Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harapan gencatan senjata cerah, lebih banyak rundingan dirancang

Feb 8, 2024 | 2:29 PM
Penduduk Palestin terpaksa berpindah lagi ekoran serangan tentera Israel di Khan Younis, selatan Gaza, pada 2 Februari.
Penduduk Palestin terpaksa berpindah lagi ekoran serangan tentera Israel di Khan Younis, selatan Gaza, pada 2 Februari. - Foto EPA-EFE

DOHA: Pengantara dari Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir giat berusaha melaksanakan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas di Gaza selepas diplomat tertinggi Amerika dalam misi Timur Tengah berkata masih ada harapan untuk perjanjian dicapai.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, berkata beliau melihat ruang untuk rundingan.

Delegasi Hamas-Palestin yang diketuai oleh pegawai kanannya, Encik Khalil Al-Hayya, dijangka berkunjung ke Kahirah pada 8 Februari untuk rundingan gencatan senjata dengan Mesir dan Qatar.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 7 Februari menolak tawaran terbaru Hamas, menyifatkannya sebagai satu “khayalan” dengan Hamas menggesa militan bersenjata Palestin agar meneruskan pertempuran.

“Jelas terdapat ruang bagi mencapai persetujuan dalam apa yang (Hamas) kemukakan,” kata Encik Blinken dalam sidang akhbar lewat malam pada 7 Februari di sebuah hotel Tel Aviv, sambil menyatakan ada juga aspek (usulan) yang jelas tidak dapat diterima.

“Tetapi kami juga melihat ruang meneruskan rundingan... untuk melihat sama ada kami boleh mencapai persetujuan. Itulah yang kami ingin lakukan,” tegasnya.

Sebelum pulang ke Amerika, Encik Blinken dijangka mengadakan mesyuarat di Israel pada 8 Februari termasuk dengan anggota keluarga tebusan.

Hamas, kumpulan militan yang memerintah Gaza, mencadangkan gencatan senjata selama empat setengah bulan yang membolehkan pembebasan semua tebusan yang ditahan di Gaza di samping menuntut Israel mengundurkan tenteranya dari Gaza dan bersetuju untuk menamatkan perang.

Tawaran Hamas adalah tindak balas kepada cadangan yang dirangka oleh ketua perisik Amerika berserta Israel dan dihantar kepada Hamas minggu lalu oleh pengantara Qatar dan Mesir.

Sebagai tindak balas terhadap saranan Hamas, Encik Netanyahu memperbaharui ikrar untuk terus memusnahkan Hamas.

“Menyerah kepada tuntutan khayalan Hamas... bukan sahaja tidak akan membawa pembebasan tebusan, malah ia akan mengundang satu lagi pembunuhan beramai-ramai.

“Ia akan mengundang bencana lebih besar bagi negara Israel yang tidak seorang pun rakyat kita sanggup terima,” kata Encik Netanyahu kepada media pada 7 Februari.

“Tekanan ketenteraan yang berterusan adalah syarat yang diperlukan untuk pembebasan tebusan,” tambahnya.

Israel memulakan serangan ke atas Gaza selepas militan Hamas membunuh lebih 1,400 orang dan menawan 240 tebusan di selatan Israel pada 7 Oktober.

Serangan balas Israel itu sehingga kini telah membunuh lebih 27,000 rakyat Palestin, kata Kementerian Kesihatan Gaza.

Dalam gencatan selama seminggu pada akhir November 2023, seramai 110 tebusan dibebaskan dan Israel membebaskan 240 tahanan Palestin. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg