OTTAWA (Canada): Mantan Gabenor Bank Pusat Canada, Encik Mark Carney, secara rasmi memenangi pemilihan untuk jawatan Ketua Parti Liberal Canada yang memerintah, sekali gus bakal menggantikan, Encik Justin Trudeau, sebagai Perdana Menteri negara itu, berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan pada 9 Mac.
Beliau akan mengambil alih pada masa Canada dilanda huru-hara ekoran perang dagang dengan sekutu lama, Amerika Syarikat, dan mesti mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Encik Carney, 59 tahun, meraih 86 peratus undi untuk menewaskan mantan Menteri Kewangan, Cik Chrystia Freeland, dalam pertandingan yang menyaksikan hanya kurang 152,000 anggota parti mengundi.
“Ada seseorang yang cuba melemahkan ekonomi kita,” kata Encik Carney, merujuk kepada Presiden Amerika, Encik Donald Trump, diikuti dengan ejekan kuat daripada perhimpunan parti.
“Beliau menyerang pekerja, keluarga dan perniagaan Canada. Kita tidak boleh biarkan beliau berjaya.
“Ini tidak akan menjadi urusan seperti biasa. Kita perlu melakukan perkara yang tidak kami bayangkan sebelum ini, pada kelajuan yang kami tidak mungkin pernah fikirkan,” tambah Encik Carney
Encik Trudeau mengumumkan pada Januari beliau akan berundur selepas lebih sembilan tahun berkuasa kerana penilaian prestasinya menjunam, sekali gus memaksa Parti Liberal yang memerintah untuk mengadakan pemilihan pantas untuk menggantikannya.
“Jangan tersilap... ini merupakan detik penentu buat negara kita.
“Demokrasi bukan sesuatu yang datang dengan sendirinya. Kebebasan juga bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Bahkan, Canada itu sendiri tidak wujud begitu sahaja,” tegas Encik Trudeau.
Encik Carney, seorang pendatang baru dalam dunia politik, menegaskan bahawa beliau merupakan individu paling sesuai untuk memulihkan parti.
Beliau juga bakal mengetuai rundingan perdagangan dengan Presiden Trump, yang mengancam mengenakan tarif tambahan sehingga berpotensi melumpuhkan ekonomi Canada yang amat bergantung kepada eksport.
Encik Carney berada di barisan paling hadapan dalam pemilihan tersebut dengan meraih sokongan paling banyak daripada anggota parti dan paling banyak mengumpul wang dalam kalangan empat calon Liberal.
Kemenangannya menandakan kali pertama orang luar tanpa latar belakang politik mendalam menjadi Perdana Menteri Canada
Beliau berkata pengalamannya sebagai orang pertama yang berkhidmat sebagai gabenor dua bank pusat kumpulan G7 – Canada dan England – bermakna beliau adalah calon terbaik untuk berurusan dengan Encik Trump.
Semasa kempen itu, Encik Carney berkata beliau menyokong tarif balasan dolar demi dolar terhadap Amerika dan strategi yang diselaraskan untuk meningkatkan pelaburan.
Beliau telah berulang kali mengadu bahawa pertumbuhan Canada di bawah Encik Trudeau tidak cukup baik.
Dua sumber Parti Liberal berkata Encik Carney akan mengadakan pilihan raya dalam beberapa minggu mendatang. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg