Harga minyak melonjak susulan serangan ke atas Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harga minyak melonjak susulan serangan ke atas Iran

Mar 2, 2026 | 11:30 AM

Harga minyak melonjak susulan serangan ke atas Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Sebuah kapal tangki minyak yang berlabuh berhampiran Oman terbakar pada Ahad, 1 Mac dalam foto yang diambil daripada rakaman video.
Sebuah kapal tangki minyak yang berlabuh berhampiran Oman terbakar pada Ahad, 1 Mac dalam foto yang diambil daripada rakaman video. - Foto AFP

LONDON: Harga minyak dunia melonjak sehingga 13 peratus ketika pasaran dibuka pada malam 1 Mac, mencerminkan kebimbangan besar terhadap kesan ekonomi akibat konflik Asia Barat yang semakin meluas selepas serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.

Lonjakan itu berlaku kerana Iran dan negara jirannya merupakan antara pengeluar utama minyak dan gas dunia. Sebarang gangguan bekalan, walaupun sementara, dijangka meningkatkan kos tenaga di seluruh dunia.

Menjelang 25 Februari lalu, harga minyak antarabangsa sudah meningkat kira-kira 20 peratus sejak awal tahun 2026 dan menghampiri AS$73 (S$92.48) setong. Pada 1 Mac ia melepasi AS$82 setong sebelum kembali menurun.

Pakar tenaga Universiti New York, Cik Amy Myers Jaffe, berkata kesan sebenar bergantung kepada kerosakan infrastruktur minyak. “Soalan paling penting ialah sama ada kemudahan minyak diserang atau tidak. Jika tiada kerosakan besar, harga kemungkinan akan turun semula,” katanya.

Perhatian pasaran tertumpu kepada Selat Hormuz, laluan laut sempit di selatan Iran yang menjadi nadi perdagangan tenaga dunia. Kira-kira satu perlima minyak global serta sejumlah besar gas asli melalui kawasan itu setiap hari.

Menjelang 1 Mac, aliran kapal tangki tenaga merosot mendadak. Hanya enam kapal melalui selat berkenaan berbanding 65 kapal pada 25 Februari, menurut data S&P Global Energy.

Beberapa video juga menunjukkan kapal tangki terbakar berhampiran Oman manakala kapal lain dilaporkan terkena serangan di kawasan sama.

Gangguan berpanjangan berpotensi menaikkan harga bukan sahaja petrol, malah pelbagai barangan harian kerana kos pengangkutan dan pembuatan meningkat.

Pengarah Pusat Dasar Tenaga Global Universiti Columbia, Encik Jason Bordoff, berkata pengguna pasti merasai kesannya walaupun tidak serta-merta. “Orang ramai akan melihat sedikit kenaikan harga petrol. Namun buat masa ini harga masih pada paras normal berbanding rekod lampau walaupun serangan besar berlaku,” katanya.

Pakar tenaga Universiti Rice, Encik Ken Medlock, menjelaskan harga minyak biasanya mempengaruhi harga petrol dalam tempoh beberapa hari hingga minggu. “Kepantasan kenaikan bergantung kepada sejauh mana bekalan benar-benar terhad,” katanya.

Sebagai perbandingan, selepas Russia menyerang Ukraine pada 2022, harga minyak naik kira-kira 20 peratus dalam seminggu tetapi harga petrol hanya meningkat sedikit sebelum melonjak lebih ketara minggu berikutnya.

Menurut Cik Jaffe, setiap kenaikan AS$10 setong minyak biasanya menaikkan harga petrol sekitar 20 hingga 30 sen segelen (3.785 liter). Di Amerika Syarikat, harga petrol purata ialah AS$2.98 segelen pada 1 MacAhad.

Kenaikan harga tenaga berlaku ketika ramai pengguna global sudah bimbang mengenai inflasi dan kelembapan ekonomi. Di Amerika Syarikat, isu kos hidup turut memberi tekanan politik kepada Presiden Donald Trump.

Walaupun Amerika merupakan pengeluar minyak dan gas terbesar dunia, negara itu tidak kebal daripada kejutan pasaran kerana tenaga didagangkan secara global.

Serangan terbaru juga berbeza berbanding operasi Amerika di Venezuela sebelum ini, yang tidak memberi kesan besar kepada harga kerana negara itu hanya menyumbang kurang satu peratus bekalan minyak dunia.

Iran sebaliknya terletak di pintu masuk Teluk Parsi laluan tenaga paling kritikal dunia dan dikelilingi negara pengeluar minyak utama.

Sebelum konflik, pasaran sebenarnya dibayangi lebihan bekalan minyak dunia. Faktor itu dijangka mengekang kenaikan harga sekurang-kurangnya dalam jangka pendek.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) Plus turut mengumumkan rancangan meningkatkan pengeluaran sedikit pada April.

Namun jika konflik berpanjangan atau melibatkan kemudahan tenaga, kesannya boleh jauh lebih besar termasuk kepada harga elektrik dan industri berat kerana gas asli cecair banyak dihantar melalui perairan sekitar Iran.

Setakat 1 Mac Ahad, tiada kemudahan tenaga utama di Iran dilaporkan musnah, satu perkembangan yang menenangkan pasaran buat sementara waktu.

Namun penganalisis memberi amaran keadaan boleh berubah dengan pantas bergantung kepada tindak balas Iran dan langkah seterusnya oleh Amerika Syarikat serta Israel.

Konflik berlarutan berpotensi mengganggu ekonomi dunia kerana tenaga merupakan asas kepada kos pengangkutan, makanan dan pembuatan. “Segala-galanya bergantung kepada bagaimana konflik ini berkembang,” kata Encik Bordoff. “Jika bekalan terganggu lama, kesannya akan dirasai di seluruh dunia.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg