Topik diikuti
Pergi ke BHkuKemelut Timur Tengah berlarutan, terus sedia hadapi cabaran
Kemelut Timur Tengah berlarutan, terus sedia hadapi cabaran
Warga perlu mainkan peranan berjimat, bijak berbelanja
Kemelut Timur Tengah berlarutan, terus sedia hadapi cabaran
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, baru-baru ini mengumumkan gencatan senjata tanpa tempoh masa berkaitan perangnya terhadap Iran.
Beliau berkata keputusan itu dibuat atas permintaan pengantara dari Pakistan.
Pengumuman itu membuat banyak negara menarik nafas lega kerana serangan ganas, kemusnahan kemudahan dan kematian orang awam dapat dielakkan.
Ini diiringi harapan agar laluan perkapalan di Selat Hormuz dapat berjalan seperti biasa seperti sebelum perang.
Namun, kini berlaku keadaan buntu di selat itu selepas Amerika melakukan kepungan ke atas pelabuhan Iran di selat itu.
Iran pula mendakwa kepungan itu melanggar gencatan itu dan kemudian melakukan sekatan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.
Akibatnya, laluan bekalan minyak, gas asli, baja dan pelbagai barangan serta makanan tersekat lagi sebagaimana sewaktu perang berlaku antara Amerika-Israel dengan Iran.
Keadaan tidak menentu ini menyebabkan harga dua komoditi penting, minyak dan gas asli, melonjak semula.
Sebulan lalu (pada 29 Mac), saya menulis agar warga sediakan payung sebelum hujan, memandangkan konflik perang itu mampu menyebabkan kesan besar khususnya kenaikan kos sara hidup.
Pada waktu itu, belum dipastikan sama ada ‘hujan’ yang bakal turun itu renyai-renyai atau hujan lebat.
Namun yang penting adalah kita perlu bersedia dalam menghadapi apa jua cabaran supaya tidak akan terlalu terjejas.
Pada masa itu juga, kemelut perang tersebut telah menyebabkan kenaikan harga minyak mentah dan gas asli, yang kemudiannya menyebabkan bukan sahaja kos rantaian bekalan seperti pengangkutan meningkat, bahkan menyebabkan kenaikan harga barangan dan makanan keperluan.
Di Singapura, kita telah pun menyaksikan kenaikan harga petrol, diesel, elektrik dan bahan api pesawat.
Langkah pemerintah bantu warga
Pada 7 April, pemerintah Singapura bergerak pantas dengan mengumumkan beberapa langkah utama untuk membantu warga Singapura menangani kesan kemelut tersebut.
Ia mengumumkan pakej sokongan bernilai hampir $1 bilion yang bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga tenaga ke atas perniagaan dan isi rumah.
Jumlah itu merupakan tambahan kepada $155 bilion yang telah diumumkan semasa Belanjawan 2026 pada Februari.
Antara lain pakej itu termasuk bantuan tunai $200 kepada pekerja platform, pemandu kereta sewa swasta dan pemandu teksi yang aktif mulai hujung April 2026.
Pengagihan Baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) $500 juga akan diberikan lebih awal pada Jun 2026, berbanding jadual asal Januari 2027, seperti diumumkan semasa Belanjawan sebelum ini.
Selain itu, Bayaran Khas Kos Sara Hidup pula akan ditambah sebanyak $200 untuk sekitar 2.4 juta rakyat Singapura yang layak.
Mengumumkan demikian, Timbalan Perdana Menteri, Encik Gan Kim Yong, turut menggesa rakyat Singapura agar bersiap sedia menghadapi masa sukar yang mendatang di tengah-tengah krisis tenaga yang timbul akibat konflik di Timur Tengah.
Pemerintah, katanya, akan menyediakan sokongan kepada mereka yang paling terjejas oleh krisis tersebut,
Tambahnya, sebagai sebuah ekonomi kecil dan sangat terbuka, Singapura tidak dapat melindungi dirinya sepenuhnya daripada krisis tenaga yang sedang berlaku, yang telah membawa kepada kenaikan harga minyak, elektrik, pengangkutan dan keperluan harian.
Justeru, satu Jawatankuasa Menteri Krisis Dalam Negeri (HCMC) diketuai Menteri Ehwal Dalam Negeri yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Encik K. Shanmugam, telah bersidang dan menyelaraskan tindak balas negara terhadap kesan konflik tersebut.
Jawatankuasa itu memberi tumpuan pada beberapa bidang, termasuk menjamin bekalan seperti gas asli cecair (LNG) dan diesel; memperkukuh daya tahan ekonomi; menyediakan bantuan bersasar kepada yang paling terjejas; dan membantu pekerja dengan latihan dan sokongan pekerjaan.
Peranan warga
Namun warga juga mesti memainkan peranan mereka.
Mereka tidak boleh mengambil mudah akan kesan kemelut itu yang boleh berpanjangan.
Mereka tidak boleh berpeluk tubuh sambil memerhatikan sahaja keadaan tanpa melakukan apa-apa atau mengambil remeh kesan kemelut di Timur Tengah itu.
Langkah aktif perlu diambil.
Antaranya, perkukuh simpanan agar kita dan keluarga dapat menghadapi kenaikan kos sara hidup.
Simpanlah secara bijak dan seberapa banyak yang boleh agar simpanan kita tidak terhakis dek inflasi yang telah mula kelihatan kelibatnya.
Berhemat berbelanja
Selain itu, berhematlah dalam perbelanjaan keluarga.
Berbelanjalah bagi makan minum keluarga dan keperluan lain, tetapi usah terlalu boros.
Amalkan apa yang selalu dipesan pakar kewangan: Belanjalah apa yang diperlukan, bukan apa yang diinginkan.
Kita mesti pastikan diri kita dan keluarga tidak terjerumus dalam keadaan sukar dari segi kewangan sedang kenaikan kos barangan dan makanan berlaku.
Yakinlah, tidak rugi jika kita merancang dengan bijak perbelanjaan dan penyimpanan dana.
Namun kita akan rugi jika kita gagal merancang.
Kemelut perang dan ketegangan di Timur Tengah ini bukan satu cabaran atau keadaan yang boleh dipandang ringan.
Masyarakat harus bersedia, hati-hati dan berhemat.
