DHAKA: Baru lebih sebulan menjadi ketua tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman menjadi tumpuan apabila beliau mengumumkan peletakan jawatan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang melarikan diri dari negara itu pada 5 Ogos.
Jeneral Zaman berkata dalam satu ucapan di televisyen bahawa selepas perbincangan bersama “semua parti politik”, diputuskan bahawa pemerintah sementara akan dibentuk.
Tidak jelas sama ada tentera akan memainkan peranan, tetapi Jeneral Zaman berkata: “Kami sekarang akan pergi kepada presiden negara, dan kami akan membincangkan tentang pembentukan pemerintah sementara, membentuk pemerintah sementara, dan mengurus negara, “ katanya.
Bangladesh diselubungi protes dan keganasan yang bermula pada Julai selepas kumpulan pelajar menuntut penghapusan sistem kuota kontroversi dalam pekerjaan perkhidmatan awam.
Bantahan itu kemudian menjadi semakin ganas, yang menuntut penyingkiran Cik Hasina, yang telah berkuasa selama 15 tahun, terbaru bagi penggal keempat berturut-turut mulai Januari.
Hampir 250 orang terbunuh dalam keganasan itu.
Jeneral Zaman, 58 tahun, menyandang tugas ketua tentera pada 23 Jun selama tiga tahun, tempoh biasa bagi jawatan itu. Beliau dijangka bertemu ketua pelajar pada 6 Ogos.
Pada masa sama penunjuk perasaan, yang terdiri daripada pelajar Bangladesh, mendesak seorang pemenang Hadiah Nobel, Dr Muhammad Yunus, dilantik mengetuai pemerintah sementara, sehari selepas Cik Hasina diguling dan tentera mengambil alih kuasa.
“Kami telah memutuskan pemerintah sementara akan dibentuk dengan pemenang Hadiah Nobel terkenal pada peringkat antarabangsa, Dr Mohammad Yunus, yang diterima secara meluas, akan menjadi ketua penasihat,” kata pemimpin utama kumpulan Mahasiswa Menentang Diskriminasi (SAD), Encik Nahid Islam, dalam satu mesej video.
Dr Yunus, 84 tahun, seorang ahli ekonomi yang dihormati kerana membebaskan jutaan penduduk daripada kemiskinan menerusi bank kewangan mikro perintisnya, tetapi tidak ‘sebulu’ dengan Cik Hasina, yang menuduhnya “menghisap darah” golongan miskin.
“Kami percaya Dr Yunus,” tulis Encik Asif Mahmud, ketua utama kumpulan SAD di Facebook.
Dr Yunus kini berada di Eropah dan seorang pembantu rapatnya berkata beliau tidak menerima sembarang tawaran daripada tentera untuk memimpin pemerintah sementara. – Reuters.
Jeneral Zaman dilahirkan di Dhaka pada 1966, beliau berkahwin dengan Cik Sarahnaz Kamalika Zaman, anak perempuan Jeneral Muhammad Mustafizur Rahman, yang merupakan ketua tentera dari 1997 hingga 2000.
Jeneral Zaman memiliki ijazah Sarjana dalam Pengajian Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Bangladesh dan Sarjana Sastera dalam Pengajian Pertahanan dari King’s College, London, menurut laman web Tentera Bangladesh.
Sebelum menjadi ketua tentera, beliau berkhidmat sebagai Ketua Staf Am selama enam bulan - peranan di mana beliau menyelia, antara lain, operasi ketenteraan dan perisikan, peranan Bangladesh dalam operasi pengaman PBB, dan bajet. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg