Ribuan pemandu jeepney Filipina bantah kenaikan harga bahan api
Ribuan pemandu jeepney Filipina bantah kenaikan harga bahan api
MANILA: Kesan perang di Asia Barat kini dirasai hingga ke jalan raya Filipina apabila ribuan pemandu jeepney turun mengadakan protes susulan lonjakan mendadak harga diesel yang menjejaskan pendapatan harian mereka.
Pemandu jeepney, Encik Toni Prado, berkata pendapatannya merosot teruk sejak harga bahan api meningkat lebih dua kali ganda akibat kenaikan harga minyak global susulan konflik antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
“Kami kehilangan pendapatan. Apa yang kami peroleh habis untuk bayar diesel,” katanya.
Bapa kepada empat anak itu berkata sebelum ini beliau mampu memperoleh sekurang-kurangnya 1,000 peso (S$21) untuk tiga perjalanan, namun kini hanya membawa pulang sekitar 200 peso sehari.
Encik Prado meluahkan kebimbangan mengenai keupayaannya menyara keluarga dalam keadaan kos hidup yang semakin meningkat. “Bagaimana saya mahu menyara anak-anak? Bagaimana saya mahu hantar anak perempuan ke sekolah? Bagaimana saya mahu bayar elektrik, air dan makanan?” katanya.
Situasi itu mencerminkan tekanan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah apabila kenaikan harga tenaga memberi kesan langsung kepada kehidupan harian mereka.
Encik Prado merupakan antara ribuan pemandu yang menyertai protes di seluruh Filipina pada 19 Mac, menuntut campur tangan kerajaan bagi menangani krisis harga bahan api.
Filipina, yang sangat bergantung kepada import minyak dari Asia Barat, kini berdepan risiko peningkatan inflasi dalam ekonomi yang dipacu oleh perbelanjaan pengguna.
Pemerintah Filipina telah mengambil beberapa langkah bagi mengurangkan tekanan, termasuk memendekkan minggu bekerja dan menyediakan subsidi bahan api.
Selain itu, Kongres turut memberikan kuasa kecemasan kepada presiden untuk menggantung atau mengurangkan cukai bahan api.
Namun, pemimpin kumpulan pengangkutan yang mengetuai mogok, Encik Mody Floranda, berkata langkah tersebut masih tidak mencukupi. Beliau menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang yang mengurangkan kuasa pemerintah untuk mengawal harga bahan api.
Pemandu turut menyuarakan kekecewaan terhadap penangguhan kenaikan tambang, yang sepatutnya membantu mengimbangi peningkatan kos operasi. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa menanggung beban berganda, iaitu kos bahan api yang meningkat tanpa peningkatan pendapatan.
Jeepney, yang asalnya diubah suai daripada kenderaan tentera Amerika selepas Perang Dunia Kedua, merupakan antara mod pengangkutan utama di Filipina. Ia memainkan peranan penting dalam kehidupan harian rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Namun, krisis semasa menimbulkan persoalan tentang kelangsungan sektor tersebut jika kos operasi terus meningkat tanpa sokongan mencukupi.
Seorang lagi pemandu berpengalaman lebih 20 tahun, Encik Reggie Manlapit, berkata beliau kini terpaksa bekerja lebih lama untuk menampung kos, namun hasilnya tetap berkurangan. “Disebabkan keadaan ini, kami bekerja lebih lama dan bernasib baik jika dapat bawa pulang 200 peso,” katanya. - Agensi berita

