NEW YORK: Calon presiden Parti Republikan, Encik Donald Trump, menghadiri satu perhimpunan di Madison Square Garden di New York pada 27 Oktober yang bermula dengan beberapa kata-kata kasar dan perkauman oleh sekutu mantan presiden itu.
Encik Trump, seorang selebriti New York selama beberapa dekad, berharap dapat menggunakan acara itu di tempat ikonik yang terkenal dengan permainan bola keranjang Knicks dan konsert Billy Joel, untuk menyampaikan serangan penutupnya ke atas calon Parti Demokrat, Cik Kamala Harris, meskipun negeri tersebut kali terakhir menyokong seorang calon Republikan ialah pada 1984.
Beliau bercakap berulang kali mengenai rancangannya untuk menghentikan pendatang tanpa izin dan mengusir pendatang yang disifatkannya sebagai “penjenayah ganas dan dahagakan darah” jika beliau memenangi pilihan raya pada 5 November.
“Pada hari pertama saya akan melancarkan program pengusiran terbesar dalam sejarah Amerika. Saya akan selamatkan setiap kota, dan kota yang telah diserang dan ditakluki,” tambahnya.
Encik Trump, yang menyifatkan Cik Harris sebagai “individu yang mempunyai darjah kecerdasan otak atau IQ yang sangat rendah”, mendapat sorakan daripada penyokong kerana retoriknya yang keras terhadap pendatang.
Beliau berikrar untuk mengharamkan bandar perlindungan yang enggan bekerjasama dengan pemerintah persekutuan dalam menguatkuasakan undang-undang imigresen, dan memohon undang-undang Akta Musuh Asing 1798 untuk menghantar pulang pendatang dengan rekod jenayah.
Turut menyampaikan ceramah di perhimpunan itu termasuk bekas ahli gusti profesional Hulk Hogan; mantan Datuk Bandar New York, Encik Rudy Giuliani; serta dua anak lelaki Encik Trump, Eric dan Don Jr.
Sesetengah mereka menggunakan bahasa berbaur perkauman dan kebencian terhadap kaum wanita untuk menghangatkan perhimpunan tersebut.
Encik Giuliani, yang juga bekas peguam peribadi kepada Encik Trump, mendakwa bahawa Cik Harris “berpihak kepada pengganas” dalam konflik Israel-Palestin.
Pelawak Tony Hinchcliffe menggunakan bahasa kasar ketika bergurau bahawa orang Latin “suka buat bayi” dan menyifatkan negara Caribbean di bawah kuasa Amerika, Puerto Rico, sebagai “pulau sampah terapung”.
Cik Danielle Alvarez, penasihat kanan kempen Encik Trump, bagaimanapun memberitahu Reuters bahawa jenaka tentang Puerto Rico “tidak mencerminkan pandangan Encik Trump atau kempennya”.
Walaupun warga Puerto Rico adalah warga Amerika, penduduk pulau itu tidak boleh mengundi dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, berjuta-juta warga Puerto Rico yang telah berpindah ke tanah besar Amerika boleh mengundi, dan terdapat komuniti besar di negeri medan pertempuran Pennsylvania. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg