Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah sementara Bangladesh usaha henti serangan ke atas minoriti

Sejak PM Sheikh Hasina melarikan diri ke luar negara, banyak serangan telah dilaporkan terhadap keluarga, kuil dan perniagaan Hindu.
Aug 12, 2024 | 1:30 PM
Penganut Hindu menyekat jalan raya semasa mengadakan bantahan terhadap keganasan ke atas  mereka pada 10 Ogos  Dhaka.
Penganut Hindu menyekat jalan raya semasa mengadakan bantahan terhadap keganasan ke atas mereka pada 10 Ogos Dhaka. - Foto REUTERS

DHAKA: Pemerintah sementara Bangladesh berkata ia sedang berusaha menghentikan serangan terhadap penganut Hindu dan kaum minoriti agama lain, yang dilaporkan selepas penyingkiran Perdana Menteri Sheikh Hasina.

Penganut Hindu adalah kaum minoriti terbesar di Bangladesh, yang kebanyakan penduduknya beragama Islam, dan dianggap sebagai sebuah asas sokongan bagi parti Liga Awami Cik Hasina.

Sejak peletakan jawatan mendadak Cik Hasina dan tindakannya melarikan diri ke luar negara, yang sekali gus menamatkan 15 tahun pemerintahannya, terdapat banyak laporan mengenai serangan terhadap keluarga, kuil dan perniagaan Hindu.

“Serangan ke atas kaum minoriti agama di beberapa tempat diambil dalam perhatian dengan sangat bimbang,” kata Kabinet sementara pada 11 Ogos, dalam kenyataan rasmi pertamanya sejak dibentuk pada 8 Ogos.

Kabinet itu berkata ia akan “segera duduk bersama badan perwakilan dan kumpulan lain yang prihatin untuk mencari jalan bagi menyelesaikan serangan kejam itu”.

Beribu-ribu orang menyertai bantahan pada 11 Ogos menggesa dihentikan keganasan terhadap masyarakat Hindu, lapor Dhaka Tribune.

Penunjuk perasaan membantah “kemusnahan rumah, pencerobohan tapak tanah kuil, pembakaran, rompakan, dan bentuk keganasan lain”, kata laporan itu.

“Kami terkejut mengenai serangan terhadap penganut Hindu, penyeksaan dan vandalisme kuil. Adalah tanggungjawab pemerintah untuk memastikan keselamatan kami.

“Kami adalah rakyat negara ini dan berhak hidup dengan selamat,” ujar seorang penceramah Hindu pada sebuah perhimpunan di bandar Bogra, lapor Dhaka Tribune.

Kenyataan daripada pemerintah sementara, yang juga dikenali sebagai majlis penasihat, menyenaraikan banyak keutamaan segera.

Pemerintah sementara, yang diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Dr Muhammad Yunus, mengarahkan “sokongan” bagi keluarga pembantah yang terbunuh dalam tunjuk perasaan selama beberapa minggu yang memuncak dengan tindakan Cik Hasina melarikan diri.

Ia mengarahkan dana awam untuk membayar mereka yang cedera dalam pergolakan itu, yang bermula pada Julai dan mengorbankan lebih 300 orang.

Memulihkan ketenteraman dan mengadakan pilihan raya bebas dan adil antara matlamat utama pentadbiran yang diketuai ahli ekonomi berusia 84 tahun itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg