Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump guna agama, Harris fokus pada kerjaya untuk pikat pengundi

Sekitar 46j pengundi telah buang undi awal menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika pada 5 Nov
Oct 29, 2024 | 12:01 PM

Seorang wanita membuang undi pada 28 Oktober, dua hari selepas pengundian awal di Daerah Los Angeles bermula.
Seorang wanita membuang undi pada 28 Oktober, dua hari selepas pengundian awal di Daerah Los Angeles bermula. - Foto AFP

ATLANTA: Di tengah-tengah persaingan sengit menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November, calon daripada Parti Republikan, Encik Donald Trump, dan pencabar Demokrat, Cik Kamala Harris, masing-masing menjalankan strategi kempen yang berbeza.

Encik Trump, yang terkenal dengan pendekatan berapi-api, kali ini menumpukan kepada sokongan kumpulan agama, manakala Cik Harris mengambil pendekatan praktikal dengan memberi penekanan kepada isu pekerjaan dan ekonomi.

Kedua-duanya mengintai undi di negeri-negeri medan tempur senario politik negeri yang mudah beralih angin atau swing state yang bakal menentukan keputusan pilihan raya.

Pada 28 Oktober, Encik Trump hadir dalam acara Majlis Penasihat Iman Kebangsaan di Georgia, negeri yang dijangka menyaksikan hampir 70 peratus pengundi keluar mengundi awal.

Di hadapan penyokongnya, Encik Trump menegaskan kepentingan agama dalam pembangunan negara, menyatakan bahawa “negara ini memerlukan agama” sambil mengkritik apa yang disifatkannya sebagai ‘kumpulan radikal kiri’ yang mahu menghalang kebebasan agama.

Usaha Encik Trump itu jelas bertujuan menarik sokongan pengundi beragama, terutama golongan Kristian konservatif yang menjadi antara tulang belakang Parti Republikan di selatan Amerika.

Namun, Encik Trump turut berdepan kontroversi apabila seorang pelawak di acaranya di New York sebelum ini mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap Puerto Rico, menggelarnya sebagai “pulau terapung sampah”.

Ini telah mencetuskan kemarahan dalam kalangan selebriti Latin dan mendapat kritikan keras daripada ahli politik kedua-dua parti.

Pasukan kempen Encik Trump cepat mengeluarkan kenyataan bahawa jenaka tersebut “tidak mencerminkan pandangan mantan Presiden itu atau kempen beliau,” menunjukkan betapa seriusnya mereka dalam memastikan undi masyarakat Latin tidak terjejas.

Manakala itu, Cik Harris mengambil pendekatan lebih pragmatik dengan memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan pekerjaan.

Beliau melawat kemudahan Corning Inc di Michigan pada hari yang sama untuk bercakap tentang pelaburan dalam pekerjaan pembuatan.

Corning Inc baru-baru ini menerima pelaburan awal AS$325 juta ($430 juta) menerusi Akta Sains dan Cip, yang dibantu oleh Cik Harris untuk diluluskan di Kongres.

Cik Harris memanfaatkan peluang itu untuk menyerlahkan komitmen Demokrat dalam mencipta peluang pekerjaan sambil mengkritik pandangan Encik Trump terhadap akta tersebut.

“Kita perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk mewujudkan pekerjaan yang bermutu,” kata Cik Harris.

Pendekatan itu membolehkan Cik Harris mendapat sokongan daripada pengundi golongan pekerja yang bimbang tentang kestabilan pekerjaan dan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Georgia bukan satu-satunya negeri yang bakal menjadi medan tempur yang mudah beralih angin antara kedua-dua calon itu.

Dalam pilihan raya kali ini, terdapat tujuh negeri medan tempur yang dijangka memainkan peranan penting termasuk Michigan, Pennsylvania dan Wisconsin. Kajian dalaman kempen Cik Harris menunjukkan beliau mendahului sedikit dengan margin yang sangat kecil.

Di kawasan Sun Belt, Arizona dan North Carolina dijangka menjadi cabaran utama bagi Cik Harris, sementara Demokrat lebih yakin dengan peluang mereka di Georgia dan Nevada.

Menurut kajian Universiti Florida, kira-kira 46 juta rakyat Amerika telah mengundi awal dengan hampir 2.8 juta undi di Georgia sahaja.

Ini menunjukkan minat yang tinggi dalam kalangan pengundi, walaupun jumlah undi awal kali ini sedikit ketinggalan berbanding tempoh sama pada 2020 ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Perbezaan pandangan antara Encik Trump dengan Cik Harris jelas kelihatan dalam beberapa isu utama seperti sokongan kepada Ukraine dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), hak pengguguran, tarif perdagangan serta prinsip demokrasi.

Cik Harris menyelar Encik Trump sebagai pemimpin yang memecah-belah dan sering “membakar api kebencian”, sementara Encik Trump menepis tuduhan itu dan mendakwa dirinya bukan ‘Nazi’.

Cik Harris juga menekankan dasar-dasar beliau yang bertujuan menurunkan kos sara hidup dan membantu mengurangkan masalah perumahan, sekali gus memperlihatkan pendekatan Demokrat yang lebih memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat.

Dalam minggu-minggu terakhir sebelum pilihan raya, persepsi awam terhadap kedua-dua calon turut menjadi pertaruhan besar.

Kempen Cik Harris berharap dengan melabelkan Encik Trump sebagai seorang pemimpin diktator yang memecahbelahkan rakyat, mereka dapat menarik sokongan tambahan, khususnya dalam kalangan wanita yang masih marah dengan kehilangan hak pengguguran di peringkat persekutuan.

Encik Trump pula memperlihatkan keyakinan tinggi terhadap peluangnya, namun kelihatan sedikit bimbang bahawa label ‘perkauman’ dan ‘fasis’ yang dilontarkan oleh Demokrat mungkin memberi kesan kepada pengundi yang belum membuat keputusan.

Acara kempen turut diserikan dengan kehadiran selebriti. Cik Harris muncul di Michigan bersama Gabenor Minnesota, Tim Walz, dan penyanyi Maggie Rogers untuk menghangatkan suasana.

Rogers menegaskan kepentingan pilihan raya itu, mengajak para hadirin untuk keluar mengundi demi masa depan yang lebih baik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg