DHAKA (Bangladesh): Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina telah meletak jawatan pada 5 Ogos dan melarikan diri dari negara itu.
Ini ketika lebih ramai orang terbunuh dalam beberapa keganasan terburuk sejak kelahiran negara Asia Selatan itu lebih lima dekad lalu.
Panglima tentera, Jeneral Waker-Us-Zaman, berkata dalam ucapan di televisyen bahawa Cik Hasina, 76 tahun, telah meninggalkan negara itu dan pemerintah sementara akan dibentuk.
Orang ramai kelihatan riang mengibarkan bendera, ada yang menari di atas kereta kebal di jalan-jalan di Dhaka pada 5 Ogos pagi, sebelum beratus-ratus memecah masuk melalui pintu kediaman rasmi Cik Hasina.
Saluran Bangladesh, Channel 24, menyiarkan imej orang ramai yang berlari ke pekarangan, melambai ke arah kamera.
Sumber yang rapat dengan Cik Hasina sebelum ini memberitahu AFP bahawa beliau telah meninggalkan istananya untuk pergi ke “tempat yang lebih selamat”.
Beliau berlepas dengan helikopter tentera ke India, menurut akhbar harian Bangladesh, Prothom Alo.
Helikopter itu, juga membawa kakaknya, dilaporkan mendarat di Agartala di timur laut India.
Sebelum penunjuk perasaan menyerbu kawasan itu, anak lelaki Cik Hasina menggesa pasukan keselamatan negara itu supaya menghalang sebarang pengambilalihan daripada pemerintahannya selama 15 tahun.
“Tugas anda adalah untuk memastikan rakyat kita selamat dan negara kita selamat dan untuk menegakkan perlembagaan,” kata anaknya, Encik Sajeeb Wazed Joy, yang berpangkalan di Amerika Syarikat, dalam satu catatan di Facebook.
“Ini bermakna jangan biarkan mana-mana pemerintah yang tidak dipilih untuk berkuasa selama satu minit pun, itu adalah kewajipan anda.”
Pasukan keselamatan telah menyokong pemerintah Cik Hasina sepanjang pergolakan itu, yang bermula Julai, terhadap kuota pekerjaan perkhidmatan awam, kemudian meningkat kepada gesaan yang lebih meluas supaya beliau meletak jawatan.
Sekurang-kurangnya 94 orang terbunuh pada 4 Ogos, termasuk 14 pegawai polis, dalam hari paling dahsyat dalam pergolakan itu.
Keganasan hari itu menjadikan jumlah orang yang terbunuh sejak protes itu bermula pada awal Julai kepada sekurang-kurangnya 300, menurut pengiraan AFP berdasarkan maklumat polis, pegawai pemerintah dan doktor di hospital.
Tentera negara itu mengisytiharkan darurat pada Januari 2007 selepas pergolakan politik yang meluas dan mendirikan pemerintah sementara yang disokong tentera selama dua tahun.
Cik Hasina telah memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari selepas satu pengundian tanpa pembangkang yang tulen. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg