MOSCOW: Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, menolak laporan media Turkey yang mendakwa Cik Asma al-Assad, isteri kepada mantan Presiden Syria Bashar al-Assad, mahu bercerai dan meninggalkan Russia.
Laporan yang sama turut mendakwa Encik Assad telah dikenakan sekatan di Moscow, termasuk pembekuan aset hartanya.
Ketika ditanya mengenai kebenaran laporan itu dalam satu sidang media, Encik Peskov berkata: “Tidak, laporan itu tidak selaras dengan kenyataan sebenar.”
Media Turkey dan Arab sebelum ini melaporkan bahawa Cik Asma telah memfailkan perceraian di Russia, di negara Encik Assad dan keluarga diberi suaka selepas pemberontak mengambil alih Damsyik.
Laporan turut mendakwa keluarga Assad hidup di bawah sekatan ketat di Moscow.
Namun, Encik Peskov dengan tegas menafikan laporan tersebut dan menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai asas.
“Tiada sekatan atau tindakan sedemikian terhadap keluarga Assad,” tambahnya.
Russia merupakan sekutu utama rejim Assad semasa perang saudara Syria, memberikan sokongan ketenteraan kepada mereka.
Namun, perkembangan terkini menimbulkan spekulasi tentang hubungan Russia dengan keluarga Encik Assad selepas mereka berpindah ke Moscow.
Cik Asma yang keluarganya berasal dari Syria telah dilahir di Britain dan pernah menjadi perhatian media Barat sebagai “wanita pertama yang menawan” semasa awal pemerintahannya.
Namun, beliau menerima kritikan hebat apabila kekal berdiam diri semasa suaminya bertindak keras terhadap penunjuk perasaan prodemokrasi pada awal perang saudara Syria.
Pada 2018, beliau mengumumkan menjalani rawatan untuk barah buah dada dan disahkan pulih pada 2019.
Pada 2024, Cik Asma didiagnosis menghidap leukemia dan kini dilaporkan sedang menerima rawatan.
Di Britain, Cik Asma telah disenaraikan sebagai individu yang dikenakan sekatan dan tidak dibenarkan kembali ke negara tersebut.
Menteri Luar Britain, Encik David Lammy, berkata di Parlimen bahawa beliau akan memastikan tiada anggota keluarga Encik Assad boleh mendapat tempat tinggal di Britain.
Dalam satu kenyataan awal, Encik Assad menegaskan beliau tiada niat meninggalkan Syria, tetapi dipindahkan ke Russia atas permintaan Moscow.
“Saya berada di sini demi memenuhi permintaan sekutu kami, bukan untuk melarikan diri,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg