Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hari bersejarah di Mesir: AS, dunia Arab bersatu tamatkan perang Gaza

Di sebalik gencatan senjata bersejarah Gaza, tersembunyi usaha bersama AS dan dunia Arab tamatkan erang dua tahun
Oct 21, 2025 | 5:30 AM
donald trump, gaza peace process, Sharm el-Sheikh pada 13 Oktober.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump (tengah) menyampaikan kenyataan semasa sidang puncak mengenai Gaza di Sharm el-Sheikh pada 13 Oktober. - Foto AFP

SHARM EL-SHEIKH (Mesir): Rundingan gencatan senjata Gaza yang berlangsung di Mesir akhirnya mencatatkan detik bersejarah apabila Amerika Syarikat dan beberapa negara Arab mencapai titik kompromi yang selama ini dianggap mustahil.

Ia bukan sahaja membuka jalan kepada penghujung perang dua tahun Israel-Hamas, malah menandakan kebangkitan semula diplomasi Timur Tengah yang sekian lama buntu.

Pada pagi 8 Oktober di Sharm el-Sheikh, Ketua Perisikan Mesir sedang memberi taklimat kepada para perunding apabila Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, diam-diam menyerahkan nota tulisan tangan kepada dua wakil Amerika, Encik Jared Kushner dan Encik Steve Witkoff.

Isi nota itu ringkas tetapi tegas: “Desak Israel untuk berkompromi.”

Encik Kushner, menantu kepada Presiden Donald Trump, bersama Encik Witkoff, Duta Khas Amerika ke Timur Tengah, baru tiba dengan jet peribadi membawa harapan tinggi – kali ini Hamas telah memberi isyarat sanggup menyerahkan semua tebusan Israel, dengan syarat Israel tidak meneruskan peperangan dan bersetuju untuk berundur secara berperingkat, lapor The New York Times.

Bagi Israel pula, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bersedia membebaskan ribuan tahanan Palestin, termasuk 250 yang sedang menjalani hukuman seumur hidup.

Namun, isu paling sukar masih membelenggu meja rundingan: berapa banyak wilayah Gaza yang perlu ditinggalkan oleh tentera Israel sebelum pertukaran tahanan dilakukan.

“Kami tahu jika peta dibuka, rundingan boleh runtuh,” kata seorang pegawai Arab yang terlibat.

“Tiada pihak mahu jadi yang pertama membuat konsesi,” tambah beliau.

Israel mahu terus mengekalkan kehadiran ketenteraan di beberapa bandar utama Gaza bagi menunjukkan mereka tidak tunduk sepenuhnya.

Sebaliknya, Hamas menuntut pengunduran total, kecuali zon sempadan keselamatan yang sempit.

Peranan Amerika dan Qatar

Menurut pegawai yang hadir, tekanan Amerika amat besar.

Tiga panggilan telefon daripada Encik Trump sendiri memberi kesan langsung kepada perunding utama Israel, Encik Ron Dermer.

“Trump tidak hanya mendesak, beliau mengingatkan Dermer bahawa dunia sedang melihat,” ujar seorang pegawai Amerika.

Desakan itu, digabungkan dengan nota diplomatik Qatar, akhirnya mencairkan kebuntuan.

Kedua-dua pihak bertemu di titik tengah dan mencapai kompromi bersama: Israel akan berundur dari banyak kawasan padat penduduk tetapi tetap mengekalkan penguasaan di sebahagian wilayah strategik.

Hamas pada akhirnya menerima kompromi itu dengan berat hati.

“Mereka tahu tiada kemenangan mutlak dalam peperangan ini. Gencatan senjata adalah satu-satunya pilihan untuk menyelamatkan Gaza,” kata seorang diplomat Arab.

Pelan Damai

Rundingan minggu itu adalah kemuncak kepada minggu-minggu diplomasi intensif selepas serangan tersasar Israel ke atas pegawai Hamas di Doha mencetuskan krisis antarabangsa.

Encik Trump kemudian mengumumkan pelan damai 20 perkara, yang menekankan pertukaran tebusan sebagai langkah pertama ke arah penghentian perang.

Menariknya, pada 3 Oktober, Encik Trump menerima kenyataan Hamas yang hanya menyokong sebahagian pelan tersebut iaitu pembebasan tebusan.

Namun beliau tetap menganggapnya sebagai tanda positif.

“Trump tidak mahu membuang peluang sekecil apa pun untuk mencipta kemajuan,” kata seorang pegawai kanan Amerika.

Sumber Amerika juga berkata hubungan jangka panjang Encik Trump dengan Encik Netanyahu memberi ruang kepada Washington untuk menekan Israel tanpa meretakkan kepercayaan.

“Netanyahu tahu Trump tidak akan memaksanya melakukan sesuatu yang mengancam keselamatan Israel,” kata seorang pegawai Rumah Putih.

Bagi Hamas pula, selepas dua tahun serangan berterusan, mereka semakin lemah.

Banyak negara Arab dan Islam, termasuk Turkey, kini menekan kumpulan itu agar menerima pelan damai.

“Jika Hamas dilihat sebagai penghalang, Israel akan mendapat lampu hijau untuk terus mengebom Gaza,” kata seorang pegawai Mesir.

Menjelang petang, perunding merasakan mereka semakin hampir ke kejayaan.

Hamas mula melihat tebusan bukan lagi sebagai aset, tetapi liabiliti.

“Mereka sedar, selagi tebusan dipegang, Israel akan terus mencari alasan untuk menyerang,” ujar Encik Witkoff.

Di bawah tekanan Amerika dan Qatar, Israel akhirnya bersetuju melepaskan kawalan ke atas separuh wilayah Gaza, sementara mengekalkan pengaruh politik di separuh lagi bagi rundingan pascaperang.

Ketua perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, yang baru terselamat daripada percubaan pembunuhan Israel di Doha, meminta masa untuk berunding dengan kepimpinan tertinggi.

Lima jam kemudian, pada jam 10 malam, beliau kembali menemui Sheikh Mohammed Al Thani dan Ketua Perisikan Mesir, Jeneral Hassan Rashad, membawa jawapan yang dinanti: “Kami setuju, demi menghentikan serangan ke atas Gaza.”

“Walau tidak adil, keutamaan kami ialah nyawa rakyat Gaza,” kata Encik al-Hayya kepada para perantara.

Detik Persetujuan

Beberapa jam selepas itu, semua delegasi termasuk Israel, Amerika, Turkey, Qatar dan Mesir berkumpul di vila Jeneral Rashad di resort mewah Four Seasons Sharm el-Sheikh untuk menandatangani draf akhir.

Sheikh Mohammed Al Thani menandatangani versi bahasa Inggeris terlebih dahulu, sebelum menyerahkan salinan bahasa Arab kepada Encik al-Hayya dan Encik Dermer.

Di Washington, ketika Encik Trump menghadiri satu acara di Rumah Putih, beliau menerima nota ringkas daripada Setiausaha Negara Encik Marco Rubio: “Sangat hampir. Mohon kelulusan segera untuk umumkan perjanjian.”

Beberapa minit kemudian, Encik Trump menelefon terus ke bilik rundingan.

“Ini hari yang besar,” ujar Encik Trump.

“Hari ini, dunia melihat keajaiban diplomasi dan permulaan baru untuk Gaza,” tambah beliau.

Walaupun masih ada isu tertangguh seperti senarai tahanan Palestin yang akan dibebaskan, semua pihak mengakui perjanjian itu menandakan permulaan kepada penghujung perang paling panjang dalam sejarah Gaza.

“Ia bukan perjanjian sempurna,” kata seorang diplomat Mesir, “tetapi ia adalah permulaan kepada perdamaian sebenar.”

Rundingan Sharm el-Sheikh membuktikan bahawa apabila dunia Arab dan Amerika bersatu menekan kedua-dua pihak, bahkan penghalang paling mustahil sekalipun boleh diketepikan sekurang-kurangnya buat sementara waktu, demi sesuatu yang lebih besar: keamanan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg