NEVADA (Arizona): Memasuki hari-hari terakhir menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 5 November, persaingan antara calon Republikan, Encik Donald Trump, dan calon Demokrat, Kamala Harris, semakin sengit dan sukar diramal.
Dalam tempoh genting ini, kedua-dua pemimpin mempergiat usaha mendapatkan sokongan rakyat di negeri bahagian barat yang menjadi medan pertarungan penting dengan memberi tumpuan pada isu imigresen dan menarik sokongan pengundi dalam kalangan anggota masyarakat Latino.
Pada 31 Oktober, Cik Harris dan Encik Trump masing-masing menumpukan kempen di negeri pantai barat Amerika, terutama di Nevada dan Arizona.
Kedua-duanya melancarkan serangan kempen dengan isu-isu panas, termasuk kenyataan Encik Trump yang mengundang kontroversi apabila beliau berjanji melindungi wanita, “sama ada wanita suka atau tidak”.
Mereka saling bersaing bagi meraih undian di tujuh negeri yang dijangka akan menentukan keputusan pilihan raya itu.
Encik Trump, yang mengadakan rapat umum di Henderson, Nevada, dan seterusnya Glendale, Arizona, menyasarkan undi konservatif sambil mengkritik kem Cik Harris mengenai isu imigresen dan ekonomi.
Pada masa yang sama, Cik Harris mengunjungi Phoenix sebelum ke Reno, Nevada, dan mengakhiri hari dengan sebuah rapat umum di pinggir Las Vegas bersama bintang pop, Jennifer Lopez, yang tampil menyokong Harris.
Lopez atau JLo memperkenalkan Cik Harris di atas pentas dengan mengungkapkan bahawa Cik Harris akan memperjuangkan “kebebasan untuk para imigran dan keluarga mereka mengejar impian Amerika”.
Jlo turut menyelar perhimpunan Encik Trump di Madison Square Garden, yang memperolok-olokkan anggota masyarakat Puerto Rico dan Latino.
“Bukan hanya orang Puerto Rico yang rasa tersinggung hari ini. Seluruh anggota masyarakat Latino berasa tersinggung, dan sesiapa yang mempunyai maruah kemanusiaan juga tersentuh,’‘ ujar Jlo.
Encik Trump pula menjadi tetamu dalam rancangan temu bual bersama bekas hos Fox News, Encik Tucker Carlson, dan memberitahu pemberita, beliau tidak memberi keutamaan kepada aspek kebebasan dan kecerdasan wanita bagi membuat keputusan berhubung kehidupan dan diri mereka.
Encik Trump turut mengambil langkah agak luar biasa dengan mengadakan rapat umum di New Mexico, sebuah negeri yang lazimnya memihak kepada Demokrat.
Beliau menyatakan lawatannya ke Albuquerque bertujuan meningkatkan sokongan daripada anggota masyarakat Latino.
“Ini untuk memperkukuh hubungan saya dengan anggota masyarakat Latino,” ujar Encik Trump, sambil menambah dakwaan tidak berasas mengenai penipuan undi di New Mexico.
Cik Harris mengambil kesempatan untuk menyoal kenyataan Encik Trump mengenai wanita, yang dianggap mencerminkan pandangan Encik Trump terhadap hak dan kedudukan wanita.
“Kenyataan tersebut menunjukkan betapa Trump memandang rendah terhadap wanita,” kata Cik Harris dalam salah satu ucapannya.
“Setiap individu berhak mendapat penjagaan kesihatan yang berpatutan,” tambah Cik Harris, merujuk pada rancangannya untuk meningkatkan gaji minimum, menghapuskan cukai melibatkan tip, dan memperluaskan insurans kesihatan federal, Medicare, bagi menampung penjagaan kesihatan di rumah.
Di Nevada, yang sebahagian besar ekonominya disokong sektor pelancongan dan perkhidmatan, isu kos sara hidup menjadi topik penting yang ditekankan oleh Cik Harris.
“Orang yang bekerja keras berhak mendapat gaji yang selayaknya dan penjagaan kesihatan yang mampu milik,” tegas beliau.
Menurut Cik Harris, dasar itu akan membantu ramai pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan di bandar Las Vegas dan seluruh negara.
Namun, Encik Trump terus membangkitkan isu imigresen dan pilihan raya, mengulang dakwaan tentang penipuan undi dan menuduh Demokrat sengaja membiarkan imigran tanpa dokumen.
Dalam jawapan yang bercelaru, Encik Trump turut menyentuh isu yang tiada kaitan seperti dakwaan palsu mengenai pembedahan pengesahan jantina untuk golongan transgender dan sindiran terhadap penampilan penggubal undang-undang Demokrat.
“Mereka (imigran) ini masalah,” kata Encik Trump.
“Pegawai sempadan dapat mengenal pasti mereka hanya dengan melihatnya – mana yang baik, mana yang tidak baik,” tambahnya.
Tinjauan Reuters/Ipsos pada 30 Oktober menunjukkan Cik Harris mendahului Encik Trump dengan hanya 44 peratus berbanding 43 peratus dalam kalangan pengundi berdaftar di peringkat nasional.
Tinjauan pendapat lain menunjukkan margin yang kukuh di tujuh negeri kritikal yang akan menentukan keputusan pilihan raya pada 5 November. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg