LONDON: Lapangan Terbang Heathrow, lapangan terbang paling sibuk di Eropah, tampil mempertahankan tindakannya menutup operasi selama 18 jam pada 21 Mac lalu, selepas insiden gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan ribuan penumpang terkandas dan kerugian berjuta-juta pound kepada syarikat penerbangan.
Penutupan mendadak kesemua empat terminal Heathrow telah mencetuskan persoalan awam mengenai kebergantungan infrastruktur penting negara dan sama ada tindakan penutupan penuh itu wajar dilakukan.
Dalam kenyataan rasmi, pihak lapangan terbang menjelaskan bahawa gangguan berpunca daripada kebakaran di sebuah pencawang berhampiran pada lewat malam 20 Mac, yang telah menjejas operasi kritikal dan memaksa mereka untuk beralih kepada pencawang alternatif serta menyusun semula sistem kuasa secara menyeluruh.
“Ratusan sistem kritikal di seluruh lapangan terbang perlu ditutup dan dihidupkan semula dengan cara yang selamat dan sistematik. Memandangkan saiz dan kerumitan operasi Heathrow, proses pemulihan selepas gangguan sebesar ini amat mencabar,” ,” kata jurucakap Heathrow.
Namun begitu, Ketua Eksekutif National Grid, Encik John Pettigrew, berkata bahawa terdapat dua lagi pencawang yang sentiasa boleh digunakan bagi membekalkan kuasa kepada Heathrow sepanjang krisis itu.
“Dua pencawang tersedia setiap masa untuk digunakan oleh syarikat pengagihan tenaga dan Heathrow. Ini menunjukkan sistem grid elektrik kita kekal kukuh,” katanya kepada Financial Times.
Kenyataan tersebut menimbulkan kritikan terhadap Heathrow kerana didakwa gagal bertindak lebih pantas untuk menstabilkan sistem. Syarikat penerbangan seperti British Airways merupakan antara yang paling terkesan, dengan kerugian yang dianggarkan mencecah puluhan juta pound akibat pembatalan ratusan penerbangan.
Susulan insiden ini, kerajaan UK dan pengurusan Heathrow masing-masing telah memulakan siasatan dalaman bagi menyemak semula punca dan kelemahan sistem pengurusan krisis.
“Penting untuk kita belajar daripada kejadian ini. Itulah sebabnya kedua-dua semakan ini amat kritikal,” kata Menteri Pengangkutan, Cik Heidi Alexander, kepada Sky News pada 24 Mac.
Ditanya dalam satu wawancara bersama LBC Radio mengenai sama ada beliau masih yakin terhadap kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutif Heathrow, Encik Thomas Woldbye, Cik Alexander menjawab bahawa beliau mahu melihat hasil siasatan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang penilaian lanjut.
Heathrow merupakan syarikat milik swasta yang dimiliki oleh beberapa pelabur utama termasuk Kumpulan Pelaburan Qatar, Dana Pelaburan Awam Arab Saudi, serta firma pelaburan Perancis Ardian.
“Kami sedang meneliti semula keupayaan infrastruktur tenaga dan memastikan langkah pemulihan selepas insiden ini boleh dijalankan dengan lebih cekap di masa akan datang,” kata jurucakap Heathrow.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg