WASHINGTON: Naib Presiden Kamala Harris mendahului Encik Donald Trump dengan 3 peratusan mata kecil – 45 peratus berbanding 42 peratus – sedang mereka terus bersaing sengit untuk memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat, lapor tnjauan Reuters/Ipsos.
Meskipun jurang antara mereka kekal stabil apabila dibandingkan dengan tinjauan Reuters/Ipsos seminggu sebelum itu, tinjauan baru tersebut, yang ditutup pada 13 Oktober, memberi petanda pengundi, terutama Demokrat, mungkin lebih bersemangat tentang pilihan raya kali ini berbanding pada 2020 apabila calon Demokrat, Encik Joe Biden mengalahkan Encik Trump, daripada Republikan.
Kira-kira 78 peratus pengundi berdaftar dalam tinjauan tiga hari itu – 86 peratus Demokrat dan 81 peratus Republikan – berkata mereka “pasti sepenuhnya” akan membuang undi dalam pilihan raya presiden pada 5 November.
Jumlah tersebut meningkat daripada 74 peratus dalam tinjauan Reuters/Ipsos yang dijalankan pada 23 hingga 27 Oktober 2020, apabila 74 peratus Demokrat dan 79 peratus Republikan mengatakan mereka pasti akan membuang undi.
Cik Harris menyertai pilihan raya ini pada Julai selepas Encik Biden berundur berikutan prestasi buruknya semasa perbahasan menentang Encik Trump pada Jun.
Encik Trump pada masa itu dilihat secara meluas mendahului pesaingnya berdasarkan kekuatannya dari segi ekonomi selepas beberapa tahun inflasi tinggi di bawah pentadbiran Encik Biden, yang hanya reda dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Baru-baru ini, Cik Harris nampaknya mendapat sokongan pengundi yang memilihnya sebagai calon lebih baik bagi dasar penjagaan kesihatan dan mengendalikan ekstremisme politik.
Ini walaupun pengundi menilai ekonomi Amerika sebagai isu utama pilihan raya dan berkata Encik Trump adalah penjaga ekonomi yang lebih baik, mengikut dapatan tinjauan terbaru itu.
Dapatan itu juga menunjukkan Cik Harris mendahului Encik Trump sebanyak lima mata – 43 peratus berbanding 38 peratus – apabila pengundi diminta memilih siapa lebih baik untuk mengendalikan ekstremisme politik dan ancaman terhadap demokrasi.
Cik Harris juga mendahuluinya dengan 14 mata berhubung dasar penjagaan kesihatan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg