Topic followed successfully
Go to BHkuHarga baja melonjak, peladang Indonesia terhimpit
Harga baja melonjak, peladang Indonesia terhimpit
Harga baja melonjak, peladang Indonesia terhimpit
JAKARTA: Petani Indonesia menghadapi peningkatan kos pengeluaran dan bekalan baja kimia ekoran perang Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, lapor Kesatuan Peladang Indonesia (SPI).
Ketua bahagian penilaian dan aplikasi agroekologi di SPI, Encik Kusnan, menyatakan baja berasaskan nitrogen seperti urea sangat bergantung pada gas asli, menjadikannya sangat terdedah kepada lonjakan harga tenaga sejagat semasa.
Kesannya telah “dirasai secara mendalam” oleh anggota SPI di seluruh Indonesia meskipun pemerintah mendakwa bekalan dalam negara masih stabil.
“Para petani telah menghadapi ketidakpastian sejak awal tahun ini (2026).
“Kebimbangan utama bukan saja harga yang tinggi, bahkan juga akses kepada baja bersubsidi apabila musim penanaman tiba,” kata Encik Kusnan.
Beliau memberi amaran tentang tekanan kos terhadap petani dan kestabilan harga makanan.
Sebagai tindak balas, ramai petani beralih kepada baja organik untuk memenuhi keperluan mereka.
“Ini bukan lagi satu pilihan tetapi strategi untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasaran bahan kimia global yang tidak menentu,” tambahnya.
Krisis Timur Tengah telah mengekang perkapalan di Selat Hormuz – laluan eksport penting terutama untuk baja berasaskan nitrogen – yang menyebabkan harganya meningkat sebanyak 70 peratus di beberapa pasaran.
Iran kini menguasai laluan yang juga membekalkan 25 peratus bekalan tenaga sejagat.
Perang itu juga telah mencetuskan lonjakan mendadak harga gas asli, bahan mentah utama untuk pengeluaran baja urea, termasuk di Indonesia.
Negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Qatar dan Oman telah menjadi penyumbang utama – membekalkan kira-kira 25 peratus daripada eksport urea sejagat.
PT Pupuk Indonesia menghasilkan kira-kira 9.4 juta tan baja setiap tahun dengan menggunakan gas asli, tetapi ia masih sangat bergantung pada import untuk sektor pertanian.
“Di peringkat pekebun kecil, ini bukan sekadar isu global. Petani rasakan tekanan ekonomi yang sebenar,” kata Encik Kusnan.
Beliau menjelaskan bahawa persaingan sejagat kian sengit apabila ekonomi utama seperti China dan India mengutamakan keselamatan makanan domestik di tengah-tengah kebimbangan kekurangan bekalan.
Pihak berkuasa di China dan Russia juga telah mengetatkan sekatan eksport bagi memenuhi permintaan domestik di negara masing-masing.
Pakar ekonomi kanan di Institut Pembangunan Ekonomi dan Kewangan, Profesor Bustanul Arifin, menggesa pemerintah supaya meningkatkan subsidi baja, sekurang-kurangnya ke tahap 2025.
Belanjawan negara bagi 2026 menetapkan harga yang lebih rendah untuk baja bersubsidi berbanding 2025. – Agensi berita.

