Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump kembali jadi Presiden AS ke-47

Kemenangan bersejarah selepas mengalahkan pesaingnya dari parti Demokrat, Kamala Harris
Nov 6, 2024 | 7:37 PM
Calon Presiden Republikan dan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bersama isterinya, Cik Melania, semasa perhimpunannya di Pusat Konvensyen Palm Beach County, West Palm Beach, Florida, pada 6 November selepas mengalahkan pesaingnya dari parti Demokrat, Cik Kamala Harris.
Calon Presiden Republikan dan mantan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, bersama isterinya, Cik Melania, semasa perhimpunannya di Pusat Konvensyen Palm Beach County, West Palm Beach, Florida, pada 6 November selepas mengalahkan pesaingnya dari parti Demokrat, Cik Kamala Harris. - Foto REUTERS

Encik Donald Trump mencipta sejarah apabila kembali memenangi jawatan presiden Amerika Syarikat setelah ditewaskan empat tahun lalu, mencatatkan kemenangan luar biasa yang membuktikan daya tarikan politiknya dalam kalangan rakyat Amerika.

Pada usia 78 tahun, Encik Trump meraih lebih daripada 270 undi Badan Perwakilan Pemilih yang diperlukan untuk kembali ke Rumah Putih, dengan keputusan rasmi menunjukkan beliau kini mendahului 279 undi Badan Perwakilan Pemilih berbanding 223 undi untuk pencabarnya, Cik Kamala Harris.

Kemenangan Encik Trump ini diramalkan oleh Edison Research selepas berjaya menawan negeri ‘swing’  atau negeri yang sukar diramal undiannya, Wisconsin, yang memberikannya margin kemenangan yang diperlukan. Ketika ini, Encik Trump turut mengatasi Cik Harris dengan kelebihan kira-kira 5 juta undi popular.

“Rakyat Amerika telah memberikan mandat yang sangat luar biasa kepada kami,” ujar Encik Trump kepada penyokongnya yang bersorak di Pusat Konvensyen Palm Beach County, Florida, sejurus selepas kemenangannya diumumkan.

Kemenangan Encik Trump ini mengejutkan ramai pengkritik yang beranggapan kerjaya politiknya telah berakhir selepas kejadian 6 Januari 2021 apabila beliau dituduh mencetuskan rusuhan di Bangunan Capitol susulan dakwaan penipuan pilihan raya tanpa bukti kukuh. Kejadian tersebut menyaksikan penyokongnya menyerbu bangunan itu dalam usaha sia-sia untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020.

Namun, Encik Trump berjaya mengatasi cabaran dalam Parti Republikan dan menarik sokongan rakyat dengan memanfaatkan keresahan pengundi tentang inflasi dan kos sara hidup yang tinggi, yang sering dikaitkannya dengan kelemahan pentadbiran Demokrat.

Beliau juga menekankan isu keselamatan dan dakwaan peningkatan jenayah yang dikatakan berpunca daripada pendatang tanpa izin, walaupun dakwaan itu tidak disokong oleh data rasmi.

Cik Harris, calon presiden wanita pertama bagi Demokrat yang juga Naib Presiden semasa, memilih untuk tidak memberi ucapan kepada penyokongnya di Universiti Howard.

Pengarah bersama kempennya, Encik Cedric Richmond, memberi kenyataan ringkas bahawa mereka masih menunggu kiraan undi di beberapa negeri. “Masih ada undi yang perlu dikira,” katanya, meredakan keresahan penyokong yang menanti keputusan rasmi.

Kemenangan Encik Trump turut disambut oleh beberapa pemimpin dunia, antaranya ialah Presiden Korea Selatan, Encik Yoon Suk Yeol; Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron; Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan; Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz; Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr; dan Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al Sisi.

Ini termasuk juga ucapan daripada Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi; Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer; Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif; dan Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, yang menganggapnya sebagai “permulaan baru dalam perikatan Amerika-Israel”.

Bagi Encik Netanyahu, kemenangan Encik Trump membuka peluang kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua negara, yang sebelumnya dikuatkan oleh dasar Trump yang pro-Israel.

Selain itu, keputusan ini juga mencetuskan reaksi pelbagai dari negara-negara sekutu Amerika yang bimbang kemungkinan kembalinya dasar “utamakan Amerika” yang lebih mementingkan kepentingan dalaman Amerika berbanding komitmen antarabangsa.

Dalam pilihan raya yang sama, Parti Republikan berjaya memenangi majoriti di Senat, dengan kemenangan penting di Ohio, West Virginia dan Nebraska.

Keputusan itu menunjukkan bahawa Encik Trump akan menghadapi cabaran besar dalam merealisasikan dasar-dasar yang dirancang, terutama jika terdapat pertembungan pendapat dalam Kongres. Dengan parti Demokrat masih memiliki pengaruh di Dewan Perwakilan, kemungkinan besar akan berlaku rundingan dan kompromi yang boleh melambatkan pelaksanaan dasar baru.

Kehadiran Encik Trump semula ke kancah politik Amerika memperlihatkan polarisasi yang semakin mendalam di kalangan pengundi.

Di luar pusat pengundian di Palm Beach County, seorang pengundi berusia 76 tahun, Cik Gina Hartman, menyatakan sokongannya kepada Cik Harris kerana janji beliau untuk “kebebasan reproduktif”.

Namun, pengundi Encik Robert Flinn, 50 tahun, memilih untuk tidak mengundi kerana merasa kededua calon tidak memenuhi harapannya.

Kisah mereka mencerminkan perpecahan yang melanda masyarakat Amerika di mana perbezaan ideologi mempengaruhi pilihan politik secara ketara.

Komuniti Muslim di Michigan tampil menyuarakan kemarahan mereka terhadap sokongan Amerika terhadap tindakan Israel di Gaza. Majoriti Muslim Amerika, terutamanya di Michigan, merasa dikhianati dan marah dengan sokongan tanpa syarat pentadbiran Presiden Biden terhadap Israel yang telah mengorbankan lebih 43,000 rakyat Palestin di Gaza sejak 7 Oktober 2023.

Sebagai presiden Amerika yang pertama dalam lebih 120 tahun yang berkhidmat dua penggal tidak berturutan, Encik Trump kini memikul tanggungjawab besar dalam menyatukan semula negara yang berpecah-belah.

Kepimpinannya akan diuji bukan sahaja dalam mengatasi isu-isu domestik, tetapi juga dalam mengembalikan kepercayaan di kalangan sekutu dan menstabilkan hubungan antarabangsa.

Encik Trump, dalam ucapannya, menyatakan komitmen untuk mengatasi cabaran ini dengan mewakili mandat yang diberikan oleh rakyat. “Kami akan bekerja untuk Amerika, untuk rakyat, dan demi masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg