Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Harris, Trump pergiat kempen dua minggu jelang piihan raya

Oct 22, 2024 | 12:47 PM
Calon Presiden daripada Parti Demokrat, Cik Kamala Harris (gambar di skrin), dan pesaingnya daripada Republikan, Encik Donald Trump, semakin giat berkempen menjelang pilihan raya presiden pada 5 November.
Calon Presiden daripada Parti Demokrat, Cik Kamala Harris (gambar di skrin), dan pesaingnya daripada Republikan, Encik Donald Trump, semakin giat berkempen menjelang pilihan raya presiden pada 5 November. - Foto REUTERS

NORTH CAROLINA: Calon presiden Demokrat, Cik Kamala Harris, dan pesaingnya dari Parti Republikan, Encik Donald Trump, masing-masing semakin ligat berkempen dalam usaha memikat pengundi yang belum membuat keputusan dalam dua minggu sebelum pilihan raya.

Cik Harris, yang berkempen bersama bekas anggota parlimen Republikan, Cik Liz Cheney, cuba meyakinkan golongan wanita konservatif di kawasan Midwestern bahawa mantan Presiden Trump adalah ancaman kepada hak pengguguran, keselamatan negara dan demokrasi.

Ketika pilihan raya semakin hampir, Cik Harris telah mempertajam serangannya terhadap kecergasan Encik Trump untuk memegang jawatan, sering memanggilnya “tidak stabil” dan mempersoalkan perangainya.

“Dalam banyak cara Donald Trump adalah seorang yang tidak serius, tetapi apabila menjadi presiden beliau sangat serius,” kata Cik Harris, 60 tahun, ketika berkempen di Malvern, Pennsylvania, salah satu daripada tujuh negeri persaingan sengit yang bakal menentukan pemenang pilihan raya pada 5 November kelak.

Encik Trump, 78 tahun, pula sering menolak sebarang tanggapan bahawa beliau adalah ancaman kepada demokrasi dengan alasan parti Demokrat yang menjadi ancaman sebenar kerana siasatan jenayah yang beliau dan sekutunya hadapi dalam percubaan untuk membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya 2020.

Meskipun Cik Harris berasa pesaingnya itu tidak layak untuk memimpin Amerika, namun Encik Trump mempersoalkan kecekapan pentadbiran Presiden Joe Biden.

Dalam kempen pada 21 Oktober di North Carolina, Encik Trump menggesa para penyokong di pergunungan yang dilanda taufan baru-baru ini supaya keluar mengundi walaupun berdepan dengan kesukaran.

Dengan tinjauan pendapat menunjukkan pertarungan yang sengit, kedua-dua calon itu semakin ligat, jadual kempen mereka juga semakin ketat dalam usaha memikat pengundi yang bakal menentukan nasib mereka kelak.

Lawatan Encik Trump ke North Carolina bertepatan dengan kebimbangan dalam kalangan sekutu Republikannya bahawa kerosakan yang berlaku akibat Taufan Helene boleh menjejas kehadiran para pengundi di kawasan pergunungan itu.

Encik Trump meraih 62 peratus undi dalam pilihan raya pada 2020 di 25 daerah yang diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas Taufan Helene melanda. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg