Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:08
Isyak
8:21
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Hari pertama gencatan senjata: Hamas bebas 24 tebusan; Israel bebas 39 tahanan Palestin

Nov 25, 2023 | 04:45 PM



GAZA: Pejuang Hamas membebaskan 24 tebusan, termasuk wanita dan kanak-kanak Israel serta pekerja ladang Thailand, pada hari pertama gencatan senjata.


Buat kali pertama dalam tempoh tujuh minggu, tiada bunyi letupan kedengaran di Semenanjung Gaza berikutan pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas dihentikan.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), berkata tebusan dipindahkan keluar dari Gaza dan diserahkan kepada pihak berkuasa Mesir di persimpangan sempadan Rafah, diiringi lapan kakitangan ICRC sendiri, dalam konvoi empat gerabak.

Qatar, yang bertindak sebagai orang tengah bagi perjanjian gencatan senjata itu, berkata 13 warga Israel dibebaskan dengan sebahagiannya mempunyai dua kewarganegaraan serta 10 warga Thailand dan seorang warga Filipina.

Seramai 39 tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin pula dibebaskan dari penjara Israel.

“Kami baru sahaja menyelesaikan pemulangan kumpulan pertama tebusan kami. Kanak-kanak, ibu mereka dan wanita lain.

“Tetapi saya menekankan kepada anda, keluarga, dan kepada warga Israel. Kami komited untuk memulangkan semua tebusan kami,” kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Di bawah syarat gencatan senjata empat hari Israel-Hamas, seramai 50 tebusan wanita dan kanak-kanak akan dibebaskan sebagai membalas usaha membebaskan 150 wanita dan kanak-kanak Palestin dalam kalangan beribu-ribu tahanan di penjara Israel.

Israel berkata, gencatan senjata boleh dilanjutkan jika lebih ramai tebusan dibebaskan iaitu penambahan sehari gencatan senjata bagi setiap 10 tebusan yang dibebaskan.

Tebusan yang dibebaskan pada Jumaat juga terbabit dalam pertukaran dengan 24 wanita Palestin dan 15 remaja yang dipenjarakan.

Kata saksi, sekurang-kurangnya tiga serbuan polis Israel dilakukan di rumah keluarga tebusan di Baitulmakdis sebelum mereka dibebaskan, tetapi pihak polis enggan mengulas lanjut.

Sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan itu berkata, pembebasan pekerja Thailand tiada kaitan dengan rundingan gencatan senjata dan dilakukan berasingan melalui rundingan Mesir dan Qatar.

Pekerja ladang Thailand dan Filipina yang bekerja di selatan Israel adalah antara 240 tebusan yang diculik ke Gaza oleh lelaki bersenjata apabila pejuang Hamas melancarkan serangan pada 7 Oktober lalu.

Di media sosial, Perdana Menteri Thailand, Encik Srettha Thavisin, berkata seramai 12 pekerja Thailand sudah dibebaskan, iaitu melebihi daripada jumlah yang diberikan oleh Qatar.

Bagaimanapun, Hamas masih lagi menahan 20 warga Thailand selepas membebaskan 10 orang daripada Gaza, jelas Kementerian Ehwal Luar Thailand pada Sabtu.

Mereka yang dibebaskan akan dibenarkan pulang selepas 48 jam di hospital. Antara yang dibebaskan termasuk satu-satunya wanita Thailand yang diketahui ditahan oleh Hamas berdasarkan foto yang diterima pihak kementerian. Foto itu menunjukkan kumpulan yang dibebaskan bertemu doktor di sebuah pusat perubatan di Israel.


“Kami secara ikhlas berharap baki tahanan yang belum dibebaskan akan dilayan dengan penuh ihsan dan rasa kemanusiaan serta dibebaskan dengan selamat secepatnya,” ujar jurucakap kementerian berkenaan.

Buat masa sekarang, tiada pengeboman besar, serangan artileri atau serangan roket dilaporkan, walaupun Hamas dan Israel saling menuduh satu sama lain melakukan tembakan berkala dan pelanggaran lain.

Hamas mengesahkan semua tentangan daripada tenteranya akan berhenti, namun kedua-dua pihak berkata, perang akan disambung semula sebaik sahaja gencatan senjata berakhir.

Sementara itu, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA), berkata 137 trak barangan sudah masuk ke Gaza pada Jumaat iaitu konvoi kemanusiaan terbesar diterima sejak 7 Oktober lalu.

Jurucakap sayap bersenjata Hamas, Abu Ubaida, dalam pesanan video berkata, ia adalah “gencatan senjata sementara” dan menggesa “peningkatan konfrontasi di semua aspek penentangan” termasuk Tebing Barat yang diduduki Israel.


Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant turut mengakui, “ia akan menjadi gencatan senjata yang singkat. Pada penghujungnya adalah perang, pertempuran akan diteruskan dengan hebat dan menimbulkan tekanan untuk mengembalikan lebih banyak tebusan”. – AFP, Reuters




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >