MUSCAT: Pertemuan yang dirancang antara Iran dengan beberapa negara Arab Teluk yang diserangnya sepanjang perang ditangguhkan tanpa tarikh baru pada 13 September, menyerlahkan kesukaran usaha diplomatik untuk meredakan konflik yang semakin meluas di Timur Tengah.

Pertemuan itu dijadual berlangsung di Salalah, Oman, pada 14 September, dengan Iran dan beberapa negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dijangka membincangkan rancangan mewujudkan laluan sementara bagi kapal melalui Selat Hormuz.

Menteri Luar Oman, Encik Badr Albusaidi, mengumumkan penangguhan itu lewat 13 September, sambil berkata keputusan tersebut dibuat “demi mencapai kata sepakat”.

“Kami kekal komited untuk menggalakkan dialog yang menyokong kestabilan dan kerjasama berkekalan di rantau kami,” katanya menerusi X.

Penangguhan itu berlaku ketika negara-negara Teluk berdepan dilema dalam hubungan mereka dengan Iran.

Beberapa negara di rantau itu menjadi sasaran serangan Iran sepanjang perang, tetapi pada masa sama perlu berunding dengan Teheran bagi mengurangkan ketegangan dan memulihkan pelayaran melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi eksport minyak dan gas dunia.

Usaha itu menjadi semakin mendesak selepas Iran mengenakan sekatan berkesan terhadap selat berkenaan, sekali gus menjejas eksport minyak negara-negara Arab Teluk dan menggoncang pasaran tenaga global.

Iran dan Oman, yang kedua-duanya bersempadan dengan Selat Hormuz, sudah beberapa minggu berunding mengenai aturan untuk membolehkan semula kapal menggunakan laluan tersebut.

Namun, Teheran memberi isyarat bahawa sebarang persetujuan tidak bermakna Selat Hormuz akan dibuka sepenuhnya kerana Iran masih mahu menentukan kapal yang dibenarkan melaluinya.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, sebelum ini menyifatkan pertemuan yang dirancang di Oman itu sebagai satu “peristiwa penting” dan langkah ke arah membina kepercayaan.

Bagaimanapun, perbezaan pendirian dalam kalangan negara Teluk sudah kelihatan sebelum pertemuan itu ditangguhkan.

Bahrain, yang berulang kali menjadi sasaran peluru berpandu dan dron Iran sepanjang perang, menyatakan ia tidak akan mengambil bahagian.

Dalam temu bual dengan portal berita pan-Arab berpangkalan di London, Al-Arabi Al-Jadeed, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, berkata walaupun terdapat sebarang perjanjian dengan Oman, Iran tidak akan membuka semula selat berkenaan sehingga Amerika Syarikat memenuhi tuntutan Teheran.

Encik Araghchi berkata Teheran akan menyerahkan perincian perjanjiannya dengan Oman serta peta berkaitan laluan baharu itu kepada negara-negara yang mengambil bahagian.

Beliau menegaskan perjanjian dengan Oman itu sama sekali tidak bermaksud Selat Hormuz akan dibuka semula.

Encik Araghchi berkata syarat Iran untuk membuka semula laluan air strategik itu ialah Amerika kembali mematuhi komitmennya di bawah Memorandum Persefahaman Islamabad.

Beliau berkata Teheran percaya tanggungjawab untuk menjamin keselamatan dan kestabilan di rantau itu terletak sepenuhnya di bahu negara-negara serantau.

Selepas tempoh Ogos yang agak tenang apabila aliran minyak dari Asia Barat kembali meningkat secara beransur-ansur, dua minggu lalu menyaksikan peningkatan berterusan dalam perang yang dilancarkan Amerika dan Israel enam bulan lalu.

Tiada rundingan damai diadakan sejak perjanjian sementara pada Jun lalu gagal selepas hanya beberapa minggu.

Ketegangan di Selat Hormuz juga meningkat semula pada hujung minggu apabila sebuah kapal dilaporkan terkena projektil sehingga terbakar.

Agensi Keselamatan Maritim United Kingdom (UKMTO), badan pemantauan yang dikendalikan Tentera Laut Britain, melaporkan kejadian itu pada 13 September.

Media pemerintah Iran pula melaporkan satu “serangan musuh” terhadap sebuah kapal komersial berhampiran Pulau Qeshm dan Hengam yang menyebabkan seorang terbunuh.

Usaha berasingan antara Iran dengan Amerika Syarikat untuk membuka semula Selat Hormuz juga menunjukkan sedikit kemajuan, dengan kedua-dua pihak saling melancarkan serangan terhadap kapal tangki minyak di Teluk Parsi pada awal September.

Iran menuntut beberapa konsesi daripada Washington sebelum menamatkan sekatan itu, termasuk pemansuhan sekatan ekonomi dan pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara.

Pentadbiran Presiden Donald Trump pula tidak mungkin memenuhi tuntutan tersebut tanpa Iran bersetuju mengehadkan program nuklearnya.

Krisis itu sudah memberi kesan besar terhadap pasaran tenaga, dengan harga minyak mentah Brent melonjak kepada sekitar AS$110 setong ($139) minggu lalu sebelum susut kepada sekitar AS$105.

Di sebalik ketegangan itu, beberapa negara Teluk masih cuba membuka ruang diplomasi dengan Teheran.

Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Khaled bin Mohamed Al Nahyan, bertemu Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, di luar Sidang Puncak Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan(Brics) di India pada 12 September.

Ia merupakan pertemuan terbuka pertama antara pemimpin kanan kedua-dua negara sejak perang bermula pada akhir Februari susulan serangan Amerika dan Israel terhadap Iran.

Menurut agensi berita WAM, kedua-dua pemimpin menekankan keperluan mengurangkan ketegangan, mengelakkan konflik daripada terus meningkat dan memperkukuh kestabilan serantau.

Penasihat Presiden UAE, Encik Anwar Gargash, berkata pertemuan itu mencerminkan pendekatan Abu Dhabi yang menggabungkan usaha mencegah ancaman dengan diplomasi.

Konflik itu turut merebak ke Yaman, dengan kumpulan Houthi yang disokong Iran merampas pelabuhan strategik Mokha dan Pulau Perim di Selat Bab al-Mandab serta menyerang kemudahan tenaga Saudi.

Arab Saudi pada 11 September terpaksa menutup saluran paip minyak Timur-Barat selepas ia menjadi sasaran dron dari Iraq. Saluran itu menjadi laluan alternatif penting bagi eksport minyak Saudi selepas Selat Hormuz disekat.

Keadaan itu menyebabkan negara-negara Teluk perlu mengimbangi dua kepentingan yang bertentangan – melindungi diri daripada serangan Iran sambil mengekalkan hubungan dengan Teheran bagi mengelakkan konflik lebih besar.

Pensyarah sejarah Universiti Kuwait, Encik Bader al-Saif, berkata negara-negara Teluk bersikap pragmatik kerana mahu memastikan konflik tidak menggugat rancangan pembangunan dan kestabilan dalam negeri mereka.

Penangguhan pertemuan di Oman menunjukkan betapa sukarnya usaha itu, sedang perang terus merebak dan negara-negara Teluk cuba mencari jalan untuk berunding dengan Iran walaupun mereka sendiri menjadi sasaran serangannya. - Agensi berita