Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump, Harris rentap siapa layak jadi Presiden Amerika

Sep 11, 2024 | 2:58 PM
Dua gambar montaj menunjukkan calon presiden Republikan, Encik Donald Trump dan Naib Presiden Amerika Syarikat yang juga calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, bertikam lidah dalam debat presiden di Pusat Perlembagaan Negara di Philadelphia, Pennsylvania.
Dua gambar montaj menunjukkan calon presiden Republikan, Encik Donald Trump dan Naib Presiden Amerika Syarikat yang juga calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, bertikam lidah dalam debat presiden di Pusat Perlembagaan Negara di Philadelphia, Pennsylvania. - Foto REUTERS, AFP

PHILADELPHIA: Naib Presiden Amerika Syarikat, Cik Kamala Harris dan bekas Presiden Amerika, Encik Donald Trump bertemu pada Selasa, 10 September untuk perdebatan pertama mereka - dan mungkin terakhir - yang disiarkan secara langsung di televisyen dalam debat yang disifatkan berpotensi menukar rentak perlumbaan pemilihan Presiden Amerika.

Dengan hanya berbaki 56 hari sebelum pilihan raya 5 November, Naib Presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, membuatkan pemimpin Republikan, Encik Donald Trump, bertindak defensif ketika mereka menyertai debat Presiden Amerika Syarikat yang agresif lagi sengit pada 10 September.

Mereka saling bertikam lidah dalam isu membataskan pengguguran, kelayakan untuk memegang jawatan dan pelbagai masalah undang-undang berkaitan dengannya dalam siaran langsung di ABC News yang mencatat hampir dua juta ‘likes’ dalam masa 25 minit, ditonton oleh berpuluh juta pengundi serta berlangsung sekitar 90 minit.

Isu perang Israel-Palestin menjadi tumpuan kedua-dua calon dengan Encik Trump menuduh Cik Harris sebagai anti-Israel dan mendakwa Israel akan lenyap sama sekali dalam dua tahun sekiranya Cik Harris terpilih sebagai Presiden.

Malah Encik Trump juga mendakwa beliau boleh menghentikan perang di Ukraine, kekecohan di Asia Barat dan persengketaan dengan Korea Utara sekiranya diberi mandat menjadi Presiden Amerika tanpa menyatakan bagaimana ia akan dilakukan.

Sebagai seorang bekas pendakwa raya, Cik Harris, 59 tahun, yang berhujah dengan beberapa siri serangan tajam, mendorong Encik Trump, 78 tahun, yang kelihatan marah, menyerang balas dengan siri pembohongan dan kepalsuan.

Pada satu ketika, Cik Harris membangkitkan perhimpunan kempen Encik Trump dengan menyatakan orang ramai sering keluar awal “kerana letih dan bosan”.

Encik Trump, yang kecewa dengan saiz penyokong Cik Harris berkata: “Perhimpunan saya adalah yang terbesar dan paling luar biasa dalam sejarah politik.”

Kedua-dua calon bertikam lidah mengenai isu-isu seperti imigresen, dasar luar dan penjagaan kesihatan.

Sebaliknya, hujah-hujah Cik Harris membuatkan para penyokongnya gembira dan sesetengah anggota Republikan mengakui kelemahan Encik Trump.

Debat ini adalah peluang utama untuk Cik Harris memperkenalkan dirinya kepada lebih ramai pengundi selepas hanya memasuki perlumbaan kurang lapan minggu lalu, apabila Presiden Joe Biden, 81 tahun, menarik diri.

Tinjauan pilihan raya dalam talian PredictIt 2024 menunjukkan kemungkinan Encik Trump akan meraih kemenangan, merosot semasa perbahasan, kepada 47 peratus daripada 52 peratus.

Kemungkinan Cik Harris menang pula meningkat kepada 55 peratus daripada 53 peratus.

Sebagai tanda yakin dengan keputusan perdebatan, penganjur kempen Cik Harris mencabar Encik Trump untuk perdebatan kali kedua dengan segera.

Ketika Encik Trump ditanya moderator tentang kenyataannya kepada wartawan pada Julai bahawa Cik Harris baru-baru ini “menjadi orang Kulit Hitam”.

“Saya tidak peduli. Apa sahaja yang dia mahukan adalah okey dengan saya,” katanya.

Cik Harris, yang berketurunan kulit hitam dan Asia Selatan, menjawab: “Saya fikir ia adalah satu tragedi mempunyai seseorang yang mahu menjadi presiden cuba menggunakan isu kaum untuk memecahbelahkan rakyat Amerika.”

Beliau mengkritik Encik Trump atas sabitan jenayahnya – sembunyikan pembayaran wang kepada bintang lucah serta dakwaan lain dan penghakiman sivil yang mendapati beliau bertanggungjawab atas serangan seksual. Encik Trump telah menafikannya.

Encik Trump juga mengulangi dakwaan palsunya bahawa kekalahannya dalam pilihan raya 2020 adalah kerana penipuan.

Kedua-dua calon menunjukkan sokongan hampir sama dalam kalangan pengundi, sekali gus membuatkan pemilihan kali ini antara pertandingan paling sengit dalam sejarah Amerika.

Sebagai rangsangan kepada kempen Cik Harris, bintang mega pop, Taylor Swift, memberitahu 283 juta pengikutnya di Instagram sejurus selepas sesi tersebut bahawa beliau akan menyokong Cik Harris dan pasangannya Encik Tim Walz dalam pilihan raya pada 5 November. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg