Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pilihan Raya AS: Meresahkan, sukar diramal

Aug 21, 2024 | 6:00 PM
Penunjuk perasaan yang menyokong mantan Presiden Donald Trump menyerbu Bangunan Capitol di Washington pada 6 Januari 2021 susulan kekalahan Encik Trump dalam Pilihan Raya Presiden.
Penunjuk perasaan yang menyokong mantan Presiden Donald Trump menyerbu Bangunan Capitol di Washington pada 6 Januari 2021 susulan kekalahan Encik Trump dalam Pilihan Raya Presiden. - Foto EPA-EFE

Pilihan raya Amerika Syarikat yang bakal diadakan pada 5 November 2024, terutamanya Pilihan Raya Presiden, adalah yang paling meresahkan dalam sejarah Amerika.

Pertandingan jawatan presiden ini juga menghadapi ketidakpastian luar biasa mengenai peranan personaliti, institusi yang mengalami disfungsi dan pengaruh media dalam konteks budaya yang terganggu.

Tiada siapa yang boleh meramalkan dengan yakin keputusan pilihan raya ini.

Pilihan raya presiden Amerika pada 5 November kini semakin sengit dan menjadi yang paling meresahkan serta sukar diramalkan dalam sejarah Amerika.

Ia membimbangkan kerana keputusannya akan mempertaruhkan sifat pemerintahan Amerika. Ia sukar diramalkan pada umumnya disebabkan “bulatan sepusat yang bersilang” mengenai perubahan personaliti utama, fungsi beberapa institusi politik utama Amerika dan pengaruh media dalam keadaan gangguan budaya yang meruncing.

Mengapa ia meresahkan?

Amat jelas mantan Presiden Amerika (dan calon presiden Parti Republikan), Encik Donald Trump, kurang mengendahkan Perlembagaan Amerika dan kedaulatan undang-undang.

Selepas kalah dalam pilihan raya pada November 2020, beliau buat kali pertama dalam sejarah Amerika, cuba menggagalkan peralihan kuasa secara aman dengan mencipta teori konspirasi “Pembohongan Besar” mengenai pilihan raya itu, berkomplot untuk menunjukkan senarai pemilih palsu kepada Badan Perwakilan Pemilih (Electoral College), dan menggalak sekumpulan perusuh untuk menghalang pengesahan keputusan (pilihan raya) oleh Badan Perwakilan Pemilih. Pendek kata, beliau cuba membuat satu rampasan kuasa.

Walaupun dengan semua ini, partinya tidak menolaknya, membolehkan Encik Trump mencadangkan agar Perlembagaan Amerika digantung, supaya beliau dapat mengambil alih semula kuasa, menuntut kekebalan penuh daripada semua salah laku sebagai Presiden, dan yang terbaru pada 27 Julai, beliau memberitahu satu sidang puncak Kristian, “Empat tahun lagi... ia akan ditetapkan, ia akan baik-baik saja. Penganut Kristian, anda tidak perlu mengundi lagi.”

Corak (perilaku beliau) yang terang ini tidak mudah diperjelaskan. Hakikat bahawa Encik Trump juga telah dua kali dikenakan pendakwaan salah laku, selain beberapa tuduhan jenayah lain, membuktikan sikapnya yang hanya menerima kedaulatan undang-undang (jika ia) memberi manfaat kepadanya.

Rancangan yang diumumkannya untuk mengurangkan perkhidmatan awam profesional dan mewujudkan satu “negara parti” yang melibatkan penyokongnya sendiri, serta tindakannya yang sering memuji diktator di luar negara, bercanggah dengan pemikiran (dan pendapatnya) terhadap autoritarianisme.

Namun tiada anggota kanan parti Republikan berani mengkritiknya.

Jika Encik Trump sekali lagi memenangi jawatan Presiden, Amerika mungkin tidak akan lagi menjadi sebuah Republik demokratik dan berperlembagaan yang dapat berfungsi dengan baik.

Jika beliau kalah, beliau boleh dijangka akan membuat tuduhan adanya penipuan ‘pemerintah tersembunyi’ atau deep-state.

(Jika ini terjadi), risiko berlakunya keganasan sosiopolitik yang besar disebabkan perpecahan dalam negara Amerika, adalah tinggi.

Apa pun, budaya politik Amerika mungkin menjadi lebih buruk secara ketara, mungkin secara berkekalan.

Personaliti

Encik Trump telah membuktikan dirinya licik dalam memanipulasikan media. Tingkah lakunya semasa satu temu bual dalam acara Persatuan Wartawan Hitam Nasional (NABJ) pada 1 Ogos, dianggap ramai sebagai beremosi, tetapi tindakannya mungkin disengajakan.

Beliau membuat dakwaan keterlaluan di khalayak ramai yang ragu-ragu (mengenai kebenaran dakwaannya).

Namun ia menjadikan beliau tumpuan berita, dan menarik perhatian daripada (calon presiden Parti Demokrat), Cik Kamala Harris, serta mengubah nada perdebatan dengan Cik Harris ke tahap yang sangat beremosi dan kurang rasional.

Mencipta dan menimbulkan kemarahan ramai telah lama menjadi teknik politik tersendiri Encik Trump, tetapi keberkesanan teknik itu kini diragui.

Kenyataan tidak berasas memang mudah menarik perhatian, tetapi perbuatannya mengejek Cik Harris yang dikatakan mempunyai “etnik bukan asli” akan menjejas (peluang) beliau di kawasan pilihan raya Afrika-Amerika dan Hispanik, serta dalam kalangan pengundi bebas.

Pemilihan Cik Harris pula telah mengubah faktor “orang tua” – beliau tidak memikul beban (Presiden Amerika), Encik Joe Biden.

Bagaimanapun, Cik Harris tidak mempunyai status (pemimpin) kanan dan populariti Encik Biden.

Bagaimana dan sejauh manakah Cik Harris dapat menangkis kenyataan salah (mengenai dirinya)?

Beliau mesti berkempen dengan penuh semangat, namun sebagai wanita kulit hitam, beliau juga perlu berhati-hati dalam keadaan budaya Amerika yang masih mempunyai sikap dan emosi bertentangan berkaitan isu kaum dan jantina dalam politik.

Sebagai mantan Peguam Negara yang dipilih di sebuah negeri utama Amerika... beliau berada dalam kedudukan baik untuk berkempen mengenai (isu) imigresen, peningkatan jenayah yang sengaja dibesar-besarkan dan beberapa isu lain.

Institusi Yang Alami Disfungsi

Dalam masa tiga minggu selepas prestasi buruk Encik Biden dalam satu ‘perdebatan’ (dengan Encik Trump) pada 27 Jun di Atlanta, Parti Demokrat kelihatan seperti tanpa pemimpin.

Namun, Parti Demokrat pulih dengan cepat: Encik Biden menarik diri (daripada bertanding), dan Cik Harris menjadi calon yang diiktiraf sebelum Konvensyen Nasional Demokratik.

Cik Harris turut berjaya mengumpul sejumlah besar wang dengan cepat dan popularitinya melonjak.

Pada akhir Jun, Encik Trump mendahului Encik Biden dengan enam mata dalam beberapa tinjauan nasional.

Namun pada 5 Ogos, tinjauan tersebut menunjukkan Cik Harris mendapat 46 peratus (undi), berbanding Encik Trump yang meraih 43 peratus (undi).

Pengaruh Media Di Tengah Gangguan Budaya

Ini menimbulkan satu persoalan: Jika Encik Trump menolak setiap prinsip Kesedaran atau Enlightenment, yang menjadi asas etos demokrasi liberal Amerika, mengapa beliau terus menjadi popular?

Tiada tindakan buruknya telah terbongkar sepenuhnya – daripada perbuatannya meraba beberapa wanita dan membayar sejumlah wang kepada seorang pelakon lucah wanita, kepada cubaannya untuk mencetus satu rampasan kuasa.

Sejak itu, tinjauan demi tinjauan menunjukkan para pengundi sedar demokrasi Amerika berada dalam keadaan semakin terumbang-ambing, tetapi kebanyakan mereka kurang menghiraukan perkara itu berbanding soal inflasi dan masalah kos sara hidup.

Perkara lain

Akhirnya, satu “kejutan Oktober” besar kemungkinan berlaku iaitu, kemungkinan pertempuran di Timur Tengah menjadi semakin meluas, yang boleh mengheret Amerika ke dalam operasi pertempuran besar.

Dalam menghadapi pelbagai ketidakpastian, jangan mempercayai sesiapa sahaja yang mendakwa mengetahui apa yang akan berlaku (semasa pilihan raya) pada 5 November. Namun, seperti biasa, seluruh dunia akan memerhatikan (pilihan raya ini).

Dr Adam Garfinkle ialah mantan Zamil Pelawat Utama di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura. Beliau juga Editor Pengasas majalah, ‘The American Interest’.

“Bagaimana dan sejauh manakah Cik Harris dapat menangkis kenyataan salah (mengenai dirinya)? Beliau mesti berkempen dengan penuh semangat, namun sebagai wanita kulit hitam, beliau juga perlu berhati-hati dalam keadaan budaya Amerika yang masih mempunyai sikap dan emosi bertentangan berkaitan isu kaum dan jantina dalam politik.”
Dr Adam Garfinkle mengenai kempen pilihan raya oleh calon presiden Parti Demokrat, Cik Kamala Harris.

“Tiada tindakan buruknya telah terbongkar sepenuhnya – daripada perbuatannya meraba beberapa wanita dan membayar sejumlah wang kepada seorang pelakon lucah wanita, kepada cubaannya untuk mencetus satu rampasan kuasa.”
Dr Adam Garfinkle mengenai calon presiden Parti Republikan, Encik Donald Trump.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg