Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hari terakhir kempen pilihan raya Canada dicemari serangan di Vancouver

Apr 28, 2025 | 2:20 PM
Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera apabila seorang lelaki yang memandu kereta, merempuh para pengunjung di festival masyarakat Filipina di Vancouver pada 27 April.
Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera apabila seorang lelaki yang memandu kereta, merempuh para pengunjung di festival masyarakat Filipina di Vancouver pada 27 April. - Foto: Reuters

OTTAWA: Pemimpin Canada membuat desakan terakhir untuk meraih undi pada 27 April, sehari sebelum pilihan raya yang dikuasai oleh dasar Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, tetapi dikejutkan pada saat-saat terakhir kempen dengan rempuhan serangan maut dengan kereta di Vancouver.

Perdana Menteri Encik Mark Carney, pemimpin Parti Liberal, digemari untuk menewaskan pemimpin Konservatif Encik Pierre Poilievre dalam pilihan raya pada 28 April, tetapi tinjauan menunjukkan perlumbaan semakin ketat dalam beberapa hari kebelakangan ini.

Encik Carney menghentikan seketika jadual kempennya pada 27 April untuk berucap kepada negara selepas seorang pemandu merempuh orang ramai di festival jalanan Filipina di bandar pantai barat itu, mengorbankan 11 orang.

Beliau, bapa kepada empat anak berusia 60 tahun, menitiskan air mata ketika beliau menyuarakan sokongan kepada mereka yang terkorban.

“Malam tadi, keluarga kehilangan seorang kakak, abang, ibu, bapa, anak lelaki atau anak perempuan,” kata Encik Carney.

Seorang lelaki berusia 30 tahun yang menurut polis mempunyai sejarah masalah kesihatan mental dan interaksi sebelum in, telah ditahan berikutan serangan yang turut mencederakan berpuluh-puluh orang.

Encik Poilievre, yang muncul bersama isterinya di sebuah gereja di bandar Mississauga, barat Toronto, mengutuk serangan itu sebagai “tindakan keganasan yang tidak masuk akal”.

“Hati kami bersama anda. Semua rakyat Canada bersatu dalam solidariti dengan masyarakat Filipina,” kata Encik Poilievre.

Serangan di Vancouver secara ringkas mengalihkan tumpuan negara daripada Encik Trump, yang perang dagangannya dan ancaman untuk menggabungkan jiran utara Washington, telah menimbulkan kemarahan rakyat Canada.

Tinjauan secara konsisten menunjukkan rakyat Canada percaya Encik Carney - bekas jurubank pelaburan yang juga pernah mengetuai bank pusat Canada dan Britain - adalah calon paling kuat untuk menentang Washington.

“Ini adalah isu kewujudan yang kami hadapi,” kata Encik Brian Carr, seorang penduduk di Ottawa, merujuk kepada permusuhan dengan pentadbiran Amerika.

Encik Carr, 79, berkata beliau menyokong Encik Carney kerana pemimpin Liberal itu “telah menunjukkan sepanjang kerjayanya bahawa beliau mampu memimpin dan menangani isu kewangan”.

Sejak menggantikan Encik Justin Trudeau sebagai perdana menteri pada 14 Mac, Encik Carney telah berusaha untuk meyakinkan pengundi bahawa latar belakang kerjayanya telah menyediakan beliau untuk memimpin Canada melalui perang dagangan dan bertindak balas terhadap tarif yang menjejas sektor utama seperti kereta dan keluli. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg