Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarapan keamanan Timur Tengah makin cerah, Israel bincang gencatan senjata Lebanon
Harapan keamanan Timur Tengah makin cerah, Israel bincang gencatan senjata Lebanon
Harapan keamanan Timur Tengah makin cerah, Israel bincang gencatan senjata Lebanon
WASHINGTON/JERUSALEM: Harapan untuk menamatkan perang di Timur Tengah semakin tinggi pada 16 April, apabila seorang pengantara utama Pakistan tiba di Teheran sedang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyuarakan keyakinan bahawa perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz bakal tercapai.
Sementara itu, Kabinet Israel bermesyuarat pada 15 April untuk membincangkan kemungkinan gencatan senjata di Lebanon yang berjiran, kata seorang pegawai kanan Israel – lebih enam minggu selepas perang dengan Hezbollah yang disokong Iran.
Menurut pegawai Lebanon, gencatan senjata mungkin diumumkan tidak lama lagi.
Menamatkan pertempuran di Lebanon merupakan halangan utama dalam rundingan damai sebelum ini, bersama cara menangani cita-cita nuklear Tehran.
Pegawai Amerika dan Iran sedang menimbangkan untuk kembali ke Pakistan bagi rundingan lanjut seawal hujung minggu ini, selepas rundingan pada 12 April berakhir tanpa sebarang kejayaan.
Ketua tentera Pakistan dan pengantara utama dalam rundingan ini, Jeneral Asim Munir, tiba di Teheran pada 15 April bagi mencegah konflik daripada tercetus semula.
“Kami berasa optimis mengenai prospek perjanjian ini,” kata jurucakap akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, dalam satu sidang akhbar pada 15 April, menyifatkan perbualan yang diperantarai Pakistan sebagai “produktif dan berterusan”.
Beliau menafikan laporan bahawa Amerika telah secara rasmi meminta lanjutan gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak pada 8 April.
Lebih banyak rundingan secara bersemuka belum lagi disahkan tetapi berkemungkinan berlangsung di Pakistan semula, kata Cik Leavitt.
Tentera Pakistan mengesahkan bahawa Jeneral Munir telah tiba di Teheran. Sumber kanan Iran berkata Jeneral Munir, yang telah menjadi pengantara dalam pusingan rundingan terakhir, akan berusaha untuk “merapatkan jurang” antara kedua-dua pihak.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, membuat hantaran di X mengalu-alukan kedatangan Jeneral Munir dan berkata Teheran komited untuk “mempromosikan keamanan dan kestabilan di rantau ini”.
Rundingan hujung minggu lalu terhenti tanpa perjanjian untuk menamatkan perang, yang dimulakan oleh Encik Trump bersama Israel pada 28 Februari, mencetuskan serangan Iran ke atas beberapa negara jiran Teluk serta menghidupkan semula konflik Israel-Hezbollah.
Pasaran saham melonjak kukuh dalam beberapa hari kebelakangan ini, didorong oleh jangkaan bahawa pertempuran akan segera berakhir. Indeks di Wall Street mencapai paras rekod pada 15 April apabila harga minyak mentah stabil.
Tekanan Ekonomi ke atas Iran
Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, meramalkan bahawa pembelian minyak Iran oleh China akan “terhenti” memandangkan sekatan Amerika ke atas kapal-kapal yang singgah di pelabuhan Iran.
Beliau berkata Amerika boleh mengenakan sekatan ke atas negara yang membeli minyak mentah Iran.
Perbendaharaan Amerika telah memberi amaran kepada dua bank China untuk tidak memproses wang Iran atau berhadapan dengan sekatan. Sebelum ini, China membeli lebih 80 peratus minyak yang dihantar Iran.
Encik Trump berkata pada 15 April bahawa beliau telah memberitahu Presiden China, Encik Xi Jinping untuk tidak memberikan senjata kepada Iran, yang mana Encik Xi berkata beliau tidak berbuat demikian.
Perang tersebut telah mendorong Iran untuk menutup selat itu, laluan penting bagi penghantaran minyak mentah dan gas global, kepada kapal asing, sekali gus mengurangkan eksport dari Teluk dengan ketara dan memaksa pengimport tenaga mencari bekalan alternatif. – Reuters.
