NEW DELHI: Perdana Menteri Bangladesh yang digulingkan, Cik Sheikh Hasina, berkemungkinan tinggal di India hingga Britain memberikan suaka politik kepadanya, lapor saluran berita televisyen tempatan Republic World pada 6 Ogos.
Laporan awal menyatakan beliau, yang melarikan diri dari negara yang dilanda keganasan itu selepas kejatuhan pemerintahnya, menuju ke London dan akan mengambil penerbangan komersial di India ke negara ketiga.
Bagaimanapun, pada petang 5 Ogos, helikopternya mendarat di Pangkalan Udara Hindon Ghaziabad berhampiran New Delhi dan sejak itu beliau berada di India.
Cik Hasina, 76 tahun, meletakkan jawatan pada 5 Ogos berikutan protes antipemerintah berleluasa dan tidak pernah berlaku sebelum ini di Bangladesh.
Beliau segera meninggalkan Dhaka dengan menaiki helikopter tentera.
Laporan menyatakan beliau sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan Britian berhubung suaka politik di negara itu.
“Sheikh Hasina berkemungkinan melanjutkan tempoh tinggalnya di India sambil menunggu kelulusan daripada United Kingdom untuk mendapatkan suaka,” lapor Republic World, memetik sumbernya.
Beliau dikatakan memilih India untuk melarikan diri kerana menikmati hubungan rapat dengan India semasa pemerintahannya.
Dalam pada itu, India Today melaporkan bahawa Cik Hasina hanya diberi masa 45 minit oleh tentera untuk meninggalkan negara itu, kata sumber.
Pada mulanya Cik Hasina mahu menyiarkan mesej kepada negara itu sebelum meninggalkan Bangladesh, tetapi tentera tidak membenarkannya berbuat demikian.
Menurut sumber, terdapat dua puak Tentera Bangladesh, satu memihak pada Cik Hasina, manakala satu lagi pihak, terdiri daripada pegawai rendah dan sekitar 60 pegawai bersara, menentangnya.
Satu mesyuarat Majlis Keselamatan Negara tentera diadakan pada kira-kira 1 tengah hari pada 4 Ogos dan tentera memberitahu Cik Hasina bahawa mereka tidak akan menghalang protes oleh para pelajar.
Pada mulanya keadaan agak tenang hingga 9 pagi 5 Ogos, namun selepas itu ribuan pelajar memasuki Dhaka dari sempadan Gazipur.
Keadaan kemudiannya bertambah buruk, susulan itu tentera mengarahkan Cik Hasina supaya segera meninggalkan negara tersebut, kata sumber.
Sementara itu, kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi, yang memimpin protes besar-besaran terhadap pemerintah Liga Awami Cik Hasina, menyeru orang ramai supaya menahan diri daripada melakukan sebarang keganasan.
“Kita perlu melindungi negara ini. Semua aset dan harta negeri ini adalah milik rakyat,” kata Encik Nahid Islam, salah seorang penyelaras tunjuk perasaan itu.
Ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-uz-Zaman, sebelum itu mengumumkan pemerintah peralihan dibentuk selepas Cik Hasina melarikan diri dari negara itu di tengah-tengah bantahan ganas di seluruh negara.
Pihak berkuasa di Dhaka juga menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Shahjalal, menurut akhbar harian nasional Prothom Alo, manakala syarikat penerbangan India menggantung penerbangan ke Bangladesh.
Bangladesh menyaksikan keganasan terburuk pada 4 Ogos dengan 97 kematian, ketika penunjuk perasaan berarak ke Dhaka. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg