Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerbangan, termasuk SIA, disambung selepas Heathrow dibuka semula

Mar 22, 2025 | 3:00 PM
Tiga daripada empat penerbangan SIA ke Heathrow yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 22 Mac, diteruskan seperti yang dirancang.
Tiga daripada empat penerbangan SIA ke Heathrow yang dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 22 Mac, diteruskan seperti yang dirancang. - Foto AFP

Kebanyakan penerbangan yang beroperasi antara Singapura dengan Lapangan Terbang Heathrow di London telah disambung semula pada 22 Mac.

Penutupan lapangan terbang itu dibuat pada 21 Mac berikutan gangguan bekalan elektrik yang menyebabkan ribuan penumpang dan pesawat terkandas, lapor The Straits Times (ST).

Menurut data firma analisis penerbangan Cirium, tiga daripada empat penerbangan ke Heathrow yang dikendalikan oleh Singapore Airlines (SIA) dan dijadualkan berlepas dari Lapangan Terbang Changi pada 22 Mac akan diteruskan seperti yang dirancang.

Penerbangan SQ306, yang dijadualkan berlepas pada 1.10 pagi, dibatalkan, sementara SQ308, yang ditetapkan berlepas pada 9 pagi, dan SQ318, yang dijadualkan pada 12.45 tengah hari, berlepas dari Changi seperti yang dirancang. Penerbangan SQ322 dijadualkan berlepas pada 11.45 malam.

Sementara itu, dua penerbangan SIA ke Singapura dari Heathrow pada 22 Mac telah dibatalkan, manakala dua lagi akan berlepas seperti yang dijadualkan, menurut data Cirium.

Kebakaran di pencawang berhampiran memutuskan bekalan elektrik di lapangan terbang kelima paling sibuk di dunia, dengan penerbangan disambung semula beberapa jam kemudian pada 21 Mac (22 Mac pagi waktu Singapura).

Insiden itu dilaporkan telah menyebabkan pakar penerbangan dan syarikat penerbangan mempersoalkan bagaimana infrastruktur kritikal itu boleh gagal.

Dua penerbangan SIA yang meninggalkan Singapura ke Heathrow pada 20 dan 21 Mac telah dilencongkan – satu ke Frankfurt, Jerman, dan satu lagi ke Paris, Perancis.

Manakala empat yang dijadualkan berlepas pada 21 dan 22 Mac telah dibatalkan. Empat penerbangan ke Singapura dari Heathrow pada 21 Mac juga telah dibatalkan.

British Airways (BA) dan syarikat penerbangan Australia Qantas juga mengendalikan penerbangan antara Singapura dengan Lapangan Terbang Heathrow.

Menurut data Cirium, BA16 dan BA12 berlepas dari Singapura pada malam 21 Mac seperti yang dirancang.

Menjawab pertanyaan ST, jurucakap BA berkata syarikat penerbangan itu menjangkakan kira-kira 85 peratus penerbangan yang terbang masuk dan berlepas dari Heathrow pada 22 Mac akan beroperasi seperti yang dijadualkan.

Namun, beliau mengingatkan para penumpang bahawa mereka mungkin mengalami kelewatan kerana syarikat penerbangan itu terus mengharungi cabaran yang disebabkan oleh gangguan bekalan elektrik tersebut.

“Kami merancang untuk mengendalikan sebanyak mungkin penerbangan ke dan dari Heathrow pada 22 Mac, tetapi untuk memulihkan operasi yang besar ini adalah sangat rumit,” kata jurucakap itu.

Qantas juga menyambung semula penerbangannya pada 21 Mac, kata jurucakap penerbangan itu kepada ST.

Pesawat QF2 itu yang pada awalnya dijadualkan berangkat meninggalkan Heathrow pada 8.10 malam pada 21 Mac, telah diubah jadualnya kepada 12 tengahari pada 22 Mac.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg