WASHINGTON: Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris, dengan nada lebih keras daripada Presiden Joe Biden, mendesak Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya membantu mencapai perjanjian gencatan senjata Gaza, yang akan meringankan penderitaan orang awam Palestin.
“Sudah tiba masanya untuk perang ini ditamatkan,” kata Cik Harris dalam satu kenyataan di televisyen pada 25 Julai, selepas beliau mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Encik Netanyahu.
Cik Harris, calon presiden daripada Parti Demokrat selepas Encik Biden menarik diri daripada bertanding dalam pilihan raya pada November, secara terang-terangan menzahirkan rasa kurang senang terhadap krisis kemanusiaan yang mencengkam Gaza selepas sembilan bulan perang antara Israel dengan Hamas.
“Kita tidak boleh berpaling daripada tragedi ini. Kita tidak boleh membiarkan diri kita menjadi kebas terhadap penderitaan ini. Dan saya tidak akan berdiam diri,” tambahnya.
Kenyataan Cik Harris tajam dan bernada serius serta menimbulkan persoalan sama ada beliau akan menjadi lebih agresif dalam berurusan dengan Encik Netanyahu jika dipilih sebagai presiden pada 5 November.
Tetapi penganalisis tidak menjangka perubahan besar dalam dasar Amerika terhadap Israel, sekutu terdekat Washington di Timur Tengah.
Perang bermula pada 7 Oktober apabila Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 orang dan menawan lebih 240 tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 39,000 orang dan menyebabkan bencana kemanusiaan dengan kebanyakan kawasan pesisir pantai musnah, penduduk kehilangan tempat tinggal, kebuluran dan kekurangan bantuan kecemasan.
Encik Biden bertemu Encik Netanyahu tetapi tidak membuat kenyataan penting. Pembantunya berkata beliau mendesak gencatan senjata dalam rundingan pertamanya dengan pemimpin Israel itu sejak Encik Biden berkunjung ke Tel Aviv beberapa hari selepas 7 Oktober.
Encik Netanyahu akan bertemu pesaing Cik Harris daripada Parti Republikan, Encik Donald Trump, di Florida pada 26 Julai.
Dengan kenyataannya, Cik Harris mencerminkan perubahan besar dalam dasar Gaza, sambil mendesak Encik Netanyahu mencapai gencatan senjata di kawasan yang dikepung Israel itu.
“Terima kasih kepada kepimpinan presiden kita, Joe Biden, terdapat satu perjanjian untuk gencatan senjata dan pertukaran tebusan.
“Saya baru sahaja memberitahu Perdana Menteri Netanyahu sudah tiba masanya untuk menyelesaikan perjanjian ini,” kata Cik Harris.
Walaupun sebagai naib presiden, beliau menyokong Encik Biden, yang tegas menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri. Beliau juga menjelaskan pada 25 Julai bahawa beliau semakin hilang kesabaran dengan pendekatan ketenteraan Israel.
“Israel mempunyai hak untuk mempertahankan diri. Dan bagaimana ia melakukannya penting,” kata Cik Harris.
Pada 31 Mei, Encik Biden berkata Israel membentangkan perjanjian tiga fasa yang akan menamatkan permusuhan di Gaza dan memastikan pembebasan tebusan yang ditahan di kawasan pantai itu.
Rancangan itu termasuk gencatan senjata, pertukaran tebusan-tahanan dan pembinaan semula Gaza.
“Mari kita selesaikan perjanjian untuk mendapatkan gencatan senjata bagi menamatkan perang. Mari kita bawa pulang tebusan dan mari kita sediakan bantuan yang sangat diperlukan kepada rakyat Palestin,” kata Cik Harris.
Cik Harris juga menekankan beliau tetap komited ke arah usaha penyelesaian dua negara antara Palestin dengan Israel. – Reuters.
Pada Mac, beliau berterus terang menyatakan bahawa Israel tidak melakukan cukup usaha untuk meredakan “malapetaka kemanusiaan” semasa serangan darat di kawasan Palestin.
Kemudian, beliau tidak menolak “akibat” bagi Israel jika ia melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Rafah yang penuh dengan pelarian di selatan Gaza. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg