dan gas asli cecair, manakala Washington menyekat eksport minyak Iran.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, sebelum ini berkata Amerika telah melihat beberapa kemajuan daripada pihak Iran dan Naib Presiden, Encik JD Vance, bersedia untuk melawat Pakistan.

Encik Vance telah mengetuai pusingan pertama rundingan yang tidak berjaya di Islamabad pada April.

Konflik Amerika-Iran, yang kini dalam tempoh gencatan senjata, bermula dengan serangan udara Amerika dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari. Sejak itu, Iran telah menyerang Israel, pangkalan Amerika dan negara-negara Teluk. – Reuters.