DHAKA: Mantan Perdana Menteri Bangladesh, Cik Sheikh Hasina, pada 13 Ogos meminta tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam “pembunuhan dan vandalisme” di negara itu pada Julai, komen pertamanya sejak bantahan ganas memaksanya melarikan diri ke India.
Kenyataan beliau yang dikeluarkan di laman X melalui anaknya itu dibuat beberapa jam selepas mahkamah mengarahkan siasatan terhadap peranannya dalam kematian seorang pemilik kedai runcit semasa protes.
Mahkamah di Bangladesh pada 13 Ogos membuka siasatan berkaitan pembunuhan terhadap Cik Hasina dan enam lagi tokoh tertinggi dalam pentadbirannya berhubung kejadian seorang lelaki yang ditembak mati oleh anggota polis dalam satu tunjuk perasaan pada Julai lalu.
Cik Hasina, 76 tahun, melarikan diri menggunakan helikopter ke negara jiran, India, berikutan bantahan besar-besaran menentang pemerintahannya dengan ribuan rakyat membanjiri jalan raya di Dhaka.
Ramai orang mati “atas nama revolusi” pada Julai, kata Cik Hasina.
“Saya menuntut mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan vandalisme ini disiasat dengan sewajarnya, dan pesalah dikenal pasti serta dihukum sewajarnya,” katanya.
Kira-kira 300 orang terkorban dalam demonstrasi yang bermula sebagai bantahan terhadap kuota pekerjaan, tetapi berkembang menjadi gerakan yang menuntut penggulingan Cik Hasina.
Anggota pemerintahnya yang lain turut berdepan tindakan jenayah, dengan mantan Menteri Undang-Undang, Encik Anisul Huq, dan penasihat Cik Hasina, Encik Salman F Rahman, ditahan kerana didakwa “menghasut” pembunuhan dua orang, kata polis pada 13 Ogos.
Kes terhadap Cik Hasina – yang pertama susulan bantahan – telah difailkan oleh Encik Amir Hamza dan diterima oleh ketua mahkamah majistret metropolitan Dhaka selepas perbicaraan, kata peguam, Encik Hamza Anwarul Islam, sambil menambah bahawa polis telah diarahkan untuk menyiasat.
Enam lagi tertuduh dalam kes itu termasuk Encik Obaidul Quader, setiausaha agung parti Liga Awami pimpinan Cik Hasina; mantan Menteri Dalam Negeri, Encik Asaduzzaman Khan Kamal, serta pegawai kanan polis.
Encik Hamza mendakwa peniaga runcit, Encik Abu Saeed, terkena peluru ketika melintas jalan pada 19 Julai ketika polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di kawasan Mohammadpur di Dhaka.
Pengadu menyalahkan Cik Hasina yang telah meminta tindakan tegas agar menghentikan keganasan, atas kejadian tembakan itu.
Encik Hamza berkata beliau tidak mempunyai kaitan dengan Encik Saeed tetapi berurusan dengan pihak mahkamah kerana keluarga Encik Saeed tidak mampu memfailkan kes tersebut. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg