Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarga minyak dunia melonjak cetus bantahan di beberapa negara
Harga minyak melepasi AS$100 setong; kekurangan bahan api cetus gangguan elektrik, tekanan kos hidup
Harga minyak dunia melonjak cetus bantahan di beberapa negara
JAKARTA: Kenaikan harga minyak dunia melebihi AS$100 ($126) setong akibat perang Amerika Syarikat-Israel dengan Iran mencetuskan bantahan dan kekurangan bahan api di beberapa negara, selain menyebabkan gangguan bekalan elektrik serta meningkatkan tekanan terhadap kos sara hidup.
Dari Indonesia dan Bangladesh hingga Syria dan Guatemala serta Portugal, kesan lonjakan harga tenaga semakin dirasakan apabila pengguna berdepan harga bahan api lebih tinggi, sementara pemandu pengangkutan awam, nelayan dan pekerja lain mendapati pendapatan mereka semakin terhakis.
Negara membangun di Asia antara yang paling terjejas kerana banyak bergantung pada bekalan tenaga dari Timur Tengah.
Pemerintah di rantau itu kini berdepan pilihan sukar sama ada membenarkan kenaikan harga bahan api ditanggung pengguna, yang boleh meningkatkan inflasi dan kemarahan rakyat, atau menambah subsidi yang boleh membebankan kewangan negara.
Pensyarah Universiti Nasional Australia (ANU), Cik Sana Jaffrey, berkata persoalan utama ialah sejauh mana negara Asia dan negara membangun lain mempunyai kemampuan kewangan untuk terus menangani kesan krisis geopolitik tersebut.
“Pada satu tahap, ia akan menjadi masalah semua pihak,” katanya.
Indonesia antara terjejas
Di Indonesia, masalah bekalan semakin ketara di Makassar, Sulawesi Selatan, dengan penduduk berdepan kekurangan gas memasak, gangguan bekalan elektrik dan catuan petrol.
Barisan panjang kelihatan di stesen minyak, sementara sesetengah penunggang motosikal terpaksa menolak kenderaan selepas kehabisan petrol.
Pemandu teksi mengadakan bantahan pada 14 September terhadap sistem catuan baru berdasarkan nombor ganjil atau genap pada plat pendaftaran kenderaan.
Syarikat tenaga milik pemerintah, Pertamina, pula mengambil langkah menambah bekalan bahan api bersubsidi dan melanjutkan waktu operasi stesen minyak selepas barisan kenderaan di sesetengah kawasan dilaporkan mencecah lebih satu kilometer.
Kira-kira 150 pelajar dan pekerja turut mengadakan bantahan di pejabat Pertamina di Makassar berhubung masalah bekalan.
Ketegangan juga meningkat di Yogyakarta apabila pelajar mengadakan demonstrasi membantah kenaikan harga bahan api.
Pada masa sama, perbincangan mengenai kemungkinan mengehadkan akses golongan berpendapatan sederhana dan tinggi kepada bahan api bersubsidi semakin rancak.
Sebelum perang tercetus, pemerintah Indonesia menyediakan perancangan kewangannya berdasarkan andaian harga minyak sekitar AS$70 setong.
Nelayan Filipina tidak mampu ke laut
Di Filipina, kenaikan harga bahan api menjejaskan mata pencarian nelayan dan pemandu pengangkutan awam.
Ramai nelayan di Teluk Manila yang menggunakan bot diesel atau petrol memilih untuk tidak turun ke laut kerana tidak mampu membeli bahan api.
Pengerusi sebuah persatuan nelayan nasional, Encik Fernando Hicap, berkata ramai nelayan mahu kembali bekerja selepas berminggu-minggu berdepan hujan monsun tetapi tidak mempunyai wang mencukupi untuk membeli petrol.
Pemandu bas dan pekerja khidmat pengangkutan pula mengadakan bantahan di Quezon City.
Ketua sebuah kumpulan yang mewakili sekitar 70,000 pemandu dan pemilik bas, Encik Modesto Floranda, berkata bekerja selama 15 hingga 18 jam sehari kini hanya menghasilkan pendapatan yang mencukupi untuk membeli satu hidangan makanan.
Pemerintah Filipina menawarkan bantuan sekali bayar kira-kira AS$80 kepada pemandu pengangkutan awam, tetapi pekerja berkata jumlah itu tidak mencukupi.
Kilang Bangladesh turut terjejas
Di Bangladesh, yang mengimport lebih 90 peratus petroleum yang digunakannya, kekurangan tenaga turut menjejaskan sektor perkilangan.
Kekurangan gas asli cecair yang digunakan untuk menjana elektrik menyebabkan bekalan tenaga dicatu dan operasi beberapa kilang pakaian terganggu.
Di Gazipur, antara pusat utama industri pakaian Bangladesh, gangguan elektrik dilaporkan berlaku empat atau lima kali sehari.
Kesannya, operasi kilang terhenti selama beberapa jam, menjejaskan pengeluaran serta ribuan pekerja.
Bantahan merebak ke Syria, Portugal
Di Syria, orang ramai turun ke jalan raya selepas pemerintah menaikkan harga diesel sehingga 40 peratus dan petrol sekitar 28 peratus.
Penunjuk perasaan membakar tayar, menyekat jalan raya dan mendesak kenaikan harga dibatalkan.
Bantahan itu antara yang terbesar di Syria sejak kejatuhan pemerintah Bashar al-Assad pada Disember 2024.
Di Portugal, pemandu pula mengadakan bantahan dengan memandu perlahan sambil membunyikan hon selepas harga diesel mencecah paras tertinggi dalam sejarah negara itu.
Protes menyebabkan kesesakan di beberapa laluan utama, termasuk Jambatan 25 de Abril di Lisbon, sementara satu konvoi telah menyekat akses ke kawasan berhampiran sebuah pusat penapisan minyak utama di Sines.
Di Guatemala, pekerja pengangkutan dan aktivis masyarakat peribumi turut mengadakan demonstrasi menuntut langkah lebih menyeluruh daripada pemerintah bagi menangani kenaikan harga.
Protes itu menunjukkan bagaimana perang yang berpusat di Timur Tengah semakin memberi kesan langsung terhadap kehidupan harian penduduk jauh dari medan pertempuran.
Ketika harga tenaga kekal tinggi, tekanan terbesar kini dihadapi pemerintah yang perlu mengimbangi usaha melindungi rakyat daripada kenaikan kos sara hidup dengan kemampuan kewangan untuk terus membiayai subsidi. – Agensi berita.
