Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris gulung kempen kecam dasar pengguguran Trump

Oct 30, 2024 | 3:56 PM
Anggota Kongres Amerika Syarikat, Cik Ilhan Omar (dua dari kiri) dan suaminya Encik Tim Mynett, mendengar ucapan daripada calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam satu perhimpunan di National Mall, seminggu sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika pada 5 November, di Washington, pada 29 Oktober.
Anggota Kongres Amerika Syarikat, Cik Ilhan Omar (dua dari kiri) dan suaminya Encik Tim Mynett, mendengar ucapan daripada calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dalam satu perhimpunan di National Mall, seminggu sebelum Pilihan Raya Presiden Amerika pada 5 November, di Washington, pada 29 Oktober. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Calon presiden Demokrat Kamala Harris menggulung kempennya dengan mengajak pengundi berjuang untuk negara yang indah dan mereka cintai dan dalam masa yang sama menyelar isu pengguguran yang dilaungkan pesaingnya dari Republikan Donald Trump.

Beliau berucap di tempat yang sama pesaingnya Encik Trump bercakap kepada sekumpulan penyokong sebelum rusuhan di ibu kota meletus pada 6 Januari 2021.

Dalam ucapannya, beliau melancarkan serangan ke atas pesaingnya itu dengan mendakwa, “Trump akan memaksa negara untuk memantau kehamilan wanita”.

Encik Trump ketika berucap di tempat yang sama pada 6 Januari 2021, menggesa penyokongnya “berjuang seperti neraka” dan berarak ke Bangunan Capitol di Washington.

“Trump akan mengharamkan pengguguran di seluruh negara... menyekat akses kepada kawalan kelahiran dan meletakkan rawatan bayi tabung uji dalam risiko dan memaksa negara untuk memantau kehamilan wanita,” ujar Cik Harris.

“Buatlah carian Projek 2025 di Google” katanya, merujuk kepada senarai cadangan dasar untuk presiden Republikan yang akan datang oleh badan pemikir Yayasan Warisan.

Menurut laporan BBC, satu bahagian dalam dokumen setebal 900 halaman itu menyebut bahawa pentadbiran masa depan “harus menggunakan setiap alat yang ada, termasuk pemotongan dana, untuk memastikan setiap negeri melaporkan dengan tepat berapa banyak pengguguran yang berlaku dalam sempadannya”.

Bagaimanapun, tiada bukti Encik Trump merancang memaksa negara memantau kehamilan wanita.

Selain itu, beliau telah berulang kali berusaha menjauhkan diri daripada Projek 2025 itu.

Cik Harris kemudian mengulangi ikrarnya untuk melindungi hak pengguguran – isu teras kempennya.

“Saya percaya kepada kebebasan asas rakyat Amerika untuk membuat keputusan mengenai badan mereka sendiri,” tegas beliau.

Cik Harris seterusnya berkata bahawa jika Kongres meluluskan rang undang-undang mengenai hak pengguguran kebangsaan yang telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung pada 2022, beliau akan “dengan bangga” menandatanganinya menjadi undang-undang.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan pilihan raya adalah “pilihan tentang sama ada kita mempunyai negara yang berakar pada kebebasan untuk setiap orang Amerika atau diperintah oleh huru-hara dan perpecahan”.

Dalam pada itu, Presiden Joe Biden pada 29 Oktober telah melancarkan projek pelaburan bernilai AS$3 bilion ($3.97 bilion) bagi membina prasarana pelabuhan di Maryland.

“Saya dengan bangganya mengumumkan bahawa kami menyampaikan pembiayaan sebanyak AS$3 bilion daripada Akta Pengurangan Inflasi saya untuk membantu membersihkan dan memodenkan pelabuhan di 27 negeri dan wilayah yang berbeza, dari Pennsylvania, Georgia, Michigan dan seterusnya, termasuk Puerto Rico,” katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas seorang pelawak yang berucap dalam kempen Encik Trump di New York baru-baru ini menyifatkan Puerto Rico sebagai “pulau sampah terapung”. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg