Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris, Trump ke negeri undi kritikal untuk rebut sokongan terakhir

Tinjauan: Harris dapat sokongan padu dalam kalangan pengundi wanita; Trump disokong pengundi Hispanik, terutama lelaki
Nov 4, 2024 | 1:07 PM
Mantan Presiden Amerika Syarikat dan calon presiden Republikan, Encik Donald Trump, berucap semasa perhimpunan kempen di Atrium Health Amphitheater di Macon, Georgia, pada 3 November.
Mantan Presiden Amerika Syarikat dan calon presiden Republikan, Encik Donald Trump, berucap semasa perhimpunan kempen di Atrium Health Amphitheater di Macon, Georgia, pada 3 November. - Foto AFP

DETROIT: Calon presiden Demokrat Kamala Harris membuat ucapan penutup kempennya di sebuah gereja masyarakat kulit hitam di Michigan pada 3 November, manakala pesaingnya daripada Parti Republikan Donald Trump pula berkempen di Pennsylvania di tengah-tengah demam pilihan raya yang bakal menjelang.

Tinjauan pendapat menunjukkan pasangan itu berentap dengan Cik Harris, 60 tahun, mendapat sokongan padu dalam kalangan pengundi wanita, manakala Encik Trump, 78 tahun, mendapat tempat di hati pengundi kaum Hispanik, terutama lelaki.

Pengundi secara keseluruhan tidak condong kepada mana-mana calon, menurut tinjauan Reuters/Ipsos.

Lebih 76 juta rakyat Amerika telah membuang undi awal menjelang hari pilihan raya pada 5 November.

Menurut Makmal Pilihan Raya Universiti Florida, hampir separuh daripada jumlah keseluruhan 160 juta undi yang keluar mengundi pada 2020.

Pilihan raya itu juga bakal menentukan parti yang menguasai Dewan Kongres Amerika, dengan Republikan dijangka menawan majoriti di Senat manakala Demokrat dilihat mempunyai peluang yang sama untuk membalikkan majoriti sempit Republikan di Dewan Perwakilan.

“Dalam masa dua hari kita mempunyai kuasa untuk menentukan nasib negara kita untuk generasi akan datang,” kata Cik Harris kepada para pengunjung di Greater Emmanuel Institutional Church of God di Christ, Detroit.

Mantan Presiden, Encik Trump, pada perhimpunan pertama daripada tiga perhimpunan pada 3 November, sering mengungkapkan kata-kata luar biasa dengan mengecam tinjauan pendapat yang menunjukkan ia merupakan pergerakan untuk Cik Harris.

Encik Trump secara berseloroh menyifatkan Demokrat sebagai “parti syaitan”, merujuk kepada liputan media mengenai beliau terselamat daripada cubaan membunuhnya pada Julai di Butler, Pennsylvania, memperlekeh Presiden Demokrat Encik Joe Biden dan mengadu tentang harga epal.

Menurutnya, terdapat celah pada kaca kalis peluru yang mengelilinginya ketika beliau berucap sebelum kejadian tembakan berlaku dan beliau berfikir bahawa seorang pembunuh perlu menembak melalui media berita untuk mendapatkannya.

Namun, jurucakap kempennya, Encik Steven Cheung, menyatakan kenyataan Encik Trump tidak ditujukan kepada media tetapi sebaliknya “ia adalah mengenai ancaman terhadapnya yang didorong oleh retorik berbahaya daripada Demokrat”.

Daripada tujuh negeri yang dilihat saling bersaing sengit, Georgia dan North Carolina merupakan hadiah kedua terbesar untuk direbut dengan masing-masing memegang 16 daripada 270 undi yang perlu dimenangi oleh calon.

Pennsylvania adalah yang pertama dengan 19 undi.

Penganalisis pilihan raya menganggap Cik Harris perlu memenangi kira-kira 45 undi pilihan raya di tujuh negeri untuk memenangi Rumah Putih, manakala Encik Trump memerlukan kira-kira 51 undi apabila mengambil kira negeri yang diramalkan mereka akan menang dengan mudah.

Di akhir ucapannya di Pennsylvania, Encik Trump menyatakan bahawa beliau lebih suka untuk tidak menyerahkan kuasa dan keputusan pilihan raya harus diumumkan pada malam pilihan raya, di sebalik kenyataan pegawai di beberapa negeri bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa hari untuk mengumumkannya.

Demokrat berkata mereka mempunyai rancangan sekiranya Encik Trump cuba menuntut kemenangan secara pramatang kali ini. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg