WASHINGTON/GAZA: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan bahawa “fasa kedua” pelan gencatan senjata antara Israel dan Gaza bermula serta-merta, namun menegaskan tugas belum selesai selagi semua mayat tebusan belum dipulangkan.
Dalam kenyataan di platform Truth Social, Trump menulis: “Satu beban besar telah diangkat, tetapi tugas BELUM SELESAI. MAYAT BELUM DIKEMBALIKAN, SEPERTI YANG DIJANJIKAN!” Beliau menegaskan bahawa pelaksanaan fasa kedua kini dimulakan walaupun pemulangan jenazah sebenarnya termasuk dalam fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Setakat ini, Hamas telah membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan 1,700 tahanan Palestin, namun 24 jenazah tebusan masih belum diserahkan. Hanya empat mayat telah dipulangkan ke Israel setakat ini.
Ketegangan awal dijangka ketika kedua-dua pihak berusaha melaksanakan pelan 20 perkara yang dicadangkan Encik Trump bagi menamatkan perang dua tahun di Gaza. Pelan itu menetapkan bahawa semua tebusan, sama ada hidup atau mati, mesti dikembalikan dalam masa 72 jam selepas perjanjian dicapai. Ia turut memberi ruang untuk kelewatan atas sebab tertentu.
Menurut Hamas, proses penyerahan mayat diteruskan secara berperingkat. Jurucakap Hamas di Gaza, Encik Hazem Qassem berkata di Facebook: “Ketika ini, anggota lelaki kami sedang memastikan pelaksanaan apa yang telah dipersetujui mengenai pemulangan mayat sebagai sebahagian daripada perjanjian menamatkan perang di Gaza.”
Pada 14 Oktober, Hamas menyerahkan beberapa lagi mayat tebusan kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sebelum diserahkan kepada tentera Israel di sempadan utara Gaza. Tentera Israel mengesahkan empat keranda telah diterima dan dibawa ke Israel untuk proses pengecaman forensik.
Namun, proses ini diselubungi ketegangan baharu apabila Israel mengumumkan pengurangan separuh jumlah trak bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza. Langkah itu diambil sebagai hukuman terhadap Hamas yang didakwa melanggar perjanjian dengan gagal menyerahkan semua mayat tebusan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Seorang pegawai Israel menjelaskan: “Kami hanya membenarkan separuh daripada bantuan seperti yang dipersetujui. Hamas melanggar syarat gencatan senjata, dan kami tidak akan berkompromi selagi komitmen penuh belum dipenuhi.”
ICRC pula memberi amaran bahawa proses mengesan dan memulangkan mayat merupakan “cabaran besar” kerana banyak kawasan masih dipenuhi runtuhan akibat pengeboman.
Pegawai ICRC, Encik Christian Cardon, berkata di Geneva: “Mencari mayat di bawah runtuhan jauh lebih sukar daripada mengesan tebusan yang masih hidup. Proses ini memerlukan masa dan akses yang selamat.”
Walaupun gencatan senjata memberi harapan baru, Encik Trump memberi amaran keras kepada Hamas supaya melucutkan senjata atau berdepan tindakan ketenteraan. “Jika mereka tidak melucutkan senjata, kami akan melucutkan mereka. Dan ia akan berlaku dengan cepat, mungkin dengan kekerasan,” tegas beliau di Rumah Putih.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula menegaskan bahawa perang tidak akan benar-benar tamat selagi Hamas tidak menyerah diri dan melepaskan kawalan ke atas Gaza.
“Tiada keamanan selagi Hamas masih bersenjata,” katanya dalam satu kenyataan.
Selepas pengunduran separa tentera Israel, kumpulan Hamas dilihat kembali menguasai jalan-jalan utama di Gaza. Penduduk tempatan melaporkan kehadiran ratusan anggota bersenjata yang mengawal laluan penghantaran bantuan dan menahan individu yang disyaki menjadi pemberi maklumat kepada Israel.
Dalam video yang tular pada 13 Oktober, beberapa lelaki yang dituduh bersekongkol dengan Israel ditembak mati di hadapan orang ramai di Dataran Gaza. Sumber Hamas mengesahkan kejadian itu, menyatakan tindakan tersebut “bagi memulihkan ketertiban awam.”
Seorang penduduk Gaza yang enggan dikenali berkata: “Kami takut keluar rumah. Hamas kata mereka kawal keadaan, tapi yang kami nampak hanyalah hukuman di jalanan.”
Walaupun perjanjian gencatan sedang berjalan, keganasan baharu tercetus apabila enam penduduk Palestin terbunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah kumpulan yang menghampiri kawasan “garisan kuning” iaitu sempadan sementara tentera.
Menurut jurucakap pertahanan awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, lima mangsa terbunuh akibat serangan dron di Shujaiya, manakala seorang lagi mati di timur Khan Younis. Tentera Israel menjelaskan bahawa pasukan mereka melepaskan tembakan selepas mangsa “mengabaikan amaran berulang kali.”
Sebaliknya, Hamas menuduh Israel melanggar syarat gencatan senjata dan cuba “mengelak daripada menunaikan komitmen kepada para pengantara.”
Dua tahun serangan telah memusnahkan sebahagian besar Gaza, dengan lebih 67,000 penduduk terbunuh menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan. Separuh juta rakyat kini berdepan kebuluran teruk, sementara ratusan lagi masih terperangkap di bawah runtuhan. Perkhidmatan Pertahanan Awam Gaza melaporkan 250 mayat ditemui sejak gencatan bermula.
Namun rancangan untuk membuka lintasan sempadan ke Mesir bagi pemindahan pesakit dan bantuan perubatan masih belum dilaksanakan. Dalam pada itu, sebuah hospital di Gaza memaklumkan sudah menerima 45 mayat rakyat Palestin yang diserahkan oleh Israel sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi menamatkan perang berkenaan.
Encik Trump sebelum ini mengisytiharkan “fajar baru Asia Barat” di Parlimen Israel ketika pertukaran tebusan terakhir dilakukan. Namun, isu pemulangan mayat dan ketegangan di lapangan menunjukkan pelan damai ini masih jauh daripada selesai.
Seorang diplomat Timur Tengah yang terlibat dalam rundingan berkata: “Pelan Trump membawa nafas baru, tetapi tanpa keyakinan antara kedua-dua pihak, fasa kedua ini mungkin sekadar gencatan yang rapuh.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg